3 Guru dan 2 Kakitangan Terima APC 2010

KLANG, SELANGOR: Pihak sekolah mengucapkan tahniah dan syabas kepada 3 orang guru dan 2 orang kakitangan yang telah diberikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ( APC ) bagi tahun 2010.

Majlis Penganugerahan ini telah  diadakan mulai 27 – 29 Oktober di Hotel Gold Course, Klang Selangor dan telah disampaikan oleh Y. Bhg. Dr Haji Zahri bin Aziz, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia ( Operasi ), Kementerian Pelajaran Malaysia.

Penerima anugerah tersebut ialah Cikgu Ariffin bin Daud, Ustazah Marina binti Yusof, Ustazah Wan Rohaida binti Wan Ahmad, Encik Ramli bin Abdullah dan Puan Zariah binti Talib.

Terdahulu dari itu, sebanyak 13 buah sekolah telah menerima anugerah Tawaran baru / New Deal / Bai’ah Melalui Insentif Bidang Keberhasilan Utama Negara ( NKRA ) yang telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Puan Pengetua, Ustazah Mardziah salah seorang Pengetua yang menerima anugerah tersebut. Sekolah yang menerima anugerah tersebut ialah SM tahfiz Al-Quran, Melaka, SMA Dato’ Haji Tan Ahmad, Negeri Sembilan, SMRA Ulu Jempol, Negeri Sembilan, SMA Telok kemang, Negeri Sembilan, SMA Daeratul Maarifil wataniah 2, Pulau Pinang, Maktab Wan Jah, Pulau Pinang, SAM Faqiah Daimiah, Pulau Pinang, SMA Al-Mahmudi, Pahang, SMA Kota Gelanggi 3, Pahang, Maahad Tahfiz darul Ulum Al-Basriyah, Pahang, SMA Alfalah, Perak, SABK Maahad Al-Imam Asy Syafiee, Perak dan Kolej sains Pendidikan islam Negeri Terengganu ( SM Imtiaz Kuala Terengganu), Terengganu.

Tahniah dan syabas kepada Puan Pengetua serta guru dan kakitangan yang mendapat anugerah tersebut.

Lawatan dari SMA Rawang

Hari ini pihak sekolah telah menerima kunjungan dari pelajar SMA Rawang Selangor.

Kunjungan mereka telah disambut mesra oleh Pengurusan Sekolah serta  Majlis Perwakilan Pelajar ( MPP ). Mereka terdiri daripada pelajar asrama sekolah tersebut.

Antara tujuan lawatan tersebut ialah untuk melihat sistem pembelajaran di dalam kelas serta melawat asrama.

Sila klik DI SINI untuk melihat gambar selanjutnya

 

Majlis Ihtifal 2011 Penuh Warna Warni

KUALA TERENGGANU, 26 Okt : Kehadiran Puan Pengetua, Ustazah Mardziah binti Che Abdullah telah memeriahkan suasana apabila merasmikan majlis Ihtifal yang penuh warna warni itu yang diadakan di dewan Assyatibi jam 8.40 malam.

Majlis yang diadakan setiap tahun ini bertujuan untuk meraikan pelajar tingkatan 5 yang akan menduduki peperiksaan SPM serta menghimpun seluruh pelajar aspura dan aspuri serta menjemput para guru dan kakitangan bagi merancakkan lagi kemeriahan majlis tersebut. Usaha gigih para pelajar bagi menyiapkan majlis agar berjalan dengan lancar harus dipuji.

Pelbagai juadah telah disediakan dengan hidangan yang begitu enak.

Sebelum majlis tersebut dirasmikan, puan pengetua terlebih dahulu mengucapkan syabas dan tahniah kepada pengurusan majlis serta Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2011 / 2012 yang telah berjaya mengadakan majlis ini.

Pelbagai acara menarik telah disediakan untuk ditontoni oleh  guru dan kakitangan yang hadir. Antaranya ialah persembahan dari pelajar tingkatan 1  dan 5 serta cabutan bertuah.

Sila klik DI SINI untuk melihat gambar seterusnya.

SM Imtiaz Kuala Terengganu Bolot 9 Anugerah

MARANG, 25 Ot:SM Imtiaz K.Trg yang merupakan Sekolah Kluster Kecemerlangan sekali lagi telah menunjukkan kehebatan dalam pencapaian akademik dan tokoh guru sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Agama ( SMA ) dan Sekolah Menengah Kebangsaan ( KAA ) Negeri Terengganu yang di adakan di SMK Rusila Marang hari ini.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Hshim bin Mohd Zin.

Anugerah ini diwujudkan sebagai satu wadah untuk memacu kecemerlangan dan kegemilangan SMA Terengganu secara bersepadu mengikut bidang yang dinilai. Anugerah ini akan menjadi dorongan dan semangat yang jitu kepada guru dan pelajar di SMA Terengganu untuk mencapai kecemerlangan yang luar biasa dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Dalam majlis tersebut, SM Imtiaz Kuala Terengganu telah menerima 9 anugerah kecemerlangan guru dan pelajar.

Antaranya ialah Anugerah matapelajaran terbaik PMR 2010 iaitu Bahasa Melayu dan Kemahiran Hidup ( ERT ). Anugerah matapelajaran terbaik SPM 2010 iaitu Bahasa Melayu, Sejarah, Kimia dan Biologi. Anugerah Murid Unggul SMA iaitu Mohd Khairul Nazrin. Guru Inovatif SMA terbaik telah dianugerahkan kepada Cikgu Che Kadijah binti Che Abdullah dan Cikgu Saripah binti Embong.

Semua hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Hashim bin Mohd Zin.

Sila Klik DI SINI untuk melihat gambar seterusnya

× Sejarah SM Imtiaz Yayasan Terengganu

SEJARAH IMTIAZ

Aspirasi Masyarakat Setempat dan Pembinaan Sekolah

Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu  Kuala Terengganu dibina sekitar bulan November 1994 yang  bertujuan untuk memberi kemudahan pendidikan berasaskan agama kepada penduduk sekitarnya. Sekolah ini lahir daripada  aspirasi masyarakat setempat untuk memajukan kawasan mereka terutamanya dari aspek pendidikan. Idea-idea untuk menubuhkan sebuah sekolah agama telah disuarakan oleh penduduk Kampung Pulau Manis, Kampung Banggol Mempelam, Kampung Banggol Tok Ku, Kampung Banggol Lalang dan Kampung Baru Serada sejak tahun 1986.

Kepimpinan negeri pada masa itu di bawah YB Dato’ Seri Amar Di Raja Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad telah memberikan reaksi positif dan sebuah jawatankuasa bertindak telah dibentuk di peringkat Dewan Undangan Negeri untuk merealisasikan hasrat penduduk setempat. Kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan sekolah ini pada tahun 1994. Kerja-kerja pembinaan sekolah ini bermula pada November  1994 dan siap sepenuhnya pada bulan Mac 1997.  Sekolah ini dilengkapi dengan kemudahan  prasarana yang lengkap dan pembinaannya menelan belanja berjumlah RM 9.4 juta di kawasan seluas 8.1 hektar di Kampung Banggoh Karah, Serada, Kuala Terengganu.

Penubuhan KOSPINT

Namun sebagai usaha meningkatkan taraf Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk  menjadikan sekolah ini  sebagai sebuah Sekolah Bestari Kerajaan Negeri Berasrama Penuh. Pada bulan 1 jun 1997, sekolah ini mula beroperasi dengan nama Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) Bahagian Pendidikan. Pembukaan sekolah ini telah dirasmikan oleh ke bawah  DYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin pada  23 Julai 2000.

Kemudahan, Perkembangan Kurikulum dan Pencapaian

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) mempunyai 4 blok  bangunan yang terdiri daripada blok pentadbiran dan kelas, dua blok asrama putera dan puteri yang mampu menampung 560 orang pelajar serta dewan makan, sebuah dewan besar yang boleh memuatkan 850 orang pelajar, sebuah kantin dan surau yang mampu memuatkan 600 jemaah. Bagi kemudahan sukan dan riadah pula, terdapat sebuah padang bola sepak, dua gelanggang sepak  takraw dan gelanggang badminton. Kemudahan-kemudahan lain termasuklah bilik kuliah, perpustakaan, makmal komputer, makmal sekolah, bengkel kemahiran hidup dan koperasi sekolah.

Pengambilan pertama adalah dalam kalangan pelajar Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu . Kurikulum KBSM, kurikulum elektif dan votek diperkenalkan untuk tahun pertama dan elektif sains dimulakan pada tahun kedua penubuhan iaitu tahun 1998. Kurikulum ini berterusan sehingga pada 1 Januari 2006, walaupun baru ditubuhkan, namun prestasi pelajar amat membanggakan apabila keputusan peperiksaan sulungnya  iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR)  pada tahun 1998 mencatatkan kejayaan 100%.  Pencapaian SPM juga mencatat 100% walaupun pemilihan pelajar untuk kemasukan pertama adalah dalam kalangan pelajar yang bukan memperolehi 5A dalam peperiksaan UPSR.

Peralihan Kepada Sekolah IMTIAZ

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu telah dijadikan sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz dengan penambahan program hafazan dan kurikulum diniyyah dengan menggunakan nama Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu. Pengambilan pelajar sulung adalah seramai 98 orang. Sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz, sekolah ini diletakkan di bawah pentadbiran sebuah syarikat milik penuh Yayasan Terengganu iaitu Integrity Icon Sdn. Bhd. 

Perkembangan dan Pengiktirafan

Penubuhan sekolah Imtiaz ini, satu perubahan yang amat ketara telah dialami di sekolah ini sama ada dari segi pentadbiran, kurikulum, kokurikulum dan rutin harian pelajar. Ternyata kurikulum generasi ulul albab sangat sesuai dan memenuhi keperluan semasa dan Imtiaz mampu berperanan sebagai institusi penting melahirkan modal insan yang mampu memenuhi aspirasi negara. Imtiaz bukan sahaja menjadi agenda kerajaan negeri malahan telah mendapat sambutan di peringkat kebangsaan sehingga dijadikan sekolah angkat Timbalan Menteri Pelajaran iaitu  Allahyarham Dato’  Razali Bin Ismail,  mantan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia.

Bermula 1 November 2007, sekolah ini telah berdaftar dengan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai sebuah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Sehingga kini sekolah ini diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab Bahagian Pengurusan Imtiaz Yayasan Terengganu setelah pembubaran IISB.

×

Visi & Misi

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu

VISI

Melahirkan Generasi Ulul Albab

MISI

Memperkasakan Sistem Pendidikan Holistik Untuk Melahirkan Insan Seimbang Bercirikan Ulul Albab (Quranik, Ensiklopedik & Ijtihadik)

MOTTO

" Soleh Pintar "

TAGLINE

imtiaz The Best School In The World

×

Piagam Pelanggan

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu

Kami warga SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu dengan tekad dan iltizam berjanji akan berusaha sepenuh hati dan sehabis daya memberikan yang terbaik untuk:

01 — MEREALISASIKAN HASRAT BERSAMA

Merealisasikan hasrat ibu bapa, masyarakat, kerajaan negeri dan negara selaras dengan Falsafah Pendidikan Imtiaz dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

02 — MELAHIRKAN GENERASI HUFFAZ BERKUALITI

Mendidik dan melahirkan generasi hafiz dan hafizah yang profesional, berketerampilan dan berdaya kepimpinan yang berwibawa melalui perintisan ilmu yang bersepadu, bersumberkan Al-Quran dan hadis secara holistik.

03 — MENYEDIAKAN PERSEKITARAN KONDUSIF

Menyediakan prasarana yang lengkap dan mewujudkan persekitaran sekolah dan asrama yang kondusif dan selesa.

04 — MEMBUDAYAKAN BIAH SOLEHAH

Mewujudkan biah solehah bagi membudayakan pelajar dengan akhlak yang mulia lagi diredhai yang menjadi teras kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

05 — MEMPERKASA PENGURUSAN PENDIDIKAN

Melaksanakan sistem pengurusan pendidikan yang cekap dan berkualiti serta mengamalkan penambahbaikan yang berterusan.

06 — MEMBINA JARINGAN STRATEGIK

Membina jaringan yang menguntungkan dengan pelbagai jabatan dan agensi serta komuniti sekitar.

07 — MEMPERKUKUH UKHUWWAH DAN KHIDMAT KOMUNITI

Membina ukhuwwah yang mantap di antara warga sekolah dengan ibu bapa dan komuniti serta menawarkan khidmat komuniti dalam pelbagai bidang termasuk tanggungjawab kifayah.

08 — PERKHIDMATAN CEKAP DAN MESRA

Memberi perkhidmatan cekap dan mesra kepada setiap pelanggan yang berurusan dengan sekolah.