Puan Pengetua Rasmi Kem Nadwah Kepimpinan

KUALA TERENGGANU, 12 Nov: Program Kem Nadwah Kepimpinan telah diadakan bermula 10 November dan berakhir hari ini.

Program yang diadakan setiap tahun ini telah dianjurkan di bawah Unit HEM melalui Badan Usrah dengan kerjasama Alumni sekolah. Pihak sekolah begitu bangga kerana pihak Alumni telah sudi mengendalikan Kem tersebut sepanjang program dijalankan. Ketua Fasililator, Encik Aminudin bin Mohd Nasir yang merupakan bekas pelajar SPM 2005 juga  bekas mahasiswa UTP  berkata, beliau amat berterima kasih kerana pihak sekolah sudi mengundang bekas-bekas pelajar sekolah ini untuk mengendalikan program tersebut.

Selain daripada beliau, diundang juga mahasiswa dan mahasiswi dari beberapa buah universiti seperti dari UMT, UNISZA, UIA, KUIS  dan juga seorang bekas pelajar sekolah ini yang belajar di Missota University, USA.

Kumpulan sasar bagi program ini ialah semua pelajar tingkatan tiga serta Naqoba’. Banyak aktiviti yang telah dijalankan seperti kuliah maghrib, LDK, bengkel serta explorace.

Dalam ucapan perasmian penutup, puan pengetua mengucapkan jutaan terima kasih kepada alumni kerana sudi meluangkan masa bagi mengendalikan program ini kerana ini boleh menjadi tonggak kekuatan sekolah. Beliau juga memberitahu,hubungan  pihak sekolah dan alumni akan berterusan pada masa akan datang.

Sila klik DI SINI untuk melihat gambar selanjutnya.

KUIK Anjur Jamuan Akhir Tahun

KUALA TERENGGANU, 10 Nov: Kelab Ukhuwwah Imtiaz KOSPINT ( KUIK ) petang ini telah mengadakan Majlis jamuan akhir tahun yang diadakan di Grand Continental Hotel, Jalan Ladang, Kuala Terengganu.

Setiap tahun majlis tersebut diadakan. Mereka yang terlibat dalam majlis ini adalah semua Warga Imtiaz Kuala Terengganu yang terdiri dari kalangan Kakitangan Akademik, bukan akademik serta beberapa orang pelajar.

Majlis pada tahun ini telah diceriakan oleh 40 orang pelajar yang telah khatam Al-Quran turut memberi sumbangan yang berupa wang tunai sebanyak RM2,400.00 sebagai mengenang jasa dan pengorbanan guru yang sentiasa mendidik mereka bagi memacu ke arah kecemerlangan dan kejayaan dalam bidang akademik mahupun sahsiah.

Lebih membanggakan ialah sumbangan tersebut hasil daripada hadiah yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Terengganu berupa wang tunai sebanyak RM1,000.00 seorang di atas kejayaan khatam 30 juzuk Al-Quran.

Di atas sumbangan tersebut, pihak KUIK serta seluruh warga Imtiaz Kuala Terengganu mengucapkan jutaan kasih kepada pelajar yang telah khatam Al-Quran. Semoga mereka terus mendapat kejayaan yang berganda pada masa akan datang.

Sila klik DI SINI untuk melihat gambar seterusnya.

SUK Rasmi Majlis Anugerah Graduasi Sekolah-Sekolah Imtiaz Yayasan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 10 Nov: Sebanyak 4 buah sekolah Imtiaz Yayasan Terengganu yang terdiri daripada pelajar tingkatan 5 telah menghadiri Majlis Anugerah Graduasi yang telah diadakan di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

Majlis ini bermula pada jam 10.00 pagi dan telah dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Y.B. Dato’ Haji Mazlan bin Ngah.

Sila klik DI SINI untuk gambar selanjutnya

2 Ekor Lembu Tumbang

KUALA TERENGGANU, 09 NOV: Sempena menyambut Majlis Hari Raya Aidil Adha, pihak pengurusan sekolah telah memberi sumbangan  2 ekor lembu untuk jamuan makan tengahari. Jamuan ini untuk semua guru, kakitangan dan pelajar serta penduduk kampung sekitar kawasan sekolah.

Seramai  14 orang guru dan kakitangan yang mengambil bahagian untuk menyumbangkan  2 ekor lembu tersebut. Turut memberi sumbangan ialah Pengerusi MPIBG sekolah, Tuan Haji Mohd Zulkifli bin Abu Bakar yang hadir sama dalam program tersebut. Turut hadir ialah Puan Pengetua, Ustazah Mardziah binti Che Abdullah.

Penyembelihan telah dimulakan seawal jam 8 pagi yang  diketuai oleh Ustaz Wan Ubaidillah dan Ustaz Ada’aya yang merupakan guru sekolah ini. Turut sama ialah beberapa orang penduduk kampung bagi membantu penyembelihan.

Kelihatan juga pelajar tingkatan 3 yang sama-sama menyumbangkan tenaga mereka untuk sama-sama bergotong royong membantu guru serta kakitangan dalam proses persiapan untuk jamuan.

Semoga konsep tolong menolong antara guru, kakitangan, pelajar dan penduduk kampung akan berterusan.

Sila klik DI SINI untuk gambar selanjutnya

× Sejarah SM Imtiaz Yayasan Terengganu

SEJARAH IMTIAZ

Aspirasi Masyarakat Setempat dan Pembinaan Sekolah

Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu  Kuala Terengganu dibina sekitar bulan November 1994 yang  bertujuan untuk memberi kemudahan pendidikan berasaskan agama kepada penduduk sekitarnya. Sekolah ini lahir daripada  aspirasi masyarakat setempat untuk memajukan kawasan mereka terutamanya dari aspek pendidikan. Idea-idea untuk menubuhkan sebuah sekolah agama telah disuarakan oleh penduduk Kampung Pulau Manis, Kampung Banggol Mempelam, Kampung Banggol Tok Ku, Kampung Banggol Lalang dan Kampung Baru Serada sejak tahun 1986.

Kepimpinan negeri pada masa itu di bawah YB Dato’ Seri Amar Di Raja Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad telah memberikan reaksi positif dan sebuah jawatankuasa bertindak telah dibentuk di peringkat Dewan Undangan Negeri untuk merealisasikan hasrat penduduk setempat. Kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan sekolah ini pada tahun 1994. Kerja-kerja pembinaan sekolah ini bermula pada November  1994 dan siap sepenuhnya pada bulan Mac 1997.  Sekolah ini dilengkapi dengan kemudahan  prasarana yang lengkap dan pembinaannya menelan belanja berjumlah RM 9.4 juta di kawasan seluas 8.1 hektar di Kampung Banggoh Karah, Serada, Kuala Terengganu.

Penubuhan KOSPINT

Namun sebagai usaha meningkatkan taraf Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk  menjadikan sekolah ini  sebagai sebuah Sekolah Bestari Kerajaan Negeri Berasrama Penuh. Pada bulan 1 jun 1997, sekolah ini mula beroperasi dengan nama Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) Bahagian Pendidikan. Pembukaan sekolah ini telah dirasmikan oleh ke bawah  DYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin pada  23 Julai 2000.

Kemudahan, Perkembangan Kurikulum dan Pencapaian

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) mempunyai 4 blok  bangunan yang terdiri daripada blok pentadbiran dan kelas, dua blok asrama putera dan puteri yang mampu menampung 560 orang pelajar serta dewan makan, sebuah dewan besar yang boleh memuatkan 850 orang pelajar, sebuah kantin dan surau yang mampu memuatkan 600 jemaah. Bagi kemudahan sukan dan riadah pula, terdapat sebuah padang bola sepak, dua gelanggang sepak  takraw dan gelanggang badminton. Kemudahan-kemudahan lain termasuklah bilik kuliah, perpustakaan, makmal komputer, makmal sekolah, bengkel kemahiran hidup dan koperasi sekolah.

Pengambilan pertama adalah dalam kalangan pelajar Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu . Kurikulum KBSM, kurikulum elektif dan votek diperkenalkan untuk tahun pertama dan elektif sains dimulakan pada tahun kedua penubuhan iaitu tahun 1998. Kurikulum ini berterusan sehingga pada 1 Januari 2006, walaupun baru ditubuhkan, namun prestasi pelajar amat membanggakan apabila keputusan peperiksaan sulungnya  iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR)  pada tahun 1998 mencatatkan kejayaan 100%.  Pencapaian SPM juga mencatat 100% walaupun pemilihan pelajar untuk kemasukan pertama adalah dalam kalangan pelajar yang bukan memperolehi 5A dalam peperiksaan UPSR.

Peralihan Kepada Sekolah IMTIAZ

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu telah dijadikan sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz dengan penambahan program hafazan dan kurikulum diniyyah dengan menggunakan nama Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu. Pengambilan pelajar sulung adalah seramai 98 orang. Sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz, sekolah ini diletakkan di bawah pentadbiran sebuah syarikat milik penuh Yayasan Terengganu iaitu Integrity Icon Sdn. Bhd. 

Perkembangan dan Pengiktirafan

Penubuhan sekolah Imtiaz ini, satu perubahan yang amat ketara telah dialami di sekolah ini sama ada dari segi pentadbiran, kurikulum, kokurikulum dan rutin harian pelajar. Ternyata kurikulum generasi ulul albab sangat sesuai dan memenuhi keperluan semasa dan Imtiaz mampu berperanan sebagai institusi penting melahirkan modal insan yang mampu memenuhi aspirasi negara. Imtiaz bukan sahaja menjadi agenda kerajaan negeri malahan telah mendapat sambutan di peringkat kebangsaan sehingga dijadikan sekolah angkat Timbalan Menteri Pelajaran iaitu  Allahyarham Dato’  Razali Bin Ismail,  mantan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia.

Bermula 1 November 2007, sekolah ini telah berdaftar dengan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai sebuah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Sehingga kini sekolah ini diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab Bahagian Pengurusan Imtiaz Yayasan Terengganu setelah pembubaran IISB.

×

Visi & Misi

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu

VISI

Melahirkan Generasi Ulul Albab

MISI

Memperkasakan Sistem Pendidikan Holistik Untuk Melahirkan Insan Seimbang Bercirikan Ulul Albab (Quranik, Ensiklopedik & Ijtihadik)

MOTTO

" Soleh Pintar "

TAGLINE

imtiaz The Best School In The World

×

Piagam Pelanggan

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu

Kami warga SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu dengan tekad dan iltizam berjanji akan berusaha sepenuh hati dan sehabis daya memberikan yang terbaik untuk:

01 — MEREALISASIKAN HASRAT BERSAMA

Merealisasikan hasrat ibu bapa, masyarakat, kerajaan negeri dan negara selaras dengan Falsafah Pendidikan Imtiaz dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

02 — MELAHIRKAN GENERASI HUFFAZ BERKUALITI

Mendidik dan melahirkan generasi hafiz dan hafizah yang profesional, berketerampilan dan berdaya kepimpinan yang berwibawa melalui perintisan ilmu yang bersepadu, bersumberkan Al-Quran dan hadis secara holistik.

03 — MENYEDIAKAN PERSEKITARAN KONDUSIF

Menyediakan prasarana yang lengkap dan mewujudkan persekitaran sekolah dan asrama yang kondusif dan selesa.

04 — MEMBUDAYAKAN BIAH SOLEHAH

Mewujudkan biah solehah bagi membudayakan pelajar dengan akhlak yang mulia lagi diredhai yang menjadi teras kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

05 — MEMPERKASA PENGURUSAN PENDIDIKAN

Melaksanakan sistem pengurusan pendidikan yang cekap dan berkualiti serta mengamalkan penambahbaikan yang berterusan.

06 — MEMBINA JARINGAN STRATEGIK

Membina jaringan yang menguntungkan dengan pelbagai jabatan dan agensi serta komuniti sekitar.

07 — MEMPERKUKUH UKHUWWAH DAN KHIDMAT KOMUNITI

Membina ukhuwwah yang mantap di antara warga sekolah dengan ibu bapa dan komuniti serta menawarkan khidmat komuniti dalam pelbagai bidang termasuk tanggungjawab kifayah.

08 — PERKHIDMATAN CEKAP DAN MESRA

Memberi perkhidmatan cekap dan mesra kepada setiap pelanggan yang berurusan dengan sekolah.