Riadhah Penting Untuk Pelajar Asrama

KUALA TERENGGANU, 6 Jan: Bagi menjamin seseorang individu itu sihat, salah satu cara ialah melakukan senaman atau riadhah sekurang-kurangnya 15 minit sehari.

Begitu juga dengan pelajar yang tinggal di asrama, mereka juga memerlukan kecergasan bukan hanya minda tetapi juga cergas tubuh badan. Pelajar SM Imtiaz Kuala Terengganu boleh dikatakan setiap petang mengamalkan gaya hidup sihat berlandaskan konsep 1 murid 1 sukan yang di war-warkan oleh Kerajaan. Boleh dikatakan keseluruhan pelajar asrama sekolah ini mengamalkan budaya tersebut.

Banyak permainan yang boleh dilakukan samada outdoor games seperti bermain bolasepak, sepaktakraw, bola jaring, bola tampar dan banyak lagi, begitu juga indoor games seperti permainan catur, congkak dan sebagainya.

Tahniah!!! SM Imtiaz Kuala Terengganu Johan Pertandingan Kebersihan Sekolah Anjuran Kerajaan Negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU, 4 Jan: Siapa sangka, baru 2 hari sesi persekolahan 2012 bermula, Sekolah telah dikhabarkan berita gembira iaitu mendapat tempat pertama dalam pertandingan Kebersihan Kawasan Sekolah kategori Sekolah Menengah peringkat daerah Kuala Terengganu Selatan.

Pertandingan ini adalah program Pendidikan Kebersihan Sekolah Tahun 2011 Anjuran Kerajaan Negeri Terengganu. Dengan kejayaan ini, sekolah telah membawa pulang hadiah yang berjumlah RM 2,000.00. Penolong kanan Akademik, Ustazah Faidahnam binti Busu telah menerima hadiah tersebut dari wakil Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Terengganu pagi tadi.

Pihak sekolah mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua guru, kakitangan serta pelajar yang bertungkus lumus bagi memastikan kebersihan dan keceriaan dijaga dengan sempurna.

Mesyuarat Agung Badan Beruniform 2012

KUALA TERENGGANU, 3 Jan: Mesyuarat Agung Badan Beruniform kali pertama telah diadakan pada sebelah petang tadi bermula jam 3.30 petang dan berakhir 4.30 petang.

Menurut Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah, Ustaz Md Nor bin Yahya, tujuan diadakan mesyuarat adalah bagi pemilihan AJK baru tahun 2012. Disamping itu juga untuk membincangkan aktiviti sepanjang tahun 2012.

Badan beruniform yang bermesyuarat pada petang tadi ialah Pengakap di Kantin Sekolah, Kadet Bomba Kadet Remaja Sekolah, Kadet Polis di Dewan Assyatibi, Persatuan Bulan Sabit Merah di bilik Kuliah dan Puteri Islam di Perpustakaan.

Sila klik DI SINI untuk melihat gambar selanjutnya

Sesi Persekolahan 2012 Bermula Hari ini.

KUALA TERENGGANU, 3 Jan : Sesi persekolahan bagi tahun 2012 telahpun bermula hari ini. Sebagai permulaan, semua guru dan pelajar berkumpul jam 7.40 pagi di Dewan Assyatibi.

Puan pengetua telah mengucapkan selamat kembali ke sekolah kepada semua pelajar tingkatan 2, 3, 4 dan 5.

Semoga pada tahun ini, semua pelajar diharap mempunyai azam yang kuat dan jitu samada dalam bidang hafazan mahupun akademik agar beroleh kejayaan yang lebih cemerlang. Dari aspek kerohanian serta sahsiah juga dapat dipupuk dengan lebih gemilang lagi.

× Sejarah SM Imtiaz Yayasan Terengganu

SEJARAH IMTIAZ

Aspirasi Masyarakat Setempat dan Pembinaan Sekolah

Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu  Kuala Terengganu dibina sekitar bulan November 1994 yang  bertujuan untuk memberi kemudahan pendidikan berasaskan agama kepada penduduk sekitarnya. Sekolah ini lahir daripada  aspirasi masyarakat setempat untuk memajukan kawasan mereka terutamanya dari aspek pendidikan. Idea-idea untuk menubuhkan sebuah sekolah agama telah disuarakan oleh penduduk Kampung Pulau Manis, Kampung Banggol Mempelam, Kampung Banggol Tok Ku, Kampung Banggol Lalang dan Kampung Baru Serada sejak tahun 1986.

Kepimpinan negeri pada masa itu di bawah YB Dato’ Seri Amar Di Raja Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad telah memberikan reaksi positif dan sebuah jawatankuasa bertindak telah dibentuk di peringkat Dewan Undangan Negeri untuk merealisasikan hasrat penduduk setempat. Kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan sekolah ini pada tahun 1994. Kerja-kerja pembinaan sekolah ini bermula pada November  1994 dan siap sepenuhnya pada bulan Mac 1997.  Sekolah ini dilengkapi dengan kemudahan  prasarana yang lengkap dan pembinaannya menelan belanja berjumlah RM 9.4 juta di kawasan seluas 8.1 hektar di Kampung Banggoh Karah, Serada, Kuala Terengganu.

Penubuhan KOSPINT

Namun sebagai usaha meningkatkan taraf Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk  menjadikan sekolah ini  sebagai sebuah Sekolah Bestari Kerajaan Negeri Berasrama Penuh. Pada bulan 1 jun 1997, sekolah ini mula beroperasi dengan nama Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) Bahagian Pendidikan. Pembukaan sekolah ini telah dirasmikan oleh ke bawah  DYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin pada  23 Julai 2000.

Kemudahan, Perkembangan Kurikulum dan Pencapaian

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) mempunyai 4 blok  bangunan yang terdiri daripada blok pentadbiran dan kelas, dua blok asrama putera dan puteri yang mampu menampung 560 orang pelajar serta dewan makan, sebuah dewan besar yang boleh memuatkan 850 orang pelajar, sebuah kantin dan surau yang mampu memuatkan 600 jemaah. Bagi kemudahan sukan dan riadah pula, terdapat sebuah padang bola sepak, dua gelanggang sepak  takraw dan gelanggang badminton. Kemudahan-kemudahan lain termasuklah bilik kuliah, perpustakaan, makmal komputer, makmal sekolah, bengkel kemahiran hidup dan koperasi sekolah.

Pengambilan pertama adalah dalam kalangan pelajar Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu . Kurikulum KBSM, kurikulum elektif dan votek diperkenalkan untuk tahun pertama dan elektif sains dimulakan pada tahun kedua penubuhan iaitu tahun 1998. Kurikulum ini berterusan sehingga pada 1 Januari 2006, walaupun baru ditubuhkan, namun prestasi pelajar amat membanggakan apabila keputusan peperiksaan sulungnya  iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR)  pada tahun 1998 mencatatkan kejayaan 100%.  Pencapaian SPM juga mencatat 100% walaupun pemilihan pelajar untuk kemasukan pertama adalah dalam kalangan pelajar yang bukan memperolehi 5A dalam peperiksaan UPSR.

Peralihan Kepada Sekolah IMTIAZ

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu telah dijadikan sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz dengan penambahan program hafazan dan kurikulum diniyyah dengan menggunakan nama Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu. Pengambilan pelajar sulung adalah seramai 98 orang. Sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz, sekolah ini diletakkan di bawah pentadbiran sebuah syarikat milik penuh Yayasan Terengganu iaitu Integrity Icon Sdn. Bhd. 

Perkembangan dan Pengiktirafan

Penubuhan sekolah Imtiaz ini, satu perubahan yang amat ketara telah dialami di sekolah ini sama ada dari segi pentadbiran, kurikulum, kokurikulum dan rutin harian pelajar. Ternyata kurikulum generasi ulul albab sangat sesuai dan memenuhi keperluan semasa dan Imtiaz mampu berperanan sebagai institusi penting melahirkan modal insan yang mampu memenuhi aspirasi negara. Imtiaz bukan sahaja menjadi agenda kerajaan negeri malahan telah mendapat sambutan di peringkat kebangsaan sehingga dijadikan sekolah angkat Timbalan Menteri Pelajaran iaitu  Allahyarham Dato’  Razali Bin Ismail,  mantan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia.

Bermula 1 November 2007, sekolah ini telah berdaftar dengan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai sebuah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Sehingga kini sekolah ini diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab Bahagian Pengurusan Imtiaz Yayasan Terengganu setelah pembubaran IISB.

×

Visi & Misi

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu

VISI

Melahirkan Generasi Ulul Albab

MISI

Memperkasakan Sistem Pendidikan Holistik Untuk Melahirkan Insan Seimbang Bercirikan Ulul Albab (Quranik, Ensiklopedik & Ijtihadik)

MOTTO

" Soleh Pintar "

TAGLINE

imtiaz The Best School In The World

×

Piagam Pelanggan

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu

Kami warga SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu dengan tekad dan iltizam berjanji akan berusaha sepenuh hati dan sehabis daya memberikan yang terbaik untuk:

01 — MEREALISASIKAN HASRAT BERSAMA

Merealisasikan hasrat ibu bapa, masyarakat, kerajaan negeri dan negara selaras dengan Falsafah Pendidikan Imtiaz dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

02 — MELAHIRKAN GENERASI HUFFAZ BERKUALITI

Mendidik dan melahirkan generasi hafiz dan hafizah yang profesional, berketerampilan dan berdaya kepimpinan yang berwibawa melalui perintisan ilmu yang bersepadu, bersumberkan Al-Quran dan hadis secara holistik.

03 — MENYEDIAKAN PERSEKITARAN KONDUSIF

Menyediakan prasarana yang lengkap dan mewujudkan persekitaran sekolah dan asrama yang kondusif dan selesa.

04 — MEMBUDAYAKAN BIAH SOLEHAH

Mewujudkan biah solehah bagi membudayakan pelajar dengan akhlak yang mulia lagi diredhai yang menjadi teras kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

05 — MEMPERKASA PENGURUSAN PENDIDIKAN

Melaksanakan sistem pengurusan pendidikan yang cekap dan berkualiti serta mengamalkan penambahbaikan yang berterusan.

06 — MEMBINA JARINGAN STRATEGIK

Membina jaringan yang menguntungkan dengan pelbagai jabatan dan agensi serta komuniti sekitar.

07 — MEMPERKUKUH UKHUWWAH DAN KHIDMAT KOMUNITI

Membina ukhuwwah yang mantap di antara warga sekolah dengan ibu bapa dan komuniti serta menawarkan khidmat komuniti dalam pelbagai bidang termasuk tanggungjawab kifayah.

08 — PERKHIDMATAN CEKAP DAN MESRA

Memberi perkhidmatan cekap dan mesra kepada setiap pelanggan yang berurusan dengan sekolah.