Perjumpaan Mentor-Mentee

KUALA TERENGGANU, 8 Jan : Sempena pengambilan pelajar baru hari ini, satu pertemuan antara mentor dan mentee diadakan di tiga lokasi yang berasingan. Lokasi tersebut adalah di dewan Assyatibi, Surau dan Bilik Kuliah.

Semua pelajar tingkatan 1 hingga 5 beserta dengan ibubapa pelajar baru turut sama berada dalam kumpulan yang telah ditetapkan.

Proses Pendaftaran Tingkatan 1 Tahun 2012 Berjalan Lancar

KUALA TERENGGANU, 8 Jan : Pendaftaran Pelajar  hari ini berjalan dengan lancar dengan kehadiran pelajar baru yang ditemani oleh ibubapa mereka.

Mulai jam 8.30 pagi tadi, semua kaunter dibuka untuk proses kedudukan kelas dan penempatan asrama. Ramai ibubapa melahirkan rasa bersyukur kerana anak mereka berjaya mendaftarkan diri di sekolah ini untuk memulakan sesi persekolahan bagi tahun ini.

Ada pula diantara pelajar terlalu gembira dan tidak sabar-sabar untuk memulakan sesi pengajian mereka. Sebelum mereka memasuki asrama, terlebih dahulu satu majlis taklimat khas telah diadakan bagi memberi penjelasan mengenai sekolah dan asrama.

Ustazah Mardziah binti Che Abdullah selaku pengetua telah memulakan ucapan khas dengan dibarisi semua Penolong Kanan, Ketua Jabatan serta warden Asrama. Turut hadir ialah Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Bahagian Pengurusan Imtiaz Yayasan Terengganu, Encik Azwandi bin Mohammad. Kesemua mereka telah diperkenalkan oleh beliau kepada ibubapa yang hadir.

Acara seterusnya ialah Simbolik Penyerahan Pelajar kepada Pihak Sekolah Oleh wakil ibubapa iaitu Encik Hassan dan penerimaan pelajar baru diterima oleh puan Pengetua.

Terdahulu dari itu, bacaan ayat suci Al-Quran telah diperdengarkan oleh Adik Mohd Amir Fahmi dan sejurus taklimat selesai, persembahan Nasyid yang terdiri dari pelajar tingkatan 2 lelaki telah mempersembahkan kehebatan mereka di hadapan semua guru dan ibubapa.

Satu Majlis bersama Mentor-Mentee telah diadakan jam 2. 15 petang bersama semua pelajar dari pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Ini bertujuan berkenal-kenalan antara satu sama lain agar mereka tidak merasa kekok apabila berada di sekolah dan di asrama nanti.

Selepas itu, bersama Mentor- Mentee termasuk pelajar baru telah dibawa ke asrama bagi penginapan mereka.

Sesungguhnya majlis seumpama ini telah memberi  kekuatan kepada pelajar terutama pelajar tingkatan 1 yang baru mendaftar hari ini agar terus bersemangat untuk memulakan sesi pengajian tahun ini.

Sila klik DI SINI untuk melihat gambar selanjutnya

Nasyid Sempena Pendaftaran Tingkatan 1

Patah Tumbuh Hilang Berganti

KUALA TERENGGANU, 7 Jan : Kalau tahun lepas, seorang pelajar asrama yang bercita-cita menjadi Imam di Masjidil Haram dengan mempunyai suara yang lunak, namun pada tahun ini, seorang lagi pelajar asrama yang mempunyai suara yang merdu dapat dikesan.

Di lahirkan di Taiping Perak. Anak sulong daripada 5 adik beradik. Beliau adalah Najib Solihin diputerakan pada 22 April 1995 oleh pasangan yang bertuah iaitu Encik Nassharuddin dan Puan Sabariah. Pada tahun 2008 hingga 2010, beliau belajar di Maahad Tahfiz Sains, Kok Lanas, Kota Bharu Kelantan. Telah khatam Al-Quran 30 Juzuk ketika berusia 15 tahun. Tahun 2011, beliau telah memasuki sekolah baru iaitu SM Imtiaz Kuala Terengganu.

Bercita-cita mendapat 11A+ dalam peperiksaan SPM nanti. Pernah menjadi Johan Hafazan dalam Majlis Ihtifal Ilmi Sanawi Sekolah-sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu pada tahun 2011. Manakala tempat ketiga anjuran Jabatan pelajaran Negeri Terengganu bertempat di SMKA Sheikh Abdul Malek pada tahun yang sama.

Suara merdu dalam Bacaan Ayat Suci Al-Quran

SURAH AL FATIHAH

BACAAN AL-QURAN

 

Lawatan Ibubapa Gembirakan Anak

KUALA TERENGGANU, 7 Jan : Boleh dikatakan setiap minggu terutamanya hari jumaat dan sabtu serta hari kelepasan Am, ibubapa akan melawat anak mereka yang tinggal di asrama. Sekurang-kurang terubat kerinduan setelah seminggu tidak bertemu.

Asrama SM Imtiaz Kuala Terengganu merupakan Sekolah Berasrama Penuh dimana semua pelajar diwajibkan menetap di asrama. Pihak pengurusan Sekolah telah menetapkan hari untuk bertemu dengan anak mereka terutamanya pada hari minggu. Namun begitu, ada juga ibubapa yang datang bertemu dengan anak mereka pada hari persekolahan iaitu selepas waktu Asar. Semoga hubungan rapat antara ibubapa dan anak akan berterusan.

Mereka juga mengharapkan agar anak mereka sentiasa riang dan gembira dan selalu memberi dorongan agar dapat menumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran.

× Sejarah SM Imtiaz Yayasan Terengganu

SEJARAH IMTIAZ

Aspirasi Masyarakat Setempat dan Pembinaan Sekolah

Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu  Kuala Terengganu dibina sekitar bulan November 1994 yang  bertujuan untuk memberi kemudahan pendidikan berasaskan agama kepada penduduk sekitarnya. Sekolah ini lahir daripada  aspirasi masyarakat setempat untuk memajukan kawasan mereka terutamanya dari aspek pendidikan. Idea-idea untuk menubuhkan sebuah sekolah agama telah disuarakan oleh penduduk Kampung Pulau Manis, Kampung Banggol Mempelam, Kampung Banggol Tok Ku, Kampung Banggol Lalang dan Kampung Baru Serada sejak tahun 1986.

Kepimpinan negeri pada masa itu di bawah YB Dato’ Seri Amar Di Raja Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad telah memberikan reaksi positif dan sebuah jawatankuasa bertindak telah dibentuk di peringkat Dewan Undangan Negeri untuk merealisasikan hasrat penduduk setempat. Kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan sekolah ini pada tahun 1994. Kerja-kerja pembinaan sekolah ini bermula pada November  1994 dan siap sepenuhnya pada bulan Mac 1997.  Sekolah ini dilengkapi dengan kemudahan  prasarana yang lengkap dan pembinaannya menelan belanja berjumlah RM 9.4 juta di kawasan seluas 8.1 hektar di Kampung Banggoh Karah, Serada, Kuala Terengganu.

Penubuhan KOSPINT

Namun sebagai usaha meningkatkan taraf Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk  menjadikan sekolah ini  sebagai sebuah Sekolah Bestari Kerajaan Negeri Berasrama Penuh. Pada bulan 1 jun 1997, sekolah ini mula beroperasi dengan nama Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) Bahagian Pendidikan. Pembukaan sekolah ini telah dirasmikan oleh ke bawah  DYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin pada  23 Julai 2000.

Kemudahan, Perkembangan Kurikulum dan Pencapaian

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) mempunyai 4 blok  bangunan yang terdiri daripada blok pentadbiran dan kelas, dua blok asrama putera dan puteri yang mampu menampung 560 orang pelajar serta dewan makan, sebuah dewan besar yang boleh memuatkan 850 orang pelajar, sebuah kantin dan surau yang mampu memuatkan 600 jemaah. Bagi kemudahan sukan dan riadah pula, terdapat sebuah padang bola sepak, dua gelanggang sepak  takraw dan gelanggang badminton. Kemudahan-kemudahan lain termasuklah bilik kuliah, perpustakaan, makmal komputer, makmal sekolah, bengkel kemahiran hidup dan koperasi sekolah.

Pengambilan pertama adalah dalam kalangan pelajar Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu . Kurikulum KBSM, kurikulum elektif dan votek diperkenalkan untuk tahun pertama dan elektif sains dimulakan pada tahun kedua penubuhan iaitu tahun 1998. Kurikulum ini berterusan sehingga pada 1 Januari 2006, walaupun baru ditubuhkan, namun prestasi pelajar amat membanggakan apabila keputusan peperiksaan sulungnya  iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR)  pada tahun 1998 mencatatkan kejayaan 100%.  Pencapaian SPM juga mencatat 100% walaupun pemilihan pelajar untuk kemasukan pertama adalah dalam kalangan pelajar yang bukan memperolehi 5A dalam peperiksaan UPSR.

Peralihan Kepada Sekolah IMTIAZ

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu telah dijadikan sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz dengan penambahan program hafazan dan kurikulum diniyyah dengan menggunakan nama Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu. Pengambilan pelajar sulung adalah seramai 98 orang. Sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz, sekolah ini diletakkan di bawah pentadbiran sebuah syarikat milik penuh Yayasan Terengganu iaitu Integrity Icon Sdn. Bhd. 

Perkembangan dan Pengiktirafan

Penubuhan sekolah Imtiaz ini, satu perubahan yang amat ketara telah dialami di sekolah ini sama ada dari segi pentadbiran, kurikulum, kokurikulum dan rutin harian pelajar. Ternyata kurikulum generasi ulul albab sangat sesuai dan memenuhi keperluan semasa dan Imtiaz mampu berperanan sebagai institusi penting melahirkan modal insan yang mampu memenuhi aspirasi negara. Imtiaz bukan sahaja menjadi agenda kerajaan negeri malahan telah mendapat sambutan di peringkat kebangsaan sehingga dijadikan sekolah angkat Timbalan Menteri Pelajaran iaitu  Allahyarham Dato’  Razali Bin Ismail,  mantan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia.

Bermula 1 November 2007, sekolah ini telah berdaftar dengan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai sebuah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Sehingga kini sekolah ini diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab Bahagian Pengurusan Imtiaz Yayasan Terengganu setelah pembubaran IISB.

×

Visi & Misi

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu

VISI

Melahirkan Generasi Ulul Albab

MISI

Memperkasakan Sistem Pendidikan Holistik Untuk Melahirkan Insan Seimbang Bercirikan Ulul Albab (Quranik, Ensiklopedik & Ijtihadik)

MOTTO

" Soleh Pintar "

TAGLINE

imtiaz The Best School In The World

×

Piagam Pelanggan

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu

Kami warga SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu dengan tekad dan iltizam berjanji akan berusaha sepenuh hati dan sehabis daya memberikan yang terbaik untuk:

01 — MEREALISASIKAN HASRAT BERSAMA

Merealisasikan hasrat ibu bapa, masyarakat, kerajaan negeri dan negara selaras dengan Falsafah Pendidikan Imtiaz dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

02 — MELAHIRKAN GENERASI HUFFAZ BERKUALITI

Mendidik dan melahirkan generasi hafiz dan hafizah yang profesional, berketerampilan dan berdaya kepimpinan yang berwibawa melalui perintisan ilmu yang bersepadu, bersumberkan Al-Quran dan hadis secara holistik.

03 — MENYEDIAKAN PERSEKITARAN KONDUSIF

Menyediakan prasarana yang lengkap dan mewujudkan persekitaran sekolah dan asrama yang kondusif dan selesa.

04 — MEMBUDAYAKAN BIAH SOLEHAH

Mewujudkan biah solehah bagi membudayakan pelajar dengan akhlak yang mulia lagi diredhai yang menjadi teras kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

05 — MEMPERKASA PENGURUSAN PENDIDIKAN

Melaksanakan sistem pengurusan pendidikan yang cekap dan berkualiti serta mengamalkan penambahbaikan yang berterusan.

06 — MEMBINA JARINGAN STRATEGIK

Membina jaringan yang menguntungkan dengan pelbagai jabatan dan agensi serta komuniti sekitar.

07 — MEMPERKUKUH UKHUWWAH DAN KHIDMAT KOMUNITI

Membina ukhuwwah yang mantap di antara warga sekolah dengan ibu bapa dan komuniti serta menawarkan khidmat komuniti dalam pelbagai bidang termasuk tanggungjawab kifayah.

08 — PERKHIDMATAN CEKAP DAN MESRA

Memberi perkhidmatan cekap dan mesra kepada setiap pelanggan yang berurusan dengan sekolah.