‘KUIK’ Anjur Majlis Perpisahan

KUALA TERENGGANU, 12 Feb : Kelab Ukhuwwah Imtiaz KOSPINT hari ini telah menganjurkan satu majlis perpisahan sempena pertukaran guru dan kakitangan.

Menurut Pengerusi KUIK, Cikgu Abdul Hadi bin Muda, Kelab ini ditubuhkan adalah bertujuan memberikan sumbangan kepada ahlinya yang bertukar, berkahwin, kematian keluarga dan banyak lagi. Sehubungan dengan itu, bertepatan dengan konsep KUIK, maka pada hari ini diadakan majlis untuk meraikan mereka yang bertukar.

Antara yang bertukar ialah Ustazah Marina binti Abdul Rahman, yang akan bertugas di SMA Marang, Ustaz Ada’aya bin Yasin yang akan bertugas di SMKA Tok Jiring, Ustaz Mohamad Saufi bertugas di sekolah yang baru iaitu di SMKA Durian Guling, Cikgu Nor Hafiza bertugas di SM Sultan Ismail, YM Che Ku Saiful Azhar yang merupakan Pembantu Tadbir bertukar ke Yayasan Terengganu bersama Encik Hafizi di tempat yang sama.

Dalam ucapan Puan Pengetua, beliau mengucapkan setinggi penghargaan kepada mereka yang telah banyak menyumbang untuk menaikkan nama sekolah. Segala kerjasama yang diberikan beliau mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga.

Sila klik DI SINI untuk melihat gambar selanjutnya.

Penyerahan ‘Anak Angkat’

KUALA TERENGGANU, 8 Feb : Sempena Program ‘ Masih Ada Harapan ” satu majlis penyerahan ‘anak angkat’ kepada pihak pengurusan sekolah telah diadakan pagi ini di dataran Anjung kasih di bawah Projek Aspirasi Mutiara Terbilang PMR 2012.

Majlis ini telah disaksikan oleh semua Penolong Kanan, Pengarah Projek PMR 2012, Tuan Haji Mohd Amin Faisal bin Haji Uzip juga merupakan Penolong Kanan Ulul Albab, Penyelaras Projek PMR 2012, Cikgu Rozila binti Sulong serta  semua guru yang mengajar kelas tingkatan 3. Dalam majlis ini juga, Puan Pengetua, Ustazah Mardziah binti Che Abdullah dan 3 Penolong Kanan yang terdiri dari Penolong Kanan Akademik, Ustazah Faidahnam binti Busu, Penolong Kanan HEM, Tuan Haji Ahmad Ridhuan bin Abd Ghani dan Penolong Kanan Kokurikulum, Ustaz Md Nor bin Yahya telah menerima ‘anak angkat’ tersebut.

Bertujuan untuk melihat mereka ini terus berusaha ke arah kecemerlangan akademik serta sahsiah seterusnya mendapat keputusan peperiksaan yang lebih cemerlang.

Majlis ini dimulakan dengan lafaz ikrar oleh semua pelajar tingkatan 3 di hadapan semua pihak pengurusan serta guru yang mengajar di tingkatan 3. Seterusnya penyerahan ‘anak angkat’ yang dimulai dengan Penolong Kanan Kokurikulum, Penolong Kanan HEM, Penolong Kanan Akademik dan terakhir Puan Pengetua sendiri.

Sila klik DI SINI untuk melihat gambar selanjutnya.

Kunjungan Dari Sekolah Menengah Sains Selangor

KUALA TERENGGANU, 7 Feb : Seawal jam 8 pagi  pihak sekolah telah menerima rombongan dari Sekolah Menengah Sains Selangor.

Pihak sekolah telah menyambut rombongan tersebut seramai 38 orang yang terdiri dari pengetua serta kakitangan sokongan. Sebelum di bawa ke bilik mesyuarat untuk sesi taklimat khas, pihak rombongan telah di bawa ke dewan Asyatibi dan surau untuk melihat pelajar sedang menghafaz Al-Quran.

Semasa sesi taklimat, Puan Faidahnam binti Busu selaku Penolong Kanan Akademik mengucapkan terima kasih kepada rombongan tersebut kerana sudi mengunjungi sekolah ini. Manakala dalam ucapan pengetua sekolah tersebut, Encik Nor Paizin, beliau mengucapkan terima kasih kerana sudi menerima kunjungan seramai 38 orang yang terdiri dari kakitangan sokongan.

Antara tujuan lawatan ini adalah untuk melihat bagaimana keadaan SM Imtaiz itu sendiri yang mempunyai sistem pembelajaran yang berlainan dan ingin mengetahui kaedah terbaik pelajar dapat menghafaz Al-Quran dalam masa yang singkat.

Beliau juga mengucapkan tahniah kerana SM Imtiaz Kuala Terengganu telah diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan.

Beliau berharap pihak sekolah ini menerima pelajar dari Sekolah Sains Selangor agar diadakan Program Homestay diantara pelajar, begitu juga pihak beliau akan menerima pelajar Sekolah ini sebagai Program homestay di sana nanti. Disamping itu juga, beliau amat bertuah sekiranya ada beberapa orang guru di sini mengajar di sekolah Sains selama seminggu untuk diberi pendedahan cara menghafaz Al-Quran dengan baik.

Sebaik sahaja sesi taklimat selesai, pihak rombongan telah melawat galeri sekolah, koperasi serta di adakan sedikit jamuan.

Sila klik DI SINI untuk melihat gambar selanjutnya.

 

Pindaan Jadual Balik Kampung( Balik Wajib ) Bagi Bulan Febuari 2012

KUALA TERENGGANU, 6 Feb : Mesyuarat Jawatankuasa Asrama yang bersidang hari ini telah memutuskan bahawa tarikh balik kampung ( balik wajib ) kepada semua pelajar sekolah ini yang sepatutnya pada 23 Febuari 2012 telah dpinda kepada 16 Febuari 2012 dan kembali ke asrama pada 18 Febuari 2012 tidak lewat jam 6.00 petang. Walau bagaimanapun, tarikh bagi pelajar pelajar pulang ke kampung ( balik pilihan ) tidak berubah iaitu kekal pada 9 Febuari 2012.

Harap maklum kepada semua ibu bapa pelajar sekolah ini.

 

× Sejarah SM Imtiaz Yayasan Terengganu

SEJARAH IMTIAZ

Aspirasi Masyarakat Setempat dan Pembinaan Sekolah

Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu  Kuala Terengganu dibina sekitar bulan November 1994 yang  bertujuan untuk memberi kemudahan pendidikan berasaskan agama kepada penduduk sekitarnya. Sekolah ini lahir daripada  aspirasi masyarakat setempat untuk memajukan kawasan mereka terutamanya dari aspek pendidikan. Idea-idea untuk menubuhkan sebuah sekolah agama telah disuarakan oleh penduduk Kampung Pulau Manis, Kampung Banggol Mempelam, Kampung Banggol Tok Ku, Kampung Banggol Lalang dan Kampung Baru Serada sejak tahun 1986.

Kepimpinan negeri pada masa itu di bawah YB Dato’ Seri Amar Di Raja Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad telah memberikan reaksi positif dan sebuah jawatankuasa bertindak telah dibentuk di peringkat Dewan Undangan Negeri untuk merealisasikan hasrat penduduk setempat. Kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan sekolah ini pada tahun 1994. Kerja-kerja pembinaan sekolah ini bermula pada November  1994 dan siap sepenuhnya pada bulan Mac 1997.  Sekolah ini dilengkapi dengan kemudahan  prasarana yang lengkap dan pembinaannya menelan belanja berjumlah RM 9.4 juta di kawasan seluas 8.1 hektar di Kampung Banggoh Karah, Serada, Kuala Terengganu.

Penubuhan KOSPINT

Namun sebagai usaha meningkatkan taraf Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk  menjadikan sekolah ini  sebagai sebuah Sekolah Bestari Kerajaan Negeri Berasrama Penuh. Pada bulan 1 jun 1997, sekolah ini mula beroperasi dengan nama Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) Bahagian Pendidikan. Pembukaan sekolah ini telah dirasmikan oleh ke bawah  DYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin pada  23 Julai 2000.

Kemudahan, Perkembangan Kurikulum dan Pencapaian

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) mempunyai 4 blok  bangunan yang terdiri daripada blok pentadbiran dan kelas, dua blok asrama putera dan puteri yang mampu menampung 560 orang pelajar serta dewan makan, sebuah dewan besar yang boleh memuatkan 850 orang pelajar, sebuah kantin dan surau yang mampu memuatkan 600 jemaah. Bagi kemudahan sukan dan riadah pula, terdapat sebuah padang bola sepak, dua gelanggang sepak  takraw dan gelanggang badminton. Kemudahan-kemudahan lain termasuklah bilik kuliah, perpustakaan, makmal komputer, makmal sekolah, bengkel kemahiran hidup dan koperasi sekolah.

Pengambilan pertama adalah dalam kalangan pelajar Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu . Kurikulum KBSM, kurikulum elektif dan votek diperkenalkan untuk tahun pertama dan elektif sains dimulakan pada tahun kedua penubuhan iaitu tahun 1998. Kurikulum ini berterusan sehingga pada 1 Januari 2006, walaupun baru ditubuhkan, namun prestasi pelajar amat membanggakan apabila keputusan peperiksaan sulungnya  iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR)  pada tahun 1998 mencatatkan kejayaan 100%.  Pencapaian SPM juga mencatat 100% walaupun pemilihan pelajar untuk kemasukan pertama adalah dalam kalangan pelajar yang bukan memperolehi 5A dalam peperiksaan UPSR.

Peralihan Kepada Sekolah IMTIAZ

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu telah dijadikan sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz dengan penambahan program hafazan dan kurikulum diniyyah dengan menggunakan nama Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu. Pengambilan pelajar sulung adalah seramai 98 orang. Sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz, sekolah ini diletakkan di bawah pentadbiran sebuah syarikat milik penuh Yayasan Terengganu iaitu Integrity Icon Sdn. Bhd. 

Perkembangan dan Pengiktirafan

Penubuhan sekolah Imtiaz ini, satu perubahan yang amat ketara telah dialami di sekolah ini sama ada dari segi pentadbiran, kurikulum, kokurikulum dan rutin harian pelajar. Ternyata kurikulum generasi ulul albab sangat sesuai dan memenuhi keperluan semasa dan Imtiaz mampu berperanan sebagai institusi penting melahirkan modal insan yang mampu memenuhi aspirasi negara. Imtiaz bukan sahaja menjadi agenda kerajaan negeri malahan telah mendapat sambutan di peringkat kebangsaan sehingga dijadikan sekolah angkat Timbalan Menteri Pelajaran iaitu  Allahyarham Dato’  Razali Bin Ismail,  mantan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia.

Bermula 1 November 2007, sekolah ini telah berdaftar dengan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai sebuah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Sehingga kini sekolah ini diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab Bahagian Pengurusan Imtiaz Yayasan Terengganu setelah pembubaran IISB.

×

Visi & Misi

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu

VISI

Melahirkan Generasi Ulul Albab

MISI

Memperkasakan Sistem Pendidikan Holistik Untuk Melahirkan Insan Seimbang Bercirikan Ulul Albab (Quranik, Ensiklopedik & Ijtihadik)

MOTTO

" Soleh Pintar "

TAGLINE

imtiaz The Best School In The World

×

Piagam Pelanggan

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu

Kami warga SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu dengan tekad dan iltizam berjanji akan berusaha sepenuh hati dan sehabis daya memberikan yang terbaik untuk:

01 — MEREALISASIKAN HASRAT BERSAMA

Merealisasikan hasrat ibu bapa, masyarakat, kerajaan negeri dan negara selaras dengan Falsafah Pendidikan Imtiaz dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

02 — MELAHIRKAN GENERASI HUFFAZ BERKUALITI

Mendidik dan melahirkan generasi hafiz dan hafizah yang profesional, berketerampilan dan berdaya kepimpinan yang berwibawa melalui perintisan ilmu yang bersepadu, bersumberkan Al-Quran dan hadis secara holistik.

03 — MENYEDIAKAN PERSEKITARAN KONDUSIF

Menyediakan prasarana yang lengkap dan mewujudkan persekitaran sekolah dan asrama yang kondusif dan selesa.

04 — MEMBUDAYAKAN BIAH SOLEHAH

Mewujudkan biah solehah bagi membudayakan pelajar dengan akhlak yang mulia lagi diredhai yang menjadi teras kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

05 — MEMPERKASA PENGURUSAN PENDIDIKAN

Melaksanakan sistem pengurusan pendidikan yang cekap dan berkualiti serta mengamalkan penambahbaikan yang berterusan.

06 — MEMBINA JARINGAN STRATEGIK

Membina jaringan yang menguntungkan dengan pelbagai jabatan dan agensi serta komuniti sekitar.

07 — MEMPERKUKUH UKHUWWAH DAN KHIDMAT KOMUNITI

Membina ukhuwwah yang mantap di antara warga sekolah dengan ibu bapa dan komuniti serta menawarkan khidmat komuniti dalam pelbagai bidang termasuk tanggungjawab kifayah.

08 — PERKHIDMATAN CEKAP DAN MESRA

Memberi perkhidmatan cekap dan mesra kepada setiap pelanggan yang berurusan dengan sekolah.