Author: admin

Catur : 4 Pelajar Layak Ke Bangkok dan Seorang Ke UAE

SMIYT KTRG SBT, 17 Febuari : Awal bulan ini  5 orang pelajar sekolah ini berjaya layak ke peringkat antarabangsa dalam pertandingan catur apabila masing-masing mendapat kedudukan yang terbaik dalam pertandingan catur peringkat kebangsaan yang diadakan pada 1 hingga 3 Febuari 2013 bertempat di Negeri Perak baru-baru ini.

Dalam pertandingan National Age Group Chess Championship 2013, sekolah telah menghantar 8 orang pelajar yang terdiri daripada Umi Safiah binti Sa’adon, Nursyamimi binti Mohd Zin, Nur Aina binti Azizi, Nik Nur Aina Nafisah binti Nik Muhd Nasir, Ahmad Afiq bin Rambli, Aziz Abidin bin Azmi Puat, Muhd Fahim Hanif bin Muhd Fahmi Anuar dan Muhammad Khairil Asyraf bin Khairul Anuar.

Kesemua mereka telah mengharumkan nama Sekolah di mana 5 pelajar daripada mereka layak menyertai catur di peringkat Antarabangsa. Mereka yang dimaksudkan ialah Ahmad Afiq bin Rambli, Aziz Abidin bin Azmi Puat, Muhd Fahim Hanif bin Muhd Fahmi Anuar dan Muhammad Khairil Asyraf bin Khairul Anuar yang akan menyertai di peringkat Antarabangsa yang berlangsung di Bangkok pada bulan Jun 2013 nanti. Manakala pada bulan Ogos pula Muhammad Khairil Asyraf sekali lagi akan menyertai World Youth pertandingan catur di UAE.

Tidak lupa juga diucapkan tahniah dan jutaan terima kasih kepada guru pengiring Cikgu Faridah binti Samat.

Sementara itu, dalam majlis yang diadakan di dewan Asyatibi semasa perhimpunan mingguan, Puan Pengetua, Ustazah Mardziah binti Che Abdullah mengucapkan tahniah dan syabas kepada 4 orang pelajar yang telah mengharumkan nama sekolah di peringkat Negeri apabila memenangi pertandinga catur terbuka Terengganu yang telah diadakan di Universiti Malaysia Terengganu ( UMT ) pada 16 Febuari baru-baru ini.

Mereka adalah Muhammad Khairil Asyraf bin Khairul Anuar mendapat tempat pertama manakala Aziz Abidin bin Azmi Puat mendapat tempat ketiga bagi kategori bawah 18 tahun lelaki. Manakala Nik Nur Aina Nafisah binti Muhd Nasir tempat ketiga dan Umi safiah binti Sa’adon bagi kategori 18 tahun perempuan.

Perkongsian Ilmu Antara SMK Aminuddin Baki KL dan USIM Dengan SMIYT KTRG SBT

KUALA LUMPUR , 10 Februari : Program perkongsian ilmu ini banyak memberi impak positif kepada semua guru dan kakitangan yang menyertai lawatan ini. Sesuai dengan sekolah SBT yang perlu kepada pendedahan ilmu bagi menaikkan lagi mutu kerja dan cara-cara bagi melaksanakan tugas dan memahami bagaimana perlu mendapatkan KPI yang tinggi.

Dalam program ini yang bermula 7 hingga 9 februari, rombongan sekolah telah mengadakan lawatan ilmiah ke SMK Aminudin Baki Kuala Lumpur dan juga Universiti Sains Islam Malaysia USIM di Nilai Negeri Sembilan.

Ketika berada  di SMK Aminudin Baki Kuala Lumpur, roimbongan kami telah disambut mesra oleh pengurusan sekolah mereka yang diketuai oleh Puan Latifah binti Mahfod.

Semasa melawat USIM,rombongan kami diraikan oleh Encik Firdsaus Asfhan bin Omar, Penolong Pendaftar Pusat Tamhidi seterusnya melawat perpustakaan USIM.

Di akhir slot Puan Faridah binti Yang Razali, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan telah memberikan pengenalan mengenai KPI supaya guru dan kakitangan dapat mempertingkatkan lagi sekolah yang diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi.

Gambar selanjutnya sila klik DI SINI

 

Tahniah! ZAAMAH Muncul Juara Keseluruhan Larian Firqah

SMIYT K.TRG SBT , 5 Februari : Sekalung tahniah diucapkan kepada pasukan ZAAMAH apabila dinobatkan Johan Keseluruhan bagi acara Larian Firqah yang diadakan petang tadi.

Majlis pelepasan kesemua firqah dalam acara ini telah dirasmikan oleh Puan Pengetua, Ustazah Mardziah binti Che Abdullah. Kesemua firqah telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi bagi mencari mata firqah masing-masing. Majlis penyampaian semua hadiah juga telah disampaikan oleh puan pengetua sendiri.

Sementera itu pihak sekolah mengucapkan jutaan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia kerana menghantar 4 orang anggotanya bagi memastikan keselamatan peserta sepanjang larian tersebut.

Gambar selanjutnya sila klik DI SINI

 

Bengkel Celik Catur Tingkatan 1

SMIYT K.TRG SBT , 2 Februari : Seramai 125 pelajar tingkatan satu telah menghadiri bengkel Celik Catur di dewan Asyatibi. Ianya bermula jam 9 pagi tadi dan dijangka akan berakhir jam 1 petang nanti.

Menurut Setiausaha Sekolah, Cikgu Che Kadijah bt Abdullah, bengkel ini dikendalikan sepenuhnya oleh Arbiter Terengganu, Encik Mohd Arshad dalam usaha untuk memilih pemain catur yang berkaliber.

Menurut beliau lagi, bengkel ini juga memberi pendedahan kepada pelajar cara-cara atau kaedah yang sistematik bagaimana memulakan permainan dengan strategi yang tersusun.

× Sejarah SM Imtiaz Yayasan Terengganu

SEJARAH IMTIAZ

Aspirasi Masyarakat Setempat dan Pembinaan Sekolah

Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu  Kuala Terengganu dibina sekitar bulan November 1994 yang  bertujuan untuk memberi kemudahan pendidikan berasaskan agama kepada penduduk sekitarnya. Sekolah ini lahir daripada  aspirasi masyarakat setempat untuk memajukan kawasan mereka terutamanya dari aspek pendidikan. Idea-idea untuk menubuhkan sebuah sekolah agama telah disuarakan oleh penduduk Kampung Pulau Manis, Kampung Banggol Mempelam, Kampung Banggol Tok Ku, Kampung Banggol Lalang dan Kampung Baru Serada sejak tahun 1986.

Kepimpinan negeri pada masa itu di bawah YB Dato’ Seri Amar Di Raja Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad telah memberikan reaksi positif dan sebuah jawatankuasa bertindak telah dibentuk di peringkat Dewan Undangan Negeri untuk merealisasikan hasrat penduduk setempat. Kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan sekolah ini pada tahun 1994. Kerja-kerja pembinaan sekolah ini bermula pada November  1994 dan siap sepenuhnya pada bulan Mac 1997.  Sekolah ini dilengkapi dengan kemudahan  prasarana yang lengkap dan pembinaannya menelan belanja berjumlah RM 9.4 juta di kawasan seluas 8.1 hektar di Kampung Banggoh Karah, Serada, Kuala Terengganu.

Penubuhan KOSPINT

Namun sebagai usaha meningkatkan taraf Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk  menjadikan sekolah ini  sebagai sebuah Sekolah Bestari Kerajaan Negeri Berasrama Penuh. Pada bulan 1 jun 1997, sekolah ini mula beroperasi dengan nama Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) Bahagian Pendidikan. Pembukaan sekolah ini telah dirasmikan oleh ke bawah  DYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin pada  23 Julai 2000.

Kemudahan, Perkembangan Kurikulum dan Pencapaian

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) mempunyai 4 blok  bangunan yang terdiri daripada blok pentadbiran dan kelas, dua blok asrama putera dan puteri yang mampu menampung 560 orang pelajar serta dewan makan, sebuah dewan besar yang boleh memuatkan 850 orang pelajar, sebuah kantin dan surau yang mampu memuatkan 600 jemaah. Bagi kemudahan sukan dan riadah pula, terdapat sebuah padang bola sepak, dua gelanggang sepak  takraw dan gelanggang badminton. Kemudahan-kemudahan lain termasuklah bilik kuliah, perpustakaan, makmal komputer, makmal sekolah, bengkel kemahiran hidup dan koperasi sekolah.

Pengambilan pertama adalah dalam kalangan pelajar Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu . Kurikulum KBSM, kurikulum elektif dan votek diperkenalkan untuk tahun pertama dan elektif sains dimulakan pada tahun kedua penubuhan iaitu tahun 1998. Kurikulum ini berterusan sehingga pada 1 Januari 2006, walaupun baru ditubuhkan, namun prestasi pelajar amat membanggakan apabila keputusan peperiksaan sulungnya  iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR)  pada tahun 1998 mencatatkan kejayaan 100%.  Pencapaian SPM juga mencatat 100% walaupun pemilihan pelajar untuk kemasukan pertama adalah dalam kalangan pelajar yang bukan memperolehi 5A dalam peperiksaan UPSR.

Peralihan Kepada Sekolah IMTIAZ

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu telah dijadikan sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz dengan penambahan program hafazan dan kurikulum diniyyah dengan menggunakan nama Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu. Pengambilan pelajar sulung adalah seramai 98 orang. Sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz, sekolah ini diletakkan di bawah pentadbiran sebuah syarikat milik penuh Yayasan Terengganu iaitu Integrity Icon Sdn. Bhd. 

Perkembangan dan Pengiktirafan

Penubuhan sekolah Imtiaz ini, satu perubahan yang amat ketara telah dialami di sekolah ini sama ada dari segi pentadbiran, kurikulum, kokurikulum dan rutin harian pelajar. Ternyata kurikulum generasi ulul albab sangat sesuai dan memenuhi keperluan semasa dan Imtiaz mampu berperanan sebagai institusi penting melahirkan modal insan yang mampu memenuhi aspirasi negara. Imtiaz bukan sahaja menjadi agenda kerajaan negeri malahan telah mendapat sambutan di peringkat kebangsaan sehingga dijadikan sekolah angkat Timbalan Menteri Pelajaran iaitu  Allahyarham Dato’  Razali Bin Ismail,  mantan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia.

Bermula 1 November 2007, sekolah ini telah berdaftar dengan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai sebuah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Sehingga kini sekolah ini diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab Bahagian Pengurusan Imtiaz Yayasan Terengganu setelah pembubaran IISB.

×

Visi & Misi

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu

VISI

Melahirkan Generasi Ulul Albab

MISI

Memperkasakan Sistem Pendidikan Holistik Untuk Melahirkan Insan Seimbang Bercirikan Ulul Albab (Quranik, Ensiklopedik & Ijtihadik)

MOTTO

" Soleh Pintar "

TAGLINE

imtiaz The Best School In The World

×

Piagam Pelanggan

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu

Kami warga SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu dengan tekad dan iltizam berjanji akan berusaha sepenuh hati dan sehabis daya memberikan yang terbaik untuk:

01 — MEREALISASIKAN HASRAT BERSAMA

Merealisasikan hasrat ibu bapa, masyarakat, kerajaan negeri dan negara selaras dengan Falsafah Pendidikan Imtiaz dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

02 — MELAHIRKAN GENERASI HUFFAZ BERKUALITI

Mendidik dan melahirkan generasi hafiz dan hafizah yang profesional, berketerampilan dan berdaya kepimpinan yang berwibawa melalui perintisan ilmu yang bersepadu, bersumberkan Al-Quran dan hadis secara holistik.

03 — MENYEDIAKAN PERSEKITARAN KONDUSIF

Menyediakan prasarana yang lengkap dan mewujudkan persekitaran sekolah dan asrama yang kondusif dan selesa.

04 — MEMBUDAYAKAN BIAH SOLEHAH

Mewujudkan biah solehah bagi membudayakan pelajar dengan akhlak yang mulia lagi diredhai yang menjadi teras kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

05 — MEMPERKASA PENGURUSAN PENDIDIKAN

Melaksanakan sistem pengurusan pendidikan yang cekap dan berkualiti serta mengamalkan penambahbaikan yang berterusan.

06 — MEMBINA JARINGAN STRATEGIK

Membina jaringan yang menguntungkan dengan pelbagai jabatan dan agensi serta komuniti sekitar.

07 — MEMPERKUKUH UKHUWWAH DAN KHIDMAT KOMUNITI

Membina ukhuwwah yang mantap di antara warga sekolah dengan ibu bapa dan komuniti serta menawarkan khidmat komuniti dalam pelbagai bidang termasuk tanggungjawab kifayah.

08 — PERKHIDMATAN CEKAP DAN MESRA

Memberi perkhidmatan cekap dan mesra kepada setiap pelanggan yang berurusan dengan sekolah.