Author: admin

Projek Serlahan Bintang PMR 2013

SMIYT KTRG SBT , 20 Februari : Seramai 107 Calon PMR akan menduduki peperiksaan pada tahun ini.

Justeru itu, pihak sekolah melalui Projek PMR 2013 telah mengambil inisiatif supaya pelajar tersebut beroleh kejayaan yang cemerlang. Diantaranya ialah menjadikan pelajar yang tidak mencapai target sebagai ‘Anak Angkat ‘ kepada guru yang terlibat. Majlis ini telah diadakan di dataran Imtiaz pagi tadi yang telah dirasmikan oleh Penolong Kanan Pentadbiran, Ustazah Faidahnam binti Busu.

Semoga perancangan ini akan membuahkan hasil sebaik sahaja keputusan PMR 2013 diumumkan nanti.

Gambar selanjutnya sila klik DI SINI

Program ‘Kami Cakna, We Care “

BUKIT PAYONG: Program ini merupakan satu aktiviti pelajar Imtiaz K.Trg  dengan pelajar Diploma Kejururawatan yang telah diadakan pada 16 Februari yang lalu bertempat Rumah Sejahtera Taman Bahagia, Bukit Payong.

Tujuan program ini diadakan adealah untuk menunjukkan cara penyediaan makanan yang sesuai untuk warga emas. Disamping itu juga mendedahkan contoh senaman yang sesuai bagi mengimbangkan penggunaan tenaga dengan pengambilan makanan.

Ianya juga meningkatkan kualiti hidup warga emas terutamanya di Rumah Sejahtera, Taman Bahagia.

Majlis penutup telah dirasmikan oleh Dato’ Abdul Rahman bin Bakar, Pegawai Pembangunan Parlimen Marang.

Gambar selanjutnya sila klik DI SINI

Lawatan Dari SK Padang Hiliran K.Trg

SMIYT KTRG SBT , 19 Februari : Seramai 95 orang murid dan 6 orang guru dari Sk Padang Hiliran telah mengunjungi sekolah pagi ini.

Mereka terdiri daripada murid tahun 6 yang akan menduduki ujian Penilaian Sekolah Rendah ( UPSR ) tidak lama lagi. Tujuan lawatan tersebut adalah untuk meninjau suasana pembelajaran di sini serta melihat persekitaran sekolah.

Mereka telah dibawa melihat suasana pelajar menghafaz Al Quran di dewan dan juga di Surau disamping itu akan di bawa ke bilik kuliah bagi mendengar taklimat mengenai sekolah.

Terdahulu dari itu, rombongan tersebut telah disambut oleh pengurusan sekolah yang terdiri daripada Penolong Kanan Pentadbiran, Ustazah Faidahnam binti Busu, Setiausaha Sekolah, Cikgu Kadijah binti Che Abdullah dan juga Kaunselor serta AJK Pelajar.

Gambar selanjutnya sila klik DI SINI

Hafazan Al Quran : Muhd Hazwan Raih RM4,000.00

SMIYT KTRG SBT, 17 Febuari : Majlis Tilawah & Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di Wisma Darul Iman pada 14 Febuari baru-baru ini telah mengharumkan nama sekolah ini apabila salah seorang daripada 12 peserta menghafaz Al Quran telah mendapat tempat kedua hafazan Al Quran Peringkat Negeri Terengganu dalam kategori 1 – 20 juzuk sekaligus membawa pulang hadiah berupa wang berjumlah RM4,000.00. Beliau yang dimaksudkan adalah Muhd Hazwan bin Nor Azmi pelajar tingkatan 4.

Manakala bagi kategori 1 – 10 juzuk 11 peserta hafazan telah menerima saguhati RM200.00 setiap seorang. Mereka adalah

Tingkatan 4

1. Muhd Fida’iy bin Nazi Nadin

2. Muhd Izzat Farhan bin Fazri

3. Muhd Muizzuddin bin Zunaidi

4. Amir Fahmi bin Abdullah

5. Nur Izzati binti Zakaria

6. Nur Syatirah binti Mohd Noor

7. Nurul Adila binti Malek

 

Tingkatan 5

1. Muhammad Syarifulhuda bin Mohd Azeri

2. Mohd Hafizullah bin Osman

3. Nor Farahiyyah binti Ghazali

4. Siti Aisyah binti Muhdi

Sebelum itu, Majlis Tilawah & Menghafaz Al Quran peringkat saringan telah diadakan di Auditorium Komplek Sri Iman pada 5 – 7 Febuari 2013.

× Sejarah SM Imtiaz Yayasan Terengganu

SEJARAH IMTIAZ

Aspirasi Masyarakat Setempat dan Pembinaan Sekolah

Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu  Kuala Terengganu dibina sekitar bulan November 1994 yang  bertujuan untuk memberi kemudahan pendidikan berasaskan agama kepada penduduk sekitarnya. Sekolah ini lahir daripada  aspirasi masyarakat setempat untuk memajukan kawasan mereka terutamanya dari aspek pendidikan. Idea-idea untuk menubuhkan sebuah sekolah agama telah disuarakan oleh penduduk Kampung Pulau Manis, Kampung Banggol Mempelam, Kampung Banggol Tok Ku, Kampung Banggol Lalang dan Kampung Baru Serada sejak tahun 1986.

Kepimpinan negeri pada masa itu di bawah YB Dato’ Seri Amar Di Raja Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad telah memberikan reaksi positif dan sebuah jawatankuasa bertindak telah dibentuk di peringkat Dewan Undangan Negeri untuk merealisasikan hasrat penduduk setempat. Kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan sekolah ini pada tahun 1994. Kerja-kerja pembinaan sekolah ini bermula pada November  1994 dan siap sepenuhnya pada bulan Mac 1997.  Sekolah ini dilengkapi dengan kemudahan  prasarana yang lengkap dan pembinaannya menelan belanja berjumlah RM 9.4 juta di kawasan seluas 8.1 hektar di Kampung Banggoh Karah, Serada, Kuala Terengganu.

Penubuhan KOSPINT

Namun sebagai usaha meningkatkan taraf Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk  menjadikan sekolah ini  sebagai sebuah Sekolah Bestari Kerajaan Negeri Berasrama Penuh. Pada bulan 1 jun 1997, sekolah ini mula beroperasi dengan nama Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) Bahagian Pendidikan. Pembukaan sekolah ini telah dirasmikan oleh ke bawah  DYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin pada  23 Julai 2000.

Kemudahan, Perkembangan Kurikulum dan Pencapaian

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) mempunyai 4 blok  bangunan yang terdiri daripada blok pentadbiran dan kelas, dua blok asrama putera dan puteri yang mampu menampung 560 orang pelajar serta dewan makan, sebuah dewan besar yang boleh memuatkan 850 orang pelajar, sebuah kantin dan surau yang mampu memuatkan 600 jemaah. Bagi kemudahan sukan dan riadah pula, terdapat sebuah padang bola sepak, dua gelanggang sepak  takraw dan gelanggang badminton. Kemudahan-kemudahan lain termasuklah bilik kuliah, perpustakaan, makmal komputer, makmal sekolah, bengkel kemahiran hidup dan koperasi sekolah.

Pengambilan pertama adalah dalam kalangan pelajar Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu . Kurikulum KBSM, kurikulum elektif dan votek diperkenalkan untuk tahun pertama dan elektif sains dimulakan pada tahun kedua penubuhan iaitu tahun 1998. Kurikulum ini berterusan sehingga pada 1 Januari 2006, walaupun baru ditubuhkan, namun prestasi pelajar amat membanggakan apabila keputusan peperiksaan sulungnya  iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR)  pada tahun 1998 mencatatkan kejayaan 100%.  Pencapaian SPM juga mencatat 100% walaupun pemilihan pelajar untuk kemasukan pertama adalah dalam kalangan pelajar yang bukan memperolehi 5A dalam peperiksaan UPSR.

Peralihan Kepada Sekolah IMTIAZ

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu telah dijadikan sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz dengan penambahan program hafazan dan kurikulum diniyyah dengan menggunakan nama Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu. Pengambilan pelajar sulung adalah seramai 98 orang. Sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz, sekolah ini diletakkan di bawah pentadbiran sebuah syarikat milik penuh Yayasan Terengganu iaitu Integrity Icon Sdn. Bhd. 

Perkembangan dan Pengiktirafan

Penubuhan sekolah Imtiaz ini, satu perubahan yang amat ketara telah dialami di sekolah ini sama ada dari segi pentadbiran, kurikulum, kokurikulum dan rutin harian pelajar. Ternyata kurikulum generasi ulul albab sangat sesuai dan memenuhi keperluan semasa dan Imtiaz mampu berperanan sebagai institusi penting melahirkan modal insan yang mampu memenuhi aspirasi negara. Imtiaz bukan sahaja menjadi agenda kerajaan negeri malahan telah mendapat sambutan di peringkat kebangsaan sehingga dijadikan sekolah angkat Timbalan Menteri Pelajaran iaitu  Allahyarham Dato’  Razali Bin Ismail,  mantan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia.

Bermula 1 November 2007, sekolah ini telah berdaftar dengan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai sebuah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Sehingga kini sekolah ini diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab Bahagian Pengurusan Imtiaz Yayasan Terengganu setelah pembubaran IISB.

×

Visi & Misi

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu

VISI

Melahirkan Generasi Ulul Albab

MISI

Memperkasakan Sistem Pendidikan Holistik Untuk Melahirkan Insan Seimbang Bercirikan Ulul Albab (Quranik, Ensiklopedik & Ijtihadik)

MOTTO

" Soleh Pintar "

TAGLINE

imtiaz The Best School In The World

×

Piagam Pelanggan

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu

Kami warga SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu dengan tekad dan iltizam berjanji akan berusaha sepenuh hati dan sehabis daya memberikan yang terbaik untuk:

01 — MEREALISASIKAN HASRAT BERSAMA

Merealisasikan hasrat ibu bapa, masyarakat, kerajaan negeri dan negara selaras dengan Falsafah Pendidikan Imtiaz dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

02 — MELAHIRKAN GENERASI HUFFAZ BERKUALITI

Mendidik dan melahirkan generasi hafiz dan hafizah yang profesional, berketerampilan dan berdaya kepimpinan yang berwibawa melalui perintisan ilmu yang bersepadu, bersumberkan Al-Quran dan hadis secara holistik.

03 — MENYEDIAKAN PERSEKITARAN KONDUSIF

Menyediakan prasarana yang lengkap dan mewujudkan persekitaran sekolah dan asrama yang kondusif dan selesa.

04 — MEMBUDAYAKAN BIAH SOLEHAH

Mewujudkan biah solehah bagi membudayakan pelajar dengan akhlak yang mulia lagi diredhai yang menjadi teras kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

05 — MEMPERKASA PENGURUSAN PENDIDIKAN

Melaksanakan sistem pengurusan pendidikan yang cekap dan berkualiti serta mengamalkan penambahbaikan yang berterusan.

06 — MEMBINA JARINGAN STRATEGIK

Membina jaringan yang menguntungkan dengan pelbagai jabatan dan agensi serta komuniti sekitar.

07 — MEMPERKUKUH UKHUWWAH DAN KHIDMAT KOMUNITI

Membina ukhuwwah yang mantap di antara warga sekolah dengan ibu bapa dan komuniti serta menawarkan khidmat komuniti dalam pelbagai bidang termasuk tanggungjawab kifayah.

08 — PERKHIDMATAN CEKAP DAN MESRA

Memberi perkhidmatan cekap dan mesra kepada setiap pelanggan yang berurusan dengan sekolah.