Tazkirah Mingguan Untuk Kakitangan

KUALA TERENGGANU, 10 Sept: Bagi menjamin semua kakitangan mendapat santapan rohani, setiap minggu iaitu pada pagi selasa , satu tazkirah ringkas telah diadakan di bilik mesyuarat.

Penyampai tazkirah ialah semua pihak Pentadbiran Sekolah yang terdiri daripada Puan Pengetua dan semua Penolong Kanan mengikut giliran masing-masing.

Ini bertujuan untuk memberikan sedikit kesegaran minda untuk santapan rohani. Semoga tazkirah seumpama ini akan memberikan hasil yang baik untuk dijadikan amalan sebelum memulakan kerja seharian.

Verifikasi Jemaah Nazir Untuk Sekolah Berprestasi Tinggi ( SBT )

KUALA TERENGGANU, 6 Sept: Kehadiran 5 orang Jemaah Nazir jam 8.45 pagi telah disambut mesra oleh pihak pengurusan sekolah yang terdiri daripada Puan Pengetua Ustazah Mardziah binti Che Abdullah serta semua Penolong Kanan bagi pencalonan Sekolah Berprestasi Tinggi Kohort 3.

Sebelum taklimat dimulakan, Jemaah Nazir  telah dibawa meninjau di dewan dan surau untuk melihat sendiri pelajar menghafaz Al-Quran.

Selepas diberi taklimat, mereka kemudian bergerak ke bilik kaunseling, kelas, asrama dan bilik-bilik yang lain.

Tahniah dan syabas untuk SM Imtiaz Kuala Terengganu di atas pencalonan Sekolah Berprestasi Tinggi ( SBT ).

Klik di sini untuk melihat gambar selanjutnya.

 

 

Majlis Hari Raya Bersama Alumni Meriah

KUALA TERENGGANU, 4 Sept: Pada hari ini pihak sekolah telah mengadakan majlis Hari Raya dengan bersama MPIBG sekolah.

Lebih meriah lagi ialah kehadiran ramai pelajar lepasan Imtiaz KOSPINT hadir kemajlis tersebut. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi MPIBG Tuan Haji Mohd Zulkifli.

Banyak acara telah diadakan antaranya ialahpersembahan nasyid pelajar tingkatan satu,  ucapan wakil setiap tingkatan, wakil guru dan kakitangan dan lebih ceria lagi ialah ucapan wakil alumni yang hadir serta ucapan puan pengetua serta pengerusi MPIBG.

Pelbagai acara lagi telah diadakan sebelum jamuan dimulakan anataranya permainan catur dikalangan pelajar serta alumni. Sebelum majlis berakhir satu majlis perjumpaan pelajar alumni dengan MPIBG telah diadakan. Suasana pada hari ini cukup meriah sekali.

Sila klik di sini untuk melihat gambar seterusnya

Majlis Ambang Aidilfitri

KUALA TERENGGANU, 25 Ogos: Majlis ini telah diselitkan dengan ceramah bagi menyambut Aidilfitri dengan menjemput seorang penceramah dari UNISZA,

Gong Badak dekat sini.

Beliau telah memberikan beberapa kaedah yang terbaik bagi menyambut awal bulan Syawal yang akan tiba tidak berapa lama lagi.

Dalam majlis yang sama juga, puan pengetua Ustazah Mardziah binti Che Abdullah telah menyampaikan sedikit ucapan mengenai majlis tersebut. Pada masa yang sama juga beliau telah menyampai cenderahati kepada 30 pelajar Imtiaz K.Trg yang menyertai Tadarrus Al Quran anjuran YPK. Program tadarrus Al Quran ini telah diadakan setiap malam di bulan Ramadhan mulai jam 9.45 malam di radio RTM Kuala Terengganu.

Sebelum majlis selesai, semua guru dan pelajar bersalam-salaman mohon maaf sempena menyambut ketibaan bulan Syawal nanti.

Beliau juga telah menyampaikan sumbangan duit raya untuk pelajar yatim dan miskin. Dengan ini diharap pelajar berkenaan tidak dilupakan untuk sama-sama meraikan hari yang penuh kegembiraan ini.

× Sejarah SM Imtiaz Yayasan Terengganu

SEJARAH IMTIAZ

Aspirasi Masyarakat Setempat dan Pembinaan Sekolah

Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu  Kuala Terengganu dibina sekitar bulan November 1994 yang  bertujuan untuk memberi kemudahan pendidikan berasaskan agama kepada penduduk sekitarnya. Sekolah ini lahir daripada  aspirasi masyarakat setempat untuk memajukan kawasan mereka terutamanya dari aspek pendidikan. Idea-idea untuk menubuhkan sebuah sekolah agama telah disuarakan oleh penduduk Kampung Pulau Manis, Kampung Banggol Mempelam, Kampung Banggol Tok Ku, Kampung Banggol Lalang dan Kampung Baru Serada sejak tahun 1986.

Kepimpinan negeri pada masa itu di bawah YB Dato’ Seri Amar Di Raja Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad telah memberikan reaksi positif dan sebuah jawatankuasa bertindak telah dibentuk di peringkat Dewan Undangan Negeri untuk merealisasikan hasrat penduduk setempat. Kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan sekolah ini pada tahun 1994. Kerja-kerja pembinaan sekolah ini bermula pada November  1994 dan siap sepenuhnya pada bulan Mac 1997.  Sekolah ini dilengkapi dengan kemudahan  prasarana yang lengkap dan pembinaannya menelan belanja berjumlah RM 9.4 juta di kawasan seluas 8.1 hektar di Kampung Banggoh Karah, Serada, Kuala Terengganu.

Penubuhan KOSPINT

Namun sebagai usaha meningkatkan taraf Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk  menjadikan sekolah ini  sebagai sebuah Sekolah Bestari Kerajaan Negeri Berasrama Penuh. Pada bulan 1 jun 1997, sekolah ini mula beroperasi dengan nama Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) Bahagian Pendidikan. Pembukaan sekolah ini telah dirasmikan oleh ke bawah  DYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin pada  23 Julai 2000.

Kemudahan, Perkembangan Kurikulum dan Pencapaian

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) mempunyai 4 blok  bangunan yang terdiri daripada blok pentadbiran dan kelas, dua blok asrama putera dan puteri yang mampu menampung 560 orang pelajar serta dewan makan, sebuah dewan besar yang boleh memuatkan 850 orang pelajar, sebuah kantin dan surau yang mampu memuatkan 600 jemaah. Bagi kemudahan sukan dan riadah pula, terdapat sebuah padang bola sepak, dua gelanggang sepak  takraw dan gelanggang badminton. Kemudahan-kemudahan lain termasuklah bilik kuliah, perpustakaan, makmal komputer, makmal sekolah, bengkel kemahiran hidup dan koperasi sekolah.

Pengambilan pertama adalah dalam kalangan pelajar Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu . Kurikulum KBSM, kurikulum elektif dan votek diperkenalkan untuk tahun pertama dan elektif sains dimulakan pada tahun kedua penubuhan iaitu tahun 1998. Kurikulum ini berterusan sehingga pada 1 Januari 2006, walaupun baru ditubuhkan, namun prestasi pelajar amat membanggakan apabila keputusan peperiksaan sulungnya  iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR)  pada tahun 1998 mencatatkan kejayaan 100%.  Pencapaian SPM juga mencatat 100% walaupun pemilihan pelajar untuk kemasukan pertama adalah dalam kalangan pelajar yang bukan memperolehi 5A dalam peperiksaan UPSR.

Peralihan Kepada Sekolah IMTIAZ

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu telah dijadikan sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz dengan penambahan program hafazan dan kurikulum diniyyah dengan menggunakan nama Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu. Pengambilan pelajar sulung adalah seramai 98 orang. Sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz, sekolah ini diletakkan di bawah pentadbiran sebuah syarikat milik penuh Yayasan Terengganu iaitu Integrity Icon Sdn. Bhd. 

Perkembangan dan Pengiktirafan

Penubuhan sekolah Imtiaz ini, satu perubahan yang amat ketara telah dialami di sekolah ini sama ada dari segi pentadbiran, kurikulum, kokurikulum dan rutin harian pelajar. Ternyata kurikulum generasi ulul albab sangat sesuai dan memenuhi keperluan semasa dan Imtiaz mampu berperanan sebagai institusi penting melahirkan modal insan yang mampu memenuhi aspirasi negara. Imtiaz bukan sahaja menjadi agenda kerajaan negeri malahan telah mendapat sambutan di peringkat kebangsaan sehingga dijadikan sekolah angkat Timbalan Menteri Pelajaran iaitu  Allahyarham Dato’  Razali Bin Ismail,  mantan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia.

Bermula 1 November 2007, sekolah ini telah berdaftar dengan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai sebuah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Sehingga kini sekolah ini diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab Bahagian Pengurusan Imtiaz Yayasan Terengganu setelah pembubaran IISB.

×

Visi & Misi

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu

VISI

Melahirkan Generasi Ulul Albab

MISI

Memperkasakan Sistem Pendidikan Holistik Untuk Melahirkan Insan Seimbang Bercirikan Ulul Albab (Quranik, Ensiklopedik & Ijtihadik)

MOTTO

" Soleh Pintar "

TAGLINE

imtiaz The Best School In The World

×

Piagam Pelanggan

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu

Kami warga SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu dengan tekad dan iltizam berjanji akan berusaha sepenuh hati dan sehabis daya memberikan yang terbaik untuk:

01 — MEREALISASIKAN HASRAT BERSAMA

Merealisasikan hasrat ibu bapa, masyarakat, kerajaan negeri dan negara selaras dengan Falsafah Pendidikan Imtiaz dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

02 — MELAHIRKAN GENERASI HUFFAZ BERKUALITI

Mendidik dan melahirkan generasi hafiz dan hafizah yang profesional, berketerampilan dan berdaya kepimpinan yang berwibawa melalui perintisan ilmu yang bersepadu, bersumberkan Al-Quran dan hadis secara holistik.

03 — MENYEDIAKAN PERSEKITARAN KONDUSIF

Menyediakan prasarana yang lengkap dan mewujudkan persekitaran sekolah dan asrama yang kondusif dan selesa.

04 — MEMBUDAYAKAN BIAH SOLEHAH

Mewujudkan biah solehah bagi membudayakan pelajar dengan akhlak yang mulia lagi diredhai yang menjadi teras kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

05 — MEMPERKASA PENGURUSAN PENDIDIKAN

Melaksanakan sistem pengurusan pendidikan yang cekap dan berkualiti serta mengamalkan penambahbaikan yang berterusan.

06 — MEMBINA JARINGAN STRATEGIK

Membina jaringan yang menguntungkan dengan pelbagai jabatan dan agensi serta komuniti sekitar.

07 — MEMPERKUKUH UKHUWWAH DAN KHIDMAT KOMUNITI

Membina ukhuwwah yang mantap di antara warga sekolah dengan ibu bapa dan komuniti serta menawarkan khidmat komuniti dalam pelbagai bidang termasuk tanggungjawab kifayah.

08 — PERKHIDMATAN CEKAP DAN MESRA

Memberi perkhidmatan cekap dan mesra kepada setiap pelanggan yang berurusan dengan sekolah.