KUALA TERENGGANU, 19 Mac : Pelancaran Program Sahsiah Unggul Murid ( SUMUR ) telah di adakan pada petang tadi di Dewan Asyatibi.

Majlis perasmian program ini telah dirasmikan oleh Tuan Haji Wan Said bin Wan Salleh, Ketua Sektor, Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Tuan Haji Razak bin Jusoh, Pegawai Perhubungan Sekolah. Kedua-dua tetamu khas ini telah disambut oleh Puan Pengetua, Ustazah Mardziah binti Che Abdullah, semua Penolong Kanan, Ketua Jabatan serta guru dan pelajar.

Menurut Pengarah Program, Ustaz Syed Sheikh, program SUMUR ini adalah untuk  membentuk Generasi Ulul Albab dan juga penjenamaan semula sahsiah unggul murid yang tersusun agar ianya berjalan dengan kemas dan berjadual. Ianya telah dicetuskan oleh bekas Menteri Pelajaran Malaysia YB Dato’ Seri Hishamuddin bin Tun Hussien dan telah disambut baik oleh Jabatan Pendidikan Islam dan Moral ( JAPIM), Kementerian Pelajaran Malaysia dengan mencetuskan modul 5C iaitu murid Contoh, murid Cerdas, murid Cerdik, murid Cergas dan murid Ceria.

Dalam ucapan aluan pengetua, beliau memaklumkan bahawa SUMUR ini  telah dijalankan semenjak tahun lepas lagi dan pada tahun ini hanya sebagai satu kesinambungan yang perlu menjadi tanggungjawab pihak sekolah bagi mempastikan kecemerlangan akhlak semua pelajar disamping kecemerlangan akademik.

Beliau amat berterima kasih atas kehadiran Tuan Haji Wan Said bin Wan Salleh walaupun banyak program yang perlu dihadiri namun beliau sangat berbesar hati untuk hadir bagi menyempurnakan majlis tersebut.

Gambar pelancaran