Kem Peningkatan Prestasi Subjek Pendidikan Islam

KUALA TERENGGANU, 17 Apr : Kem ini difokuskan kepada pelajar tingkatan 1, 2 dan 3 yang telah diadakan di Dewan Asyatibi.

Menurut Ketua Jabatan Al-Quran, Ustaz Ridzuan bin Aziz, ianya bertujuan untuk mendedahkan kepada pelajar teknik  menjawab soalan, membuat nota dan sebagainya sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan dan juga memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan dengan tajuk-tajuk yang diberi penekanan.

Gambar selanjutnya

Kursus Haji Untuk Pelajar

KUALA TERENGGANU, 17 Apr : Program ini telah di adakan di perkarangan SM Imtiaz Kuala Terengganu.

Menurut Ketua Jabatan Al Quran, Ustaz Ridzuan bin Aziz, program ini tertumpu kepada pelajar tingkatan 4 dan 5 bertujuan memberi pendedahan kepada mereka berkenaan dengan rukun Haji dan perkara yang berkaitan dengannya.

Disamping itu melaksanakan amali supaya pelajar dapat mengalami dan merasai  sendiri bagaimana suasana mengerjakan fardhu Haji.

Gambar mengerjakan tawaf

Forum Pengurusan Masa

KUALA TERENGGANU, 15 Apr : Forum ini telah diadakan di dewan Asyatibi bermula jam 3.30 petang tadi.

Menurut Kaunselor Sekolah , Puan Norhidayah binti Ibrahim, forum ini dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kauseling Sekolah  adalah untuk memberi pendedahan  kepada pelajar bagaimana  dapat menguruskan masa dengan baik  sehingga mereka menjadi pelajar yang cemerlang.

Bagi menyempurnakan forum tersebut, pihak sekolah telah menjemput 3 ahli panel yang terdiri daripada pelajar terbaik SPM. Mereka ialah Mohd Nur Hakim bin Hussin Pelajar terbaik SPM 2009, Nur Syahirah binti Exrab pelajar SPM terbaik 2011. Pihak sekolah juga menjemput Mohd Faris Fahmi bin Mohd Isa pelajar terbaik SPM 2011 dari SM Imtiaz Dungun.

Diharap dengan program ini akan menjadi sumber aspirasi kepada semua pelajar untuk bangkit bagi mencapai keputusan yang cemerlang seterusnya berjaya ke menara gading.

Penginapan Peserta Sukan MASMAT Akhir 2012

Dungun, 14 Apr : Semua peserta yang terlibat dalam temasya Sukan Sekolah-Sekolah Agama Terengganu ( MASMAT ) Akhir di tempatkan di penginapan UiTM Dungun.

Seramai 250 peserta perempuan, 412 peserta lelaki serta 108 orang guru pengiring dan pegawai mendiami di asrama tersebut.

Sebanyak 14 buah sekolah yang terlibat dalam temasya kali yang ke 42 ini. Antaranya ialah

SMAASZA Batu Buruk ( 126 peserta )

SMA Maarif ( 16 peserta )

SMA Ittifakiah ( 82 peserta )

SMA Marang ( 56 peserta )

SMA Sultan Ismail Dungun ( 12 peserta )

SMA Khairiah ( 64 peserta )

SMASZA Ladang ( 12 peserta )

SMA Al Falah Kemaman ( 26 peserta )

SMA Setiu ( 64 peserta )

SMA Mahmudiah ( 36 peserta )

SM Imtiaz Kuala Terengganu ( 86 peserta )

SM Imtiaz Kuala Berang ( 24 peserta )

SM Imtiaz Dungun ( 30 peserta )

SM Imtiaz Besut ( 28 peserta )

Terima kasih kepada SMA Sultan Ismail yang merupakan Tuan Rumah bagi temasya kali ini kerana menyediakan penginapan yang terbaik untuk semua peserta sukan.

Gambar menarik

× Sejarah SM Imtiaz Yayasan Terengganu

SEJARAH IMTIAZ

Aspirasi Masyarakat Setempat dan Pembinaan Sekolah

Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu  Kuala Terengganu dibina sekitar bulan November 1994 yang  bertujuan untuk memberi kemudahan pendidikan berasaskan agama kepada penduduk sekitarnya. Sekolah ini lahir daripada  aspirasi masyarakat setempat untuk memajukan kawasan mereka terutamanya dari aspek pendidikan. Idea-idea untuk menubuhkan sebuah sekolah agama telah disuarakan oleh penduduk Kampung Pulau Manis, Kampung Banggol Mempelam, Kampung Banggol Tok Ku, Kampung Banggol Lalang dan Kampung Baru Serada sejak tahun 1986.

Kepimpinan negeri pada masa itu di bawah YB Dato’ Seri Amar Di Raja Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad telah memberikan reaksi positif dan sebuah jawatankuasa bertindak telah dibentuk di peringkat Dewan Undangan Negeri untuk merealisasikan hasrat penduduk setempat. Kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan sekolah ini pada tahun 1994. Kerja-kerja pembinaan sekolah ini bermula pada November  1994 dan siap sepenuhnya pada bulan Mac 1997.  Sekolah ini dilengkapi dengan kemudahan  prasarana yang lengkap dan pembinaannya menelan belanja berjumlah RM 9.4 juta di kawasan seluas 8.1 hektar di Kampung Banggoh Karah, Serada, Kuala Terengganu.

Penubuhan KOSPINT

Namun sebagai usaha meningkatkan taraf Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk  menjadikan sekolah ini  sebagai sebuah Sekolah Bestari Kerajaan Negeri Berasrama Penuh. Pada bulan 1 jun 1997, sekolah ini mula beroperasi dengan nama Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) Bahagian Pendidikan. Pembukaan sekolah ini telah dirasmikan oleh ke bawah  DYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin pada  23 Julai 2000.

Kemudahan, Perkembangan Kurikulum dan Pencapaian

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) mempunyai 4 blok  bangunan yang terdiri daripada blok pentadbiran dan kelas, dua blok asrama putera dan puteri yang mampu menampung 560 orang pelajar serta dewan makan, sebuah dewan besar yang boleh memuatkan 850 orang pelajar, sebuah kantin dan surau yang mampu memuatkan 600 jemaah. Bagi kemudahan sukan dan riadah pula, terdapat sebuah padang bola sepak, dua gelanggang sepak  takraw dan gelanggang badminton. Kemudahan-kemudahan lain termasuklah bilik kuliah, perpustakaan, makmal komputer, makmal sekolah, bengkel kemahiran hidup dan koperasi sekolah.

Pengambilan pertama adalah dalam kalangan pelajar Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu . Kurikulum KBSM, kurikulum elektif dan votek diperkenalkan untuk tahun pertama dan elektif sains dimulakan pada tahun kedua penubuhan iaitu tahun 1998. Kurikulum ini berterusan sehingga pada 1 Januari 2006, walaupun baru ditubuhkan, namun prestasi pelajar amat membanggakan apabila keputusan peperiksaan sulungnya  iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR)  pada tahun 1998 mencatatkan kejayaan 100%.  Pencapaian SPM juga mencatat 100% walaupun pemilihan pelajar untuk kemasukan pertama adalah dalam kalangan pelajar yang bukan memperolehi 5A dalam peperiksaan UPSR.

Peralihan Kepada Sekolah IMTIAZ

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu telah dijadikan sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz dengan penambahan program hafazan dan kurikulum diniyyah dengan menggunakan nama Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu. Pengambilan pelajar sulung adalah seramai 98 orang. Sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz, sekolah ini diletakkan di bawah pentadbiran sebuah syarikat milik penuh Yayasan Terengganu iaitu Integrity Icon Sdn. Bhd. 

Perkembangan dan Pengiktirafan

Penubuhan sekolah Imtiaz ini, satu perubahan yang amat ketara telah dialami di sekolah ini sama ada dari segi pentadbiran, kurikulum, kokurikulum dan rutin harian pelajar. Ternyata kurikulum generasi ulul albab sangat sesuai dan memenuhi keperluan semasa dan Imtiaz mampu berperanan sebagai institusi penting melahirkan modal insan yang mampu memenuhi aspirasi negara. Imtiaz bukan sahaja menjadi agenda kerajaan negeri malahan telah mendapat sambutan di peringkat kebangsaan sehingga dijadikan sekolah angkat Timbalan Menteri Pelajaran iaitu  Allahyarham Dato’  Razali Bin Ismail,  mantan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia.

Bermula 1 November 2007, sekolah ini telah berdaftar dengan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai sebuah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Sehingga kini sekolah ini diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab Bahagian Pengurusan Imtiaz Yayasan Terengganu setelah pembubaran IISB.

×

Visi & Misi

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu

VISI

Melahirkan Generasi Ulul Albab

MISI

Memperkasakan Sistem Pendidikan Holistik Untuk Melahirkan Insan Seimbang Bercirikan Ulul Albab (Quranik, Ensiklopedik & Ijtihadik)

MOTTO

" Soleh Pintar "

TAGLINE

imtiaz The Best School In The World