Program Hafazan dan Kelas Akademik Bermula Seminggu Lebih Awal

KUALA TERENGGANU, 26 Dis: Dengan kehadiran pelajar seramai 349 orang pada petang semalam maka bermulalah Program Hafazan dan Kelas Akademik.

Menurut Ketua jabatan Al-Quran, Ustaz Ridzuan bin Aziz, tujuan pelaksanaan program ini adalah untuk memantapkan diri pelajar dengan menghafal Al-Quran lebih awal bagi persediaan tahun 2012 nanti. Walaupun seminggu lebih awal dari pelajar sekolah lain, beliau merasakan kaedah ini amatlah sesuai untuk melahirkan lebih ramai pelajar yang khatam Al-Quran 30 juzuk sepertimana yang telah dilaksanakan pada tahun 2010.

Pada masa yang sama , kelas akademik  juga terus diadakan kepada semua pelajar terutama kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan PMR dan SPM 2012 nanti.

Malam tadi Penolong Kanan HEM, Tuan Hai Ahmad Ridhuan bin Abd Ghani, telah menyampaikan taklimat kepada semua pelajar.

Walaupun program ini diadakan dalam cuti persekolahan akhir tahun, namun begitu ketika meninjau program ini berjalan, ramai pelajar yang begitu gembira kerana persiapan awal ini akan memberikan semangat yang baru kepada mereka bagi menghadapi sesi 2012 nanti.

Seramai 60 Orang Pelajar mendapat 9A dalam Peperiksaan PMR 2011

SM Imtiaz Kuala Terengganu terus melakar kecemerlangan dalam peperiksaan PMR 2011 apabila keputusan Penilaian Menengah Rendah yang telah diumumkan oleh Penolong Kanan Ulul Albab, Tuan Haji Mohd Amin Faisal bin Haji Uzip pagi tadi telah menjulang nama sekolah di peringkat Daerah Kuala Terengganu dengan Gred Purata Sekolah 1.11%.

Menurut beliau lagi, pada tahun 2010, sekolah ini mendapat GPS sebanyak 1.12% dengan jumlah pelajar PMR mendapat keputusan 9A seramai 44 orang atau 41.90%. Manakala pada tahun ini sebanyak 50.42% mendapat 9A atau 60 pelajar daripada 119 calon.

Penolong Kanan Akademik, Puan Faidahnam binti Busu telah menyampaikan slip peperiksaan kepada pelajar yang mendapat 9A. Beliau juga mengumumkan matapelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu ( KHB ) telah berjaya mengekalkan keputusan 100% semua A selama dua tahun berturut-turut.

9A – 60 orang – 50.42%, 8A 1B – 31 pelajar – 26.1%, 7A – 13 pelajar – 10.9%, 6A – 13 pelajar – 10.9%, 5A – 1 pelajar – 0.01% dan 3A – 1 pelajar – 0.01%

Tahniah dan syabas

Sila klik DI SINI untuk gambar seterusnya

Hampir 400 Calon Tingkatan 1 Menghadiri Temuduga

Seawal jam 7.30 pagi tadi, ramai ibubapa telah hadir ke Sekolah ini bersama anak mereka yang terpilih bagi menghadiri temuduga pengambilan pelajar tingkatan 1 bagi tahun 2012.

Sesi temuduga ini diadakan dalam 5 peringkat yang bermula pada jam 8.00 pagi, 8.30 pagi, 9.00 pagi, 9.30 pagi dan 10.00 pagi. Ramai calon yang datang dari negeri Terengganu dan ada juga dari Selangor, Kelantan dan beberapa negeri lain.

Pegawai-pegawai dari Yayasan Terengganu hadir bagi memberi penerangan mengenai cara-cara untuk mengikuti sesi temuduga tersebut. Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Imtiaz Yayasan Terengganu, Tuan Haji Ahmad Kamal bin Abdullah serta Encik Azwandi, Ustaz Wan Azman serta Ustaz Wan Zakry juga turut kelihatan bagi melihat proses temuduga. KPP seterusnya telah mengadakan taklimat kepada ibubapa yang hadir untuk memberi penjelasan mengenai SM Imtiaz Yayasan Terengganu.

Pihak sekolah juga telah menerima kunjungan dari pegawai pendidikan daerah Miri Sarawak untuk melihat sendiri proses temuduga yang dijalankan oleh pihak Yayasan Terengganu bagi pengambilan pelajar tingkatan 1 kemasukan tahun 2012.

Sila klik DI SINI untuk melihat gambar seterusnya

Hud Al Hashir Bercita-Cita Menjadi Imam Masjidil Haram

KUALA TERENGGANU, 24 NOV: Dilahirkan di Sepang, Selangor pada tahun 1994, Muhammad Hud Al Hashir bin Haironeze merupakan seorang pelajar yang sangat menitikberatkan hal-hal keagamaan. Beliau juga merupakan Bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2010/2011.

Seorang anak yang mempunyai bapa yang bekerja sebagai pramugara ini berazam mendapat keputusan 11A+ dalam peperiksaan SPM yang sedang berlangsung sekarang. Mempunyai 4 orang adik beradik dan beliau merupakan anak yang pertama. Apabila ditanya kenapa memilih Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu sebagai tempat pembelajaran, beliau menyatakan bahawa amat berminat tentang hafazan Al Quran dan sekolah ini mempunyai ciri-ciri tersebut.

Yang uniknya beliau bercita-cita ingin menjadi Imam di Masjdil Haram satu masa nanti. Suaranya sungguh merdu apabila mengalunkan bacaan Al Quran. Semoga cita-cita beliau dimakbulkan Allah.

Video – Surah Al Kaafirun

Video – Surah Al Kauthar

Video – Surah Al Maaun

Video – Surah An Nasr

Video – Surah Quraisy

Video – Surah Al Fil

Video – Surah Al Humazah

Video – Surah Al Asr

Video – Surah At Takaathur

Video – Surah Al Fatihah

 

 

 

 

× Sejarah SM Imtiaz Yayasan Terengganu

SEJARAH IMTIAZ

Aspirasi Masyarakat Setempat dan Pembinaan Sekolah

Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu  Kuala Terengganu dibina sekitar bulan November 1994 yang  bertujuan untuk memberi kemudahan pendidikan berasaskan agama kepada penduduk sekitarnya. Sekolah ini lahir daripada  aspirasi masyarakat setempat untuk memajukan kawasan mereka terutamanya dari aspek pendidikan. Idea-idea untuk menubuhkan sebuah sekolah agama telah disuarakan oleh penduduk Kampung Pulau Manis, Kampung Banggol Mempelam, Kampung Banggol Tok Ku, Kampung Banggol Lalang dan Kampung Baru Serada sejak tahun 1986.

Kepimpinan negeri pada masa itu di bawah YB Dato’ Seri Amar Di Raja Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad telah memberikan reaksi positif dan sebuah jawatankuasa bertindak telah dibentuk di peringkat Dewan Undangan Negeri untuk merealisasikan hasrat penduduk setempat. Kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan sekolah ini pada tahun 1994. Kerja-kerja pembinaan sekolah ini bermula pada November  1994 dan siap sepenuhnya pada bulan Mac 1997.  Sekolah ini dilengkapi dengan kemudahan  prasarana yang lengkap dan pembinaannya menelan belanja berjumlah RM 9.4 juta di kawasan seluas 8.1 hektar di Kampung Banggoh Karah, Serada, Kuala Terengganu.

Penubuhan KOSPINT

Namun sebagai usaha meningkatkan taraf Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk  menjadikan sekolah ini  sebagai sebuah Sekolah Bestari Kerajaan Negeri Berasrama Penuh. Pada bulan 1 jun 1997, sekolah ini mula beroperasi dengan nama Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) Bahagian Pendidikan. Pembukaan sekolah ini telah dirasmikan oleh ke bawah  DYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin pada  23 Julai 2000.

Kemudahan, Perkembangan Kurikulum dan Pencapaian

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) mempunyai 4 blok  bangunan yang terdiri daripada blok pentadbiran dan kelas, dua blok asrama putera dan puteri yang mampu menampung 560 orang pelajar serta dewan makan, sebuah dewan besar yang boleh memuatkan 850 orang pelajar, sebuah kantin dan surau yang mampu memuatkan 600 jemaah. Bagi kemudahan sukan dan riadah pula, terdapat sebuah padang bola sepak, dua gelanggang sepak  takraw dan gelanggang badminton. Kemudahan-kemudahan lain termasuklah bilik kuliah, perpustakaan, makmal komputer, makmal sekolah, bengkel kemahiran hidup dan koperasi sekolah.

Pengambilan pertama adalah dalam kalangan pelajar Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu . Kurikulum KBSM, kurikulum elektif dan votek diperkenalkan untuk tahun pertama dan elektif sains dimulakan pada tahun kedua penubuhan iaitu tahun 1998. Kurikulum ini berterusan sehingga pada 1 Januari 2006, walaupun baru ditubuhkan, namun prestasi pelajar amat membanggakan apabila keputusan peperiksaan sulungnya  iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR)  pada tahun 1998 mencatatkan kejayaan 100%.  Pencapaian SPM juga mencatat 100% walaupun pemilihan pelajar untuk kemasukan pertama adalah dalam kalangan pelajar yang bukan memperolehi 5A dalam peperiksaan UPSR.

Peralihan Kepada Sekolah IMTIAZ

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu telah dijadikan sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz dengan penambahan program hafazan dan kurikulum diniyyah dengan menggunakan nama Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu. Pengambilan pelajar sulung adalah seramai 98 orang. Sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz, sekolah ini diletakkan di bawah pentadbiran sebuah syarikat milik penuh Yayasan Terengganu iaitu Integrity Icon Sdn. Bhd. 

Perkembangan dan Pengiktirafan

Penubuhan sekolah Imtiaz ini, satu perubahan yang amat ketara telah dialami di sekolah ini sama ada dari segi pentadbiran, kurikulum, kokurikulum dan rutin harian pelajar. Ternyata kurikulum generasi ulul albab sangat sesuai dan memenuhi keperluan semasa dan Imtiaz mampu berperanan sebagai institusi penting melahirkan modal insan yang mampu memenuhi aspirasi negara. Imtiaz bukan sahaja menjadi agenda kerajaan negeri malahan telah mendapat sambutan di peringkat kebangsaan sehingga dijadikan sekolah angkat Timbalan Menteri Pelajaran iaitu  Allahyarham Dato’  Razali Bin Ismail,  mantan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia.

Bermula 1 November 2007, sekolah ini telah berdaftar dengan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai sebuah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Sehingga kini sekolah ini diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab Bahagian Pengurusan Imtiaz Yayasan Terengganu setelah pembubaran IISB.

×

Visi & Misi

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu

VISI

Melahirkan Generasi Ulul Albab

MISI

Memperkasakan Sistem Pendidikan Holistik Untuk Melahirkan Insan Seimbang Bercirikan Ulul Albab (Quranik, Ensiklopedik & Ijtihadik)

MOTTO

" Soleh Pintar "

TAGLINE

imtiaz The Best School In The World

×

Piagam Pelanggan

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu

Kami warga SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu dengan tekad dan iltizam berjanji akan berusaha sepenuh hati dan sehabis daya memberikan yang terbaik untuk:

01 — MEREALISASIKAN HASRAT BERSAMA

Merealisasikan hasrat ibu bapa, masyarakat, kerajaan negeri dan negara selaras dengan Falsafah Pendidikan Imtiaz dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

02 — MELAHIRKAN GENERASI HUFFAZ BERKUALITI

Mendidik dan melahirkan generasi hafiz dan hafizah yang profesional, berketerampilan dan berdaya kepimpinan yang berwibawa melalui perintisan ilmu yang bersepadu, bersumberkan Al-Quran dan hadis secara holistik.

03 — MENYEDIAKAN PERSEKITARAN KONDUSIF

Menyediakan prasarana yang lengkap dan mewujudkan persekitaran sekolah dan asrama yang kondusif dan selesa.

04 — MEMBUDAYAKAN BIAH SOLEHAH

Mewujudkan biah solehah bagi membudayakan pelajar dengan akhlak yang mulia lagi diredhai yang menjadi teras kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

05 — MEMPERKASA PENGURUSAN PENDIDIKAN

Melaksanakan sistem pengurusan pendidikan yang cekap dan berkualiti serta mengamalkan penambahbaikan yang berterusan.

06 — MEMBINA JARINGAN STRATEGIK

Membina jaringan yang menguntungkan dengan pelbagai jabatan dan agensi serta komuniti sekitar.

07 — MEMPERKUKUH UKHUWWAH DAN KHIDMAT KOMUNITI

Membina ukhuwwah yang mantap di antara warga sekolah dengan ibu bapa dan komuniti serta menawarkan khidmat komuniti dalam pelbagai bidang termasuk tanggungjawab kifayah.

08 — PERKHIDMATAN CEKAP DAN MESRA

Memberi perkhidmatan cekap dan mesra kepada setiap pelanggan yang berurusan dengan sekolah.