DK Homestay, Serada, 16-18 Nov 2025: Seramai 36 orang pelajar Tingkatan 1 SM Imtiaz YT Kuala Terengganu telah mengikut sebuah Kem Pemantapan Hafazan selama 3 hari anjuran Unit Al-Quran Tingkatan 1 sekolah. Kem ini diadakan bagi membantu pelajar menamatkan silibus tahunan secara teratur, khususnya bagi pelajar yang sedang berada pada Juzuk 4 dan 5.
Antara objektif program ini adalah:
Menyelesaikan silibus tahunan Al-Quran dengan teratur.
Mempertingkat penguasaan tajwid dan kelancaran bacaan.
Meningkatkan disiplin hafazan pelajar.
Galeri gambar boleh layari laman Facebook rasmi sekolah.
Unit Pembudayaan Al-Quran dengan kerjasama MPIBG SM Imtiaz YT Kuala Terengganu telah menganjurkan Majlis Khatam Hafazan Al-Quran pada hari ini yang mana ia merupakan salah satu acara yang ingin dilaksanakan setiap tahun oleh pihak Unit Al-Quran bagi meningkatkan kecemerlangan pelajar dalam bidang Al-Quran seterusnya melahirkan sahsiah pelajar yang seimbang duniawi dan ukhrawi. Majlis ini juga merupakan satu kesinambungan bagi menjadikan amalan membaca dan murajaah Al-Quran sebagai satu budaya sekaligus mengiktiraf pelajar yang telah berjaya menghafaz Al-Quran sebanyak 30 juzuk di bumi Imtiaz Kuala Terengganu. Majlis ini melibatkan pelajar-pelajar Tingkatan 3-5 seramai 150 orang dan turut dijemput adalah ibu bapa pelajar yang terlibat bagi memeriahkan lagi majlis ini.
Khatam Hafazan Al-Quran merupakan suatu ibadah yang menjadi tuntutan agama Islam. Semua umat Islam digalakkan khatam Al-Quran sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup. Tetapi apa yang lebih penting, supaya Al-Quran itu hidup di dalam diri setiap Muslim. Seberapa kerap seseorang itu khatam Al-Quran, itulah yang terbaik untuk dirinya.
Berikut adalah objektif majlis ini diadakan:
Menanam sikap menyanjungi dan memuliakan Al-Quran dalam kalangan warga sekolah
Menarik minat pelajar berusaha mengkhatam hafazan Al-Quran.
Menyemaikan minat pelajar dalam menyertai program program keagamaan.
Mencungkil bakat dan kepimpinan dalam kalangan pelajar dalam bidang Al-Quran.
Pelajar berkeyakinan dengan bacaan dan penguasaan Al-Quran serta melaziminya dalam kehidupan seharian mereka.
Galeri gambar boleh layari laman Facebook rasmi sekolah.
Tahniah dan Syabas kepada guru-guru, terutama guru-guru Hifz al-Quran dan anak-anak Avenoir Tacenda SPM 2025 .
97 orang calon SPM 2025 telah berjaya khatam hafazan 30 juzuk. Ini merupakan batch kedua khatam Al-Quran 100% selepas batch Envyctus (SPM 2024).
Terima kasih kepada ayahanda pengetua, barisan pengurusan, ibu bapa dan semua warga SM Imtiaz YT Kuala Terengganu yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan yang padu.
Semoga anak-anak soleh solehah pintar Avenoir Tacenda terus cemerlang dan 12A+ menjadi milik kalian.
Qurata Riverside Resort, Kuala Ibai, 14 Okt 2025: Unit Badar dan Unit Sahsiah sekolah telah menganjurkan sebuah kem sahsiah khusus untuk pelajar Tingkatan 2 bermula hari ini. Pihak pengajur juga menjemput Ustaz Ahmad Sofwat Bin Osman dari Awken Success Trading Consultant sebagai moderator kem ini.
Berdasarkan Gelombang 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 -2025 terdapat pelbagai kemahiran yang perlu diberi perhatian untuk membolehkan para pelajar berdaya saing di peringkat global. Pengurusan sahsiah pelajar di sekolah memainkan peranan penting bagi mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan memperkembangkan potensi pelajar secara optimum selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Inisiatif yang berfokus, urusan berterusan dan pencapaian berimpak dalam perkembangan sahsiah pelajar, peningkatan disipilin pelajar dapat melahirkan insan unggul serta budiman. Oleh itu, kem ini akan memfokuskan pembinaan jati diri kepada seramai 104 orang murid Tingkatan 2 SM Imtiaz YT Kuala Terengganu. Kem yang berlangsung selama 2 hari 1 malam ini diharap dapat membantu meningkatkan semangat bekerja secara berpasukan dalam kalangan pelajar seterusnya bertindak secara efektif sebagai penanda aras dalam melahirkan ikon pelajar yang holistik.
Antara objektif kem ini ialah:
Membina sahsiah diri dan mengurangkan kelemahan diri supaya dapat membina sikap positif.
Membentuk sebuah badan kepimpinan prohuffaz yang mampu memberi dorongan untuk membina budaya saling membantu untuk mencapai visi dan misi kepimpinan pelajar Tingkatan 2.
Galeri gambar boleh layari laman Facebook rasmi sekolah.