
Pada 6 Ogos 2026 Majlis Perasmian Penutup Program Khas Asasi Ulul Albab Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu telah berlangsung dengan jayanya di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Terengganu (TER). Majlis ini diadakan bagi meraikan kejayaan pelajar Tingkatan Satu yang telah berjaya menamatkan Program Khas Asasi Ulul Albab serta sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan mereka dalam aspek akademik, hafazan al-Quran, sahsiah dan kepimpinan.
Majlis telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Satiful Bahari B. Mamat selaku Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Terengganu, dengan kehadiran barisan pengurusan Yayasan Terengganu, pengetua-pengetua Sekolah Menengah Imtiaz, guru-guru, ibu bapa serta para pelajar.
Program Khas Asasi Ulul Albab merupakan program yang memberi penekanan kepada pembentukan pelajar yang seimbang melalui tiga komponen utama iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik (QEI). Sepanjang pelaksanaan program, para pelajar telah mengikuti pelbagai pengisian yang bertujuan memperkukuhkan penguasaan al-Quran, meningkatkan prestasi akademik serta membentuk akhlak dan jati diri yang unggul.
Dalam majlis tersebut turut diadakan penyampaian anugerah kepada pelajar yang cemerlang dalam beberapa kategori sebagai penghargaan atas usaha, komitmen dan kecemerlangan yang ditunjukkan sepanjang mengikuti program.
Semoga Program Khas Asasi Ulul Albab terus menjadi wadah dalam melahirkan generasi Ulul Albab yang berilmu, berakhlak mulia, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan negara selaras dengan aspirasi Yayasan Terengganu.