Author: admin

Borneo International Innovation Creativity Competition 2025

International Youth Centre, K. Lumpur, 9-10 Ogos 2025 : TAHNIAH & SYABAS!!! kepada pelajar Tingkatan 2, SM Imtiaz YT KUALA TERENGGANU, Aira Nur Maisarah binti Abdullah Fuad kerana telah merangkul tiga anugerah bertaraf antarabangsa dalam Borneo International Innovation Creativity Competition (BIICC) 2025 yang telah berlangsung pada 26-30 Jun 2025.  Anugerah tersebut diraih menerusi projek infografik bertajuk ‘When They Disappear, So Do We’, yang membolehkan Aira Nur Maisarah membawa pulang ‘Gold Medal’, ‘Platinum Award’ serta ‘Best Infographic Poster Award’ yang diumumkan di International Youth Centre, Kuala Lumpur, semalam. Proses dalam penyediaan projek telah di bantu oleh dua orang guru pembimbing Ustaz Zaimuddin bin Anizan dan Ustaz Abdul Rashid bin Al Muzmi. Pertandingan seumpama ini dapat melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif serta mampu bersaing di peringkat global.

Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada kepada Pihak Pengetua, Pengurusan iKT, guru-guru, ibu bapa dan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung atas usaha, komitmen dan pengorbanan yang diberikan untuk kejayaan ini. 

Galeri gambar boleh layari laman Facebook rasmi sekolah.

Perhimpunan Rasmi Sekolah Kali Ke-6 Sesi Akademik 2025/2026

Perhimpunan rasmi sekolah kali ke-6 telah diadakan pada hari ini sebagai acara mingguan yang diadakan di sekolah untuk pelbagai tujuan termasuk membina disiplin, memupuk semangat patriotik dan menyampaikan maklumat penting. Perhimpunan ini juga menjadi platform untuk membudayakan kemahiran mencatat dan meningkatkan daya fokus murid. 

Berikut adalah merupakan agenda yang telah disusun untuk perhimpunan rasmi ini:

  • Nyanyian lagu Negaraku, lagu Sekolah dan ikrar
  • Aluan Pengacara Majlis
  • Ucapan Ayahanda Pengetua
  • Peluncuran Sambutan Bulan Kemerdekaan
  • Peluncuran Eksplorasi Bahasa Gemilang
  • Penyampaian Hadiah
    • 3K
    • Mahrajan Al-Quran & Ihtifal Lughawi Sekolah-Sekolah
    • Inovasi
  • Bacaan Doa & Majlis Bersurai

Galeri gambar boleh layari laman Facebook rasmi sekolah.

 

Program Jelajah Huffaz Tingkatan 2

Taman Tamadun Islam, 9 Ogos 2025 : Program Jelajah Huffaz Mumtaz adalah program yang dikhususkan untuk semua pelajar Tingkatan 2 yang berada dalam kategori cemerlang bagi subjek hafazan. Seramai 31 orang pelajar yang telah menghafaz juzuk ke-11 dan ke atas telah terpilih untuk mengikuti program ini. Program ini juga adalah salah satu usaha Unit Al-Quran Sekolah Menengah Imtiaz YT Kuala Terengganu dalam memberi penekanan tentang komitmen dan kesungguhan pelajar-pelajar berkenaan untuk terus bersemangat meningkatkan kualiti hafazan mereka seterusnya dapat khatam Al-Quran sebelum masuk ke Tingkatan 4. Program ini dikendalikan oleh guru-guru Al-Quran Tingkatan 2 Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu.

Objektif bagi program ini adalah:

1️⃣ Membantu pelajar untuk terus komited dan bersemangat untuk meningkatan hafazan serta khatam pada waktu yang ditetapkan.
2️⃣ Memupuk kesedaran supaya pelajar lebih bermotivasi untuk menghafaz dan mencapai sukatan yang telah ditetapkan.
3️⃣ Menggembleng kerjasama erat pelbagai pihak ke arah membantu pelajar menghabiskan silibus hifz dengan jayanya.

Galeri gambar boleh layari laman Facebook rasmi sekolah.

Bengkel Pengacaraan & Protokol Majlis 2025

Unit Perhimpunan dan Protokol Majlis sekolah telah menganjurkan sebuah bengkel Pengacaraan dan Protokol Majlis pada hari ini di Dewan As-syatibi, SM Imtiaz YT Kuala Terengganu yang melibatkan 118 orang pelajar daripada Majlis Perwakilan Pelajar, Badan Pengawas Asrama dan beberapa pelajar yang berminat dalam bidang pengacaraan. Pihak pengajur juga telah menjemput MC Diraja iaitu Tuan Haji Ahmad Syafri Husnaini bin Haji Mohamad daripada Jabatan Penerangan Negeri Terengganu sebagai moderator program ini.

Bengkel pengacaraan ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran pelajar-pelajar tersebut dalam mengendalikan majlis secara profesional. Bengkel ini merangkumi aspek teori dan praktikal, termasuk teknik pengacaraan, kawalan majlis, penggunaan gelaran rasmi, dan pembinaan keyakinan diri.

Objektif bagi bengkel pengacaraan ini adalah:
  • Memberi pendedahan dan pengetahuan dalam pengendalian pengacaraan dengan lebih jitu dan sistematik.
  • Mewujudkan dan mengembangkan potensi dalam diri pelajar yang ingin menjadi pengacara dalam sesuatu majlis.
  • Memberi kefahaman mendalam tentang cara melaksanakan tugas pengacaraan majlis dengan sempurna mengikut amalan protokol semasa.

Galeri gambar boleh layari laman Facebook rasmi sekolah.

× Sejarah SM Imtiaz Yayasan Terengganu

SEJARAH IMTIAZ

Aspirasi Masyarakat Setempat dan Pembinaan Sekolah

Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu  Kuala Terengganu dibina sekitar bulan November 1994 yang  bertujuan untuk memberi kemudahan pendidikan berasaskan agama kepada penduduk sekitarnya. Sekolah ini lahir daripada  aspirasi masyarakat setempat untuk memajukan kawasan mereka terutamanya dari aspek pendidikan. Idea-idea untuk menubuhkan sebuah sekolah agama telah disuarakan oleh penduduk Kampung Pulau Manis, Kampung Banggol Mempelam, Kampung Banggol Tok Ku, Kampung Banggol Lalang dan Kampung Baru Serada sejak tahun 1986.

Kepimpinan negeri pada masa itu di bawah YB Dato’ Seri Amar Di Raja Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad telah memberikan reaksi positif dan sebuah jawatankuasa bertindak telah dibentuk di peringkat Dewan Undangan Negeri untuk merealisasikan hasrat penduduk setempat. Kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan sekolah ini pada tahun 1994. Kerja-kerja pembinaan sekolah ini bermula pada November  1994 dan siap sepenuhnya pada bulan Mac 1997.  Sekolah ini dilengkapi dengan kemudahan  prasarana yang lengkap dan pembinaannya menelan belanja berjumlah RM 9.4 juta di kawasan seluas 8.1 hektar di Kampung Banggoh Karah, Serada, Kuala Terengganu.

Penubuhan KOSPINT

Namun sebagai usaha meningkatkan taraf Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk  menjadikan sekolah ini  sebagai sebuah Sekolah Bestari Kerajaan Negeri Berasrama Penuh. Pada bulan 1 jun 1997, sekolah ini mula beroperasi dengan nama Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) Bahagian Pendidikan. Pembukaan sekolah ini telah dirasmikan oleh ke bawah  DYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin pada  23 Julai 2000.

Kemudahan, Perkembangan Kurikulum dan Pencapaian

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) mempunyai 4 blok  bangunan yang terdiri daripada blok pentadbiran dan kelas, dua blok asrama putera dan puteri yang mampu menampung 560 orang pelajar serta dewan makan, sebuah dewan besar yang boleh memuatkan 850 orang pelajar, sebuah kantin dan surau yang mampu memuatkan 600 jemaah. Bagi kemudahan sukan dan riadah pula, terdapat sebuah padang bola sepak, dua gelanggang sepak  takraw dan gelanggang badminton. Kemudahan-kemudahan lain termasuklah bilik kuliah, perpustakaan, makmal komputer, makmal sekolah, bengkel kemahiran hidup dan koperasi sekolah.

Pengambilan pertama adalah dalam kalangan pelajar Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu . Kurikulum KBSM, kurikulum elektif dan votek diperkenalkan untuk tahun pertama dan elektif sains dimulakan pada tahun kedua penubuhan iaitu tahun 1998. Kurikulum ini berterusan sehingga pada 1 Januari 2006, walaupun baru ditubuhkan, namun prestasi pelajar amat membanggakan apabila keputusan peperiksaan sulungnya  iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR)  pada tahun 1998 mencatatkan kejayaan 100%.  Pencapaian SPM juga mencatat 100% walaupun pemilihan pelajar untuk kemasukan pertama adalah dalam kalangan pelajar yang bukan memperolehi 5A dalam peperiksaan UPSR.

Peralihan Kepada Sekolah IMTIAZ

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu telah dijadikan sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz dengan penambahan program hafazan dan kurikulum diniyyah dengan menggunakan nama Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu. Pengambilan pelajar sulung adalah seramai 98 orang. Sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz, sekolah ini diletakkan di bawah pentadbiran sebuah syarikat milik penuh Yayasan Terengganu iaitu Integrity Icon Sdn. Bhd. 

Perkembangan dan Pengiktirafan

Penubuhan sekolah Imtiaz ini, satu perubahan yang amat ketara telah dialami di sekolah ini sama ada dari segi pentadbiran, kurikulum, kokurikulum dan rutin harian pelajar. Ternyata kurikulum generasi ulul albab sangat sesuai dan memenuhi keperluan semasa dan Imtiaz mampu berperanan sebagai institusi penting melahirkan modal insan yang mampu memenuhi aspirasi negara. Imtiaz bukan sahaja menjadi agenda kerajaan negeri malahan telah mendapat sambutan di peringkat kebangsaan sehingga dijadikan sekolah angkat Timbalan Menteri Pelajaran iaitu  Allahyarham Dato’  Razali Bin Ismail,  mantan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia.

Bermula 1 November 2007, sekolah ini telah berdaftar dengan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai sebuah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Sehingga kini sekolah ini diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab Bahagian Pengurusan Imtiaz Yayasan Terengganu setelah pembubaran IISB.

×

Visi & Misi

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu

VISI

Melahirkan Generasi Ulul Albab

MISI

Memperkasakan Sistem Pendidikan Holistik Untuk Melahirkan Insan Seimbang Bercirikan Ulul Albab (Quranik, Ensiklopedik & Ijtihadik)

MOTTO

" Soleh Pintar "

TAGLINE

imtiaz The Best School In The World

×

Piagam Pelanggan

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu

Kami warga SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu dengan tekad dan iltizam berjanji akan berusaha sepenuh hati dan sehabis daya memberikan yang terbaik untuk:

01 — MEREALISASIKAN HASRAT BERSAMA

Merealisasikan hasrat ibu bapa, masyarakat, kerajaan negeri dan negara selaras dengan Falsafah Pendidikan Imtiaz dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

02 — MELAHIRKAN GENERASI HUFFAZ BERKUALITI

Mendidik dan melahirkan generasi hafiz dan hafizah yang profesional, berketerampilan dan berdaya kepimpinan yang berwibawa melalui perintisan ilmu yang bersepadu, bersumberkan Al-Quran dan hadis secara holistik.

03 — MENYEDIAKAN PERSEKITARAN KONDUSIF

Menyediakan prasarana yang lengkap dan mewujudkan persekitaran sekolah dan asrama yang kondusif dan selesa.

04 — MEMBUDAYAKAN BIAH SOLEHAH

Mewujudkan biah solehah bagi membudayakan pelajar dengan akhlak yang mulia lagi diredhai yang menjadi teras kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

05 — MEMPERKASA PENGURUSAN PENDIDIKAN

Melaksanakan sistem pengurusan pendidikan yang cekap dan berkualiti serta mengamalkan penambahbaikan yang berterusan.

06 — MEMBINA JARINGAN STRATEGIK

Membina jaringan yang menguntungkan dengan pelbagai jabatan dan agensi serta komuniti sekitar.

07 — MEMPERKUKUH UKHUWWAH DAN KHIDMAT KOMUNITI

Membina ukhuwwah yang mantap di antara warga sekolah dengan ibu bapa dan komuniti serta menawarkan khidmat komuniti dalam pelbagai bidang termasuk tanggungjawab kifayah.

08 — PERKHIDMATAN CEKAP DAN MESRA

Memberi perkhidmatan cekap dan mesra kepada setiap pelanggan yang berurusan dengan sekolah.