
SM Imtiaz YT Kuala Berang, 25 Sept 2025: Karnival Idul Ilmi Sekolah-sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kali Ke-19 telah diadakan di SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Berang selaku tuan rumah yang mana program ini telah berlangsung selama 3 hari bermula sejak 23 September 2025.
Karnival Idul Ilmi ini merupakan aktiviti tahunan yang bertujuan untuk mengasah bakat-bakat baru dan menggilap bakat-bakat terpendam dalam kalangan pelajar serta menjadi medan untuk mengeratkan hubungan sesama keluarga Imtiaz. Ia merupakan salah satu manifestasi usaha pengukuhan komponen utama Ulul Albab iaitu Quranik bagi merelealisasikan cita murni melahirkan generasi imtiaz yang berkemahiran insaniah serta unggul di mata dunia. Bahagian Pengurusan Imtiaz telah mengambil langkah efisien agar aktiviti ko-kurikulum yang berbentuk ilmiah ini disatukan sambutannya supaya menampakkan kehebatan pada sambutan peristiwa berkenaan.
Seramai 304 pelajar dari 8 buah SM Imtiaz Yayasan Terengganu telah menyertai pelbagai pertandingan yang dianjurkan. Sebanyak 7 acara utama telah dipertandingkan merangkumi 22 kategori, antaranya hafazan, tilawah al-Quran, nasyid, khat serta pidato dalam tiga bahasa – Melayu, Inggeris dan Cina.
SM Imtiaz Yayasan Terengganu Dungun telah diumumkan sebagai Johan Keseluruhan Wanita, manakala SM Imtiaz Yayasan Terengganu Setiu memenangi Johan Keseluruhan Lelaki dan dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Karnival Idul Ilmi Kali Ke-19. Selain itu, SM Imtiaz Yayasan Terengganu Marang telah diumumkan sebagai tuan rumah bagi Karnival Idul Ilmi Kali ke-20 Tahun 2026 akan datang.
Dalam pertandingan tersebut SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu telah berjaya mendapat tempat dalam beberapa acara yang dipertandingkan.




