Seramai 20 orang pelajar SM Imtiaz YT Kuala Terengganu telah dipilih oleh Sic+ PPDKT, En Fauzi pada 19-20 Okt 2025 yang lalu untuk dibimbing dalam program kerjasama Matematik Tambahan antara pelajar sekolah ini dan SMK Tengku Bariah.
Hasil daripada bimbingan tersebut, guru muda yang telah dilatih pula berkongsi ilmu kepada rakan pelajar yang lain dari sekolah-sekolah sekitar daerah Kuala Terengganu yang lain pada 7 Nov 2025 bertempat di Dewan As-Syatibi SM Imtiaz YT Kuala Terengganu. Usaha ini dilaksanakan dengan hasrat untuk meningkatkan peratus bilangan A matapelajaran Matematik Tambahan bagi sekolah-sekolah daerah Kuala Terengganu.
Antara objektif program ini diadakan adalah:
Meningkatkan kemahiran dan keyakinan calon calon SPM 2025 dalam matapelajaran Matematik Tambahan.
Meningkatkan peratus bilangan A matapelajaran Matematik Tambahan bagi calon SPM 2025 SM Imtiaz YT Kuala Terengganu khususnya dan juga daerah Kuala Terengganu amnya.
Galeri gambar boleh layari laman Facebook rasmi sekolah.
Am Transit Inn, Kuala Nerus, 12 Okt 2025: Jabatan Bahasa SM Imtiaz YT Kuala Terengganu telah menganjurkan satu Kem Bahasa Gemilang khusus untuk semua calon SPM 2025 selama tiga hari bermula hari ini.
Kem Bahasa SPM ini melibatkan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab yang akan diduduki oleh semua calon SPM 2025 tidak lama lagi. Objektif program ini adalah sebagai program tahunan di bawah Jabatan Bahasa sebagai langkah untuk meningkatkan pencapaian pelajar dalam subjek bahasa. Program ini juga diharap dapat meningkatkan kemahiran dan kefahaman pelajar terhadap semua subjek bahasa.
Antara objektif utama kem ini diadakan adalah:
Meningkatkan kemahiran dan kefahaman pelajar dalam subjek bahasa.
Meningkatkan peratus gred A+ dalam subjek bahasa.
Meningkatkan GPMP subjek bahasa dalam SPM 2025.
Galeri gambar boleh layari laman Facebook rasmi sekolah.
Batu Buruk Beach Resort, 7 Oktober 2025: Seramai 102 orang pelajar Tingkatan 2 SM Imtiaz YT Kuala Terengganu telah mengikuti kem di bawah anjuran Unit Projek Kecemerlangan Tingkatan 2 & J/Kuasa Kurikulum Sekolah bermula hari ini sehingga esok. Kem ini bertujuan untuk membuka ruang kepada para pelajar dan guru membuat persiapan bagi menghadapi Ujian Akhir Sesi Akademik 2025. Di harap melalui semangat sinergi dan usaha bersama ini dapat menyemarakkan motivasi pelajar Tingkatan 2 serta meningkatkan keyakinan mereka bagi mencapai kecemerlangan yang luar biasa dalam UASA 2025.
Matlamat kem ini adalah untuk menjadi motivasi kepada semua peserta untuk mengorak langkah dan terus berjuang di medan ilmu dengan lebih mantap seterusnya mencapai kecemerlangan dalam UASA 2025. Dengan gabungan kekuatan ilmu Al-Quran dan sains, pelajar diharap dapat tampil sebagai generasi unggul yang mampu bersaing di peringkat global.
Antara objektif kem tersebut adalah:
Membuka ruang kepada pelajar dan guru untuk membuat persiapan menghadapi Ujian Akhir Sesi Akademik 2025.
Meningkatkan kefahaman dan kemahiran pelajar tingkatan 2 dalam semua subjek terutama subjek teras yang lebih mencabar.
Meningkatkan semangat dan motivasi pelajar untuk skor ‘A’ dalam UASA.
Galeri gambar boleh layari laman Facebook rasmi sekolah.
SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu
Kg. Banggol Karah, Serada,
20050 Kuala Terengganu,
Terengganu, Malaysia.
📍 LOKASI SEKOLAH
ALUAN PENGETUA
SM IMTIAZ YAYASAN TERENGGANU KUALA TERENGGANU
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, laman sesawang rasmi SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu dapat menjadi wadah perkongsian maklumat, pencapaian, aktiviti serta perkembangan sekolah kepada seluruh warga sekolah, ibu bapa, alumni dan masyarakat.
Selamat datang dan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang mengunjungi laman sesawang rasmi sekolah ini. Sesungguhnya, dunia pendidikan sentiasa berkembang seiring dengan perubahan zaman dan kemajuan teknologi. Justeru, kita perlu terus bergerak ke hadapan dengan menjadikan teknologi sebagai medium untuk memperkukuh komunikasi, menyebarluaskan maklumat serta membina jaringan yang lebih erat antara sekolah dengan komuniti.
SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu sentiasa komited dalam usaha melahirkan generasi huffaz yang berilmu, berakhlak, berketerampilan dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi pendidikan Imtiaz.
Dalam menghadapi cabaran pendidikan masa kini, seluruh warga sekolah perlu bergerak sebagai satu pasukan.
Saya yakin dengan semangat kebersamaan, kesungguhan dan komitmen seluruh warga SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu, kita mampu terus mencipta kecemerlangan dan mengangkat nama sekolah di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa.
Akhir kata, marilah kita bersama-sama menjadikan sekolah ini sebagai sebuah institusi pendidikan yang bukan sahaja melahirkan huffaz yang menghafaz Al-Quran, tetapi juga huffaz yang menghayati, memahami dan menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan.
Semoga segala usaha dan ikhtiar kita mendapat keberkatan serta dipermudahkan oleh Allah SWT.
“Melahirkan Generasi Huffaz yang Berilmu, Berakhlak dan Berdaya Saing.”
Sekian, terima kasih kerana melayari laman sesawang kami.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
MD IMRAN BIN MD NOR
PENGETUA CEMERLANG
SM IMTIAZ YAYASAN TERENGGANU KUALA TERENGGANU
×
SEJARAH IMTIAZ
Aspirasi Masyarakat Setempat dan Pembinaan Sekolah
Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu dibina sekitar bulan November 1994 yang bertujuan untuk memberi kemudahan pendidikan berasaskan agama kepada penduduk sekitarnya. Sekolah ini lahir daripada aspirasi masyarakat setempat untuk memajukan kawasan mereka terutamanya dari aspek pendidikan. Idea-idea untuk menubuhkan sebuah sekolah agama telah disuarakan oleh penduduk Kampung Pulau Manis, Kampung Banggol Mempelam, Kampung Banggol Tok Ku, Kampung Banggol Lalang dan Kampung Baru Serada sejak tahun 1986.
Kepimpinan negeri pada masa itu di bawah YB Dato’ Seri Amar Di Raja Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad telah memberikan reaksi positif dan sebuah jawatankuasa bertindak telah dibentuk di peringkat Dewan Undangan Negeri untuk merealisasikan hasrat penduduk setempat. Kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan sekolah ini pada tahun 1994. Kerja-kerja pembinaan sekolah ini bermula pada November 1994 dan siap sepenuhnya pada bulan Mac 1997. Sekolah ini dilengkapi dengan kemudahan prasarana yang lengkap dan pembinaannya menelan belanja berjumlah RM 9.4 juta di kawasan seluas 8.1 hektar di Kampung Banggoh Karah, Serada, Kuala Terengganu.
Bangunan Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT).
Penubuhan KOSPINT
Pintu masuk Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT).
Namun sebagai usaha meningkatkan taraf Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk menjadikan sekolah ini sebagai sebuah Sekolah Bestari Kerajaan Negeri Berasrama Penuh. Pada bulan 1 Jun 1997, sekolah ini mula beroperasi dengan nama Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) Bahagian Pendidikan.
Pembukaan sekolah ini telah dirasmikan oleh ke bawah DYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin pada 23 Julai 2000.
Perasmian rasmi KOSPINT oleh KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin.
Kemudahan, Perkembangan Kurikulum dan Pencapaian
Bas Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT).
Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) mempunyai 4 blok bangunan yang terdiri daripada blok pentadbiran dan kelas, dua blok asrama putera dan puteri yang mampu menampung 560 orang pelajar serta dewan makan, sebuah dewan besar yang boleh memuatkan 850 orang pelajar, sebuah kantin dan surau yang mampu memuatkan 600 jemaah. Bagi kemudahan sukan dan riadah pula, terdapat sebuah padang bola sepak, dua gelanggang sepak takraw dan gelanggang badminton. Kemudahan-kemudahan lain termasuklah bilik kuliah, perpustakaan, makmal komputer, makmal sekolah, bengkel kemahiran hidup dan koperasi sekolah.
Pengambilan pertama adalah dalam kalangan pelajar Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu. Kurikulum KBSM, kurikulum elektif dan votek diperkenalkan untuk tahun pertama dan elektif sains dimulakan pada tahun kedua penubuhan iaitu tahun 1998. Kurikulum ini berterusan sehingga pada 1 Januari 2006, walaupun baru ditubuhkan, namun prestasi pelajar amat membanggakan apabila keputusan peperiksaan sulungnya iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun 1998 mencatatkan kejayaan 100%. Pencapaian SPM juga mencatat 100% walaupun pemilihan pelajar untuk kemasukan pertama adalah dalam kalangan pelajar yang bukan memperolehi 5A dalam peperiksaan UPSR.
Peralihan Kepada Sekolah IMTIAZ
Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu telah dijadikan sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz dengan penambahan program hafazan dan kurikulum diniyyah dengan menggunakan nama Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu. Pengambilan pelajar sulung adalah seramai 98 orang. Sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz, sekolah ini diletakkan di bawah pentadbiran sebuah syarikat milik penuh Yayasan Terengganu iaitu Integrity Icon Sdn. Bhd.
Perkembangan dan Pengiktirafan
Penubuhan sekolah Imtiaz ini, satu perubahan yang amat ketara telah dialami di sekolah ini sama ada dari segi pentadbiran, kurikulum, kokurikulum dan rutin harian pelajar. Ternyata kurikulum generasi ulul albab sangat sesuai dan memenuhi keperluan semasa dan Imtiaz mampu berperanan sebagai institusi penting melahirkan modal insan yang mampu memenuhi aspirasi negara. Imtiaz bukan sahaja menjadi agenda kerajaan negeri malahan telah mendapat sambutan di peringkat kebangsaan sehingga dijadikan sekolah angkat Timbalan Menteri Pelajaran iaitu Allahyarham Dato’ Razali Bin Ismail, mantan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia.
Bermula 1 November 2007, sekolah ini telah berdaftar dengan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai sebuah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Sehingga kini sekolah ini diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab Bahagian Pengurusan Imtiaz Yayasan Terengganu setelah pembubaran IISB.
×
Visi & Misi
SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu
VISI
Melahirkan Generasi Ulul Albab
MISI
Memperkasakan Sistem Pendidikan Holistik Untuk Melahirkan Insan Seimbang Bercirikan Ulul Albab (Quranik, Ensiklopedik & Ijtihadik)
MOTTO
" Soleh Pintar "
TAGLINE
imtiaz The Best School In The World
×
Piagam Pelanggan
SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu
Kami warga SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu
dengan tekad dan iltizam berjanji akan berusaha sepenuh hati
dan sehabis daya memberikan yang terbaik untuk:
01 — MEREALISASIKAN HASRAT BERSAMA
Merealisasikan hasrat ibu bapa, masyarakat, kerajaan negeri
dan negara selaras dengan Falsafah Pendidikan Imtiaz dan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
02 — MELAHIRKAN GENERASI HUFFAZ BERKUALITI
Mendidik dan melahirkan generasi hafiz dan hafizah yang
profesional, berketerampilan dan berdaya kepimpinan yang
berwibawa melalui perintisan ilmu yang bersepadu,
bersumberkan Al-Quran dan hadis secara holistik.
03 — MENYEDIAKAN PERSEKITARAN KONDUSIF
Menyediakan prasarana yang lengkap dan mewujudkan persekitaran
sekolah dan asrama yang kondusif dan selesa.
04 — MEMBUDAYAKAN BIAH SOLEHAH
Mewujudkan biah solehah bagi membudayakan pelajar
dengan akhlak yang mulia lagi diredhai yang menjadi teras
kejayaan hidup di dunia dan akhirat.
05 — MEMPERKASA PENGURUSAN PENDIDIKAN
Melaksanakan sistem pengurusan pendidikan yang cekap dan
berkualiti serta mengamalkan penambahbaikan yang berterusan.
06 — MEMBINA JARINGAN STRATEGIK
Membina jaringan yang menguntungkan dengan pelbagai jabatan
dan agensi serta komuniti sekitar.
07 — MEMPERKUKUH UKHUWWAH DAN KHIDMAT KOMUNITI
Membina ukhuwwah yang mantap di antara warga sekolah dengan
ibu bapa dan komuniti serta menawarkan khidmat komuniti
dalam pelbagai bidang termasuk tanggungjawab kifayah.
08 — PERKHIDMATAN CEKAP DAN MESRA
Memberi perkhidmatan cekap dan mesra kepada setiap pelanggan
yang berurusan dengan sekolah.