Category: Kurikulum

Program Tutorial Matematik Tambahan SPM 2025

Seramai 20 orang pelajar SM Imtiaz YT Kuala Terengganu telah dipilih oleh Sic+ PPDKT, En Fauzi pada 19-20 Okt 2025 yang lalu untuk dibimbing dalam program kerjasama Matematik Tambahan antara pelajar sekolah ini dan SMK Tengku Bariah.

Hasil daripada bimbingan tersebut, guru muda yang telah dilatih pula berkongsi ilmu kepada rakan pelajar yang lain dari sekolah-sekolah sekitar daerah Kuala Terengganu yang lain pada 7 Nov 2025 bertempat di Dewan As-Syatibi SM Imtiaz YT Kuala Terengganu.
Usaha ini dilaksanakan dengan hasrat untuk meningkatkan peratus bilangan A matapelajaran Matematik Tambahan bagi sekolah-sekolah daerah Kuala Terengganu.

Antara objektif program ini diadakan adalah:

  • Meningkatkan kemahiran dan keyakinan calon calon SPM 2025 dalam matapelajaran Matematik Tambahan.
  • Meningkatkan peratus bilangan A matapelajaran Matematik Tambahan bagi calon SPM 2025 SM Imtiaz YT Kuala Terengganu khususnya dan juga daerah Kuala Terengganu amnya.

Galeri gambar boleh layari laman Facebook rasmi sekolah.

Kem Bahasa Gemilang, Language Excellence Camp, مخيم اللغة المتال

Am Transit Inn, Kuala Nerus, 12 Okt 2025: Jabatan Bahasa SM Imtiaz YT Kuala Terengganu telah menganjurkan satu Kem Bahasa Gemilang khusus untuk semua calon SPM 2025 selama tiga hari bermula hari ini.

Kem Bahasa SPM ini melibatkan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab  yang akan diduduki oleh semua calon SPM 2025 tidak lama lagi. Objektif program ini adalah sebagai program tahunan di bawah Jabatan Bahasa sebagai langkah untuk meningkatkan pencapaian pelajar dalam subjek bahasa. Program ini juga diharap dapat meningkatkan kemahiran dan kefahaman pelajar terhadap semua subjek bahasa.

Antara objektif utama kem ini diadakan adalah: 

  • Meningkatkan kemahiran dan kefahaman pelajar dalam subjek bahasa.
  • Meningkatkan peratus gred A+ dalam subjek bahasa.
  • Meningkatkan GPMP subjek bahasa dalam SPM 2025.

 

Galeri gambar boleh layari laman Facebook rasmi sekolah.

Kem Sinergi Ilmuan Tingkatan 2 Siri 1

Batu Buruk Beach Resort, 7 Oktober 2025: Seramai 102 orang pelajar Tingkatan 2 SM Imtiaz YT Kuala Terengganu telah mengikuti kem di bawah anjuran Unit Projek Kecemerlangan Tingkatan 2 & J/Kuasa Kurikulum Sekolah bermula hari ini sehingga esok. Kem ini bertujuan untuk membuka ruang kepada para pelajar dan guru membuat persiapan bagi menghadapi Ujian Akhir Sesi Akademik 2025. Di harap melalui semangat sinergi dan usaha bersama ini dapat menyemarakkan motivasi pelajar Tingkatan 2 serta meningkatkan keyakinan mereka bagi mencapai kecemerlangan yang luar biasa dalam UASA 2025.

Matlamat kem ini adalah untuk menjadi motivasi kepada semua peserta untuk mengorak langkah dan terus berjuang di medan ilmu dengan lebih mantap seterusnya mencapai kecemerlangan dalam UASA 2025. Dengan gabungan kekuatan ilmu Al-Quran dan sains, pelajar diharap dapat tampil sebagai generasi unggul yang mampu bersaing di peringkat global.

Antara objektif kem tersebut adalah:

  • Membuka ruang kepada pelajar dan guru untuk membuat persiapan menghadapi Ujian Akhir Sesi Akademik 2025.
  • Meningkatkan kefahaman dan kemahiran pelajar tingkatan 2 dalam semua subjek terutama subjek teras yang lebih mencabar.
  • Meningkatkan semangat dan motivasi pelajar untuk skor ‘A’ dalam UASA.

Galeri gambar boleh layari laman Facebook rasmi sekolah.

Kem Booster Akademik Siri 2 Tingkatan 3

Maecon D’River Resort, 30 Sept 2025: Tiga minggu yang lepas Unit Projek Kecemerlangan sekolah telah menganjurkan Kem Booster Akademik Siri 1 khusus untuk semua pelajar Tingkatan 3, manakala pada hari ini kem tersebut kembali diteruskan di Maecon D’RIver Resort sebagai salah satu usaha pihak sekolah untuk kecemerlangan anak-anak soleh solehah pintar Tingkatan 3. Kem ini bertujuan untuk membuka ruang kepada pelajar dan guru dalam mencapai keputusan yang cemerlang dalam subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Kem akademik ini diadakan untuk mempersiapkan pelajar menghadapi peperiksaan dengan lebih baik melalui pembelajaran berkesan dan teknik menjawab soalan, serta meningkatkan kecemerlangan sekolah.

 

Galeri gambar boleh layari laman Facebook rasmi sekolah.

× Sejarah SM Imtiaz Yayasan Terengganu

SEJARAH IMTIAZ

Aspirasi Masyarakat Setempat dan Pembinaan Sekolah

Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu  Kuala Terengganu dibina sekitar bulan November 1994 yang  bertujuan untuk memberi kemudahan pendidikan berasaskan agama kepada penduduk sekitarnya. Sekolah ini lahir daripada  aspirasi masyarakat setempat untuk memajukan kawasan mereka terutamanya dari aspek pendidikan. Idea-idea untuk menubuhkan sebuah sekolah agama telah disuarakan oleh penduduk Kampung Pulau Manis, Kampung Banggol Mempelam, Kampung Banggol Tok Ku, Kampung Banggol Lalang dan Kampung Baru Serada sejak tahun 1986.

Kepimpinan negeri pada masa itu di bawah YB Dato’ Seri Amar Di Raja Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad telah memberikan reaksi positif dan sebuah jawatankuasa bertindak telah dibentuk di peringkat Dewan Undangan Negeri untuk merealisasikan hasrat penduduk setempat. Kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan sekolah ini pada tahun 1994. Kerja-kerja pembinaan sekolah ini bermula pada November  1994 dan siap sepenuhnya pada bulan Mac 1997.  Sekolah ini dilengkapi dengan kemudahan  prasarana yang lengkap dan pembinaannya menelan belanja berjumlah RM 9.4 juta di kawasan seluas 8.1 hektar di Kampung Banggoh Karah, Serada, Kuala Terengganu.

Penubuhan KOSPINT

Namun sebagai usaha meningkatkan taraf Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk  menjadikan sekolah ini  sebagai sebuah Sekolah Bestari Kerajaan Negeri Berasrama Penuh. Pada bulan 1 jun 1997, sekolah ini mula beroperasi dengan nama Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) Bahagian Pendidikan. Pembukaan sekolah ini telah dirasmikan oleh ke bawah  DYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin pada  23 Julai 2000.

Kemudahan, Perkembangan Kurikulum dan Pencapaian

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) mempunyai 4 blok  bangunan yang terdiri daripada blok pentadbiran dan kelas, dua blok asrama putera dan puteri yang mampu menampung 560 orang pelajar serta dewan makan, sebuah dewan besar yang boleh memuatkan 850 orang pelajar, sebuah kantin dan surau yang mampu memuatkan 600 jemaah. Bagi kemudahan sukan dan riadah pula, terdapat sebuah padang bola sepak, dua gelanggang sepak  takraw dan gelanggang badminton. Kemudahan-kemudahan lain termasuklah bilik kuliah, perpustakaan, makmal komputer, makmal sekolah, bengkel kemahiran hidup dan koperasi sekolah.

Pengambilan pertama adalah dalam kalangan pelajar Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu . Kurikulum KBSM, kurikulum elektif dan votek diperkenalkan untuk tahun pertama dan elektif sains dimulakan pada tahun kedua penubuhan iaitu tahun 1998. Kurikulum ini berterusan sehingga pada 1 Januari 2006, walaupun baru ditubuhkan, namun prestasi pelajar amat membanggakan apabila keputusan peperiksaan sulungnya  iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR)  pada tahun 1998 mencatatkan kejayaan 100%.  Pencapaian SPM juga mencatat 100% walaupun pemilihan pelajar untuk kemasukan pertama adalah dalam kalangan pelajar yang bukan memperolehi 5A dalam peperiksaan UPSR.

Peralihan Kepada Sekolah IMTIAZ

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu telah dijadikan sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz dengan penambahan program hafazan dan kurikulum diniyyah dengan menggunakan nama Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu. Pengambilan pelajar sulung adalah seramai 98 orang. Sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz, sekolah ini diletakkan di bawah pentadbiran sebuah syarikat milik penuh Yayasan Terengganu iaitu Integrity Icon Sdn. Bhd. 

Perkembangan dan Pengiktirafan

Penubuhan sekolah Imtiaz ini, satu perubahan yang amat ketara telah dialami di sekolah ini sama ada dari segi pentadbiran, kurikulum, kokurikulum dan rutin harian pelajar. Ternyata kurikulum generasi ulul albab sangat sesuai dan memenuhi keperluan semasa dan Imtiaz mampu berperanan sebagai institusi penting melahirkan modal insan yang mampu memenuhi aspirasi negara. Imtiaz bukan sahaja menjadi agenda kerajaan negeri malahan telah mendapat sambutan di peringkat kebangsaan sehingga dijadikan sekolah angkat Timbalan Menteri Pelajaran iaitu  Allahyarham Dato’  Razali Bin Ismail,  mantan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia.

Bermula 1 November 2007, sekolah ini telah berdaftar dengan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai sebuah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Sehingga kini sekolah ini diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab Bahagian Pengurusan Imtiaz Yayasan Terengganu setelah pembubaran IISB.

×

Visi & Misi

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu

VISI

Melahirkan Generasi Ulul Albab

MISI

Memperkasakan Sistem Pendidikan Holistik Untuk Melahirkan Insan Seimbang Bercirikan Ulul Albab (Quranik, Ensiklopedik & Ijtihadik)

MOTTO

" Soleh Pintar "

TAGLINE

imtiaz The Best School In The World

×

Piagam Pelanggan

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu

Kami warga SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu dengan tekad dan iltizam berjanji akan berusaha sepenuh hati dan sehabis daya memberikan yang terbaik untuk:

01 — MEREALISASIKAN HASRAT BERSAMA

Merealisasikan hasrat ibu bapa, masyarakat, kerajaan negeri dan negara selaras dengan Falsafah Pendidikan Imtiaz dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

02 — MELAHIRKAN GENERASI HUFFAZ BERKUALITI

Mendidik dan melahirkan generasi hafiz dan hafizah yang profesional, berketerampilan dan berdaya kepimpinan yang berwibawa melalui perintisan ilmu yang bersepadu, bersumberkan Al-Quran dan hadis secara holistik.

03 — MENYEDIAKAN PERSEKITARAN KONDUSIF

Menyediakan prasarana yang lengkap dan mewujudkan persekitaran sekolah dan asrama yang kondusif dan selesa.

04 — MEMBUDAYAKAN BIAH SOLEHAH

Mewujudkan biah solehah bagi membudayakan pelajar dengan akhlak yang mulia lagi diredhai yang menjadi teras kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

05 — MEMPERKASA PENGURUSAN PENDIDIKAN

Melaksanakan sistem pengurusan pendidikan yang cekap dan berkualiti serta mengamalkan penambahbaikan yang berterusan.

06 — MEMBINA JARINGAN STRATEGIK

Membina jaringan yang menguntungkan dengan pelbagai jabatan dan agensi serta komuniti sekitar.

07 — MEMPERKUKUH UKHUWWAH DAN KHIDMAT KOMUNITI

Membina ukhuwwah yang mantap di antara warga sekolah dengan ibu bapa dan komuniti serta menawarkan khidmat komuniti dalam pelbagai bidang termasuk tanggungjawab kifayah.

08 — PERKHIDMATAN CEKAP DAN MESRA

Memberi perkhidmatan cekap dan mesra kepada setiap pelanggan yang berurusan dengan sekolah.