Category: Am

Lawatan Pegawai-Pegawai Dari Sektor Pendidikan Islam Negeri Johor dan Guru-Guru Bahasa Arab

KUALA TERENGGANU, 23 NOV: Pihak pengurusan sekolah yang terdiri daripada Puan Pengetua, Ustazah Mardziah binti Che Abdullah, Penolong Kanan HEM, Penolong Kanan Kokurikulum, Setiausaha Sekolah, Ketua-ketua  Jabatan serta Ketua panatia Bahasa Arab hari ini telah meraikan kehadiran pegawai-pegawai dari Sektor Pendidikan Islam Negeri Johor dan Guru-guru Bahasa Arab jam 10.25 pagi tadi yang diketuai oleh Tuan Haji Abdul Aziz bin Abdullah, Ketua Sektor Pendidikan Islam.

Dalam ucapan pengerusi majlis, Penolong Kanan HEM, Tuan Haji Ahmad Ridhuan bin Abd. Ghani mengucapkan selamat datang kepada semua pegawai tersebut dan semoga dapat menghubungkan tali  silataurrahim.

Manakala dalam ucapan aluan pula, Puan Pengetua mengucapkan terimakasih dan berbangga kerana menjadikan sekolah ini sebagai satu destinasi  pilihan.

Dalam ucapan balas, Tuan Haji Abdul Aziz bin Abdullah juga mengucapkan terima kasih kepada warga sekolah kerana sudi menerima rombongan ini walaupun masa tidak begitu sesuai memandangkan cuti persekolahan dan peperiksaan SPM masih lagi berlangsung.

Beliau juga mengucapkan tahniah dan syabas kerana baru-baru ini sekolah ini telah mendapat New Deals dan juga penganugerahan Sekolah Kluster Kecemerlangan Kementerian Pelajaran  Malaysia. Beliau mendoakan agar satu lagi sejarah akan dicatat  apabila sekolah ini menunggu keputusan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi ( SBT ).

Antara lain tujuan lawatan ini adalah untuk melihat apakah keistimewaan yang ada di sini dan boleh dijadikan contoh serta input yang sangat bernilai untuk  dibawa balik.

Sila klik DI SINI untuk melihat gambar seterusnya.

Program Pelancongan Koperasi Sekolah

KUALA TERENGGANU, 14 NOV: Pihak Koperasi Sekolah telah menerima tetamu dari  SM Adiniyyan Taiping, Changkat Jering,Perak pada 11 November 2011. Program ini berakhir pada 13 November 2011.

Di antara lawatan yang telah dipakejkan ialah melawat Kilang Noor Arfa Batek, Muzium Losong, Taman Monumen Taman Tamadun Islam dan Pasar Payang Kuala Terengganu.

Mana-mana sekolah yang berminat boleh menghubungi Cikgu Herdawati di talian
019-9901724 koperasi kospint berhad SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu.

Sila klik DI SINI untuk gambar selanjutnya

Agihan Pemberian Bantuan Khas RM100 Awal Persekolahan Tahun 2012

KUALA TERENGGANU, 14 NOV:  Alhamdulillah, sama-samalah kita bersyukur atas keperihatinan pihak Kerajaan yang telah memberi peruntukan Khas untuk meringankan bebanan ibubapa dalam membuat persediaan persekolahan anak-anak mereka untuk sesi 2012.

Bantuan sebanyak RM 100 telah diagihkan oleh pihak Sekolah kepada semua pelajar tingkatan 1, 2, 3 dan 4 hari ini oleh Timbalan YDP MPIBG Sekolah, Tuan Haji Jain bin Awang.

Pihak Sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Haji Jain atas kesudiaan beliau meluangkan masa bagi menyempurnakan majlis tersebut.

Dalam majlis tersebut telah dihadiri oleh Puan Pengetua, Ustazah Mardziah binti Che Abdullah dan Penolong Kanan HEM, Tuan Haji Ahmad Ridhuan bin Abdul Ghani serta semua guru kelas.

Sila klik DI SINI untuk melihat gambar selanjutnya

KUIK Anjur Jamuan Akhir Tahun

KUALA TERENGGANU, 10 Nov: Kelab Ukhuwwah Imtiaz KOSPINT ( KUIK ) petang ini telah mengadakan Majlis jamuan akhir tahun yang diadakan di Grand Continental Hotel, Jalan Ladang, Kuala Terengganu.

Setiap tahun majlis tersebut diadakan. Mereka yang terlibat dalam majlis ini adalah semua Warga Imtiaz Kuala Terengganu yang terdiri dari kalangan Kakitangan Akademik, bukan akademik serta beberapa orang pelajar.

Majlis pada tahun ini telah diceriakan oleh 40 orang pelajar yang telah khatam Al-Quran turut memberi sumbangan yang berupa wang tunai sebanyak RM2,400.00 sebagai mengenang jasa dan pengorbanan guru yang sentiasa mendidik mereka bagi memacu ke arah kecemerlangan dan kejayaan dalam bidang akademik mahupun sahsiah.

Lebih membanggakan ialah sumbangan tersebut hasil daripada hadiah yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Terengganu berupa wang tunai sebanyak RM1,000.00 seorang di atas kejayaan khatam 30 juzuk Al-Quran.

Di atas sumbangan tersebut, pihak KUIK serta seluruh warga Imtiaz Kuala Terengganu mengucapkan jutaan kasih kepada pelajar yang telah khatam Al-Quran. Semoga mereka terus mendapat kejayaan yang berganda pada masa akan datang.

Sila klik DI SINI untuk melihat gambar seterusnya.