Author: admin

Rombongan Pengetua-Pengetua dan Penolong Kanan Majlis Agama Islam Pulau Pinang

KUALA TERENGGANU, 10 Okt: Sekolah Kluster Kecemerlangan Imtiaz Kuala Terengganu KOSPINT telah menerima kunjungan dari Negeri Pulau Pinang Jam 9. 20 pagi.Rombongan ini terdiri daripada Pengetua-Pengetua dan Penolong Kanan dari Sekolah Agama Bantuan Kerajaan ( SABK ) dan Sekolah Agama Rakyat ( SAR ) seramai 33 orang.

Mereka telah disambut dengan penuh ceria oleh Pengetua Ustazah Mardziah binti Che Abdullah, Penolong Kanan HEA Ustazah  Faidahnam binti Busu, Penolong Kanan HEM Tuan Haji Ahmad Ridhuan bin Abd Ghani, Penolong Kanan Kokurikulum Ustaz Md Nor bin Yahya, Penolong Kanan Ulul Albab Tuan Haji Mohd Amin Faisal bin Haji Uzip serta semua Ketua Jabatan.

Dalam ucapan aluan, puan Pengetua mengucapkan terima kasih kepada rombongan dari Pulau Pinang yang telah memilih Sekolah ini sebagai  satu destinasi untuk mendapatkan maklumat mengenai Sekolah.

Dalam ucapan balas dari ketua rombongan, Ustaz Ahmad Ridhuan bin Abdul Wahab, beliau bersyukur kerana selamat sampai ke Sekolah Kluster kecemerlangan Imtiaz Kuala Terengganu KOSPINT dan berterima kasih kerana sudi menerima kunjungan ini.

Tujuan diadakan lawatan ini adalah untuk melihat pelaksanaan Kurikulum dan hafazan Al Quran sebagai persiapan awal untuk pelaksanaan di sana.

Klik DI SINI untuk melihat gambar seterusnya

Kelebihan Orang Yang Menghafaz Al Quran

Al Quran merupakan Kalamullah yang di turun kepada Nabi Muhammad S.A.W untuk membawa kesejahteraan kepada umatnya di dunia dan juga di akhirat. Banyak kelebihan bagi orang yang membaca Al Quran. Begitu juga bagi orang yang menghafaz Al Quran, Allah akan memberi 2 ganjaran iaitu ganjaran di dunia dan di akhirat.

Ganjaran di dunia

  • Penghafaz al-Quran merupakan VVIP Allah S.W.T di dunia.

“Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia. Lalu mereka bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W? Jawab baginda : Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan dan orang-orang pilihannya.”(Riwayat Ibnu Majah)

  • Penghafaz al-Quran juga diangkat sebagai pemimpin.

“Yang menjadi imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya.” (Riwayat Muslim)

  • Penghafaz al-Quran mendapat certificate (pengiktirafan) dari Nabi S.A.W.

“Adalah nabi mengumpulkan di antara dua orang syuhada Uhud kemudian beliau bersabda, “Manakah di antara keduanya yang lebih banyak hafal al-Quran, ketika ditunjuk kepada salah satunya, maka beliau mendahulukan pemakamannya di liang lahat.” (Riwayat Bukhari)

  • Al-Quran menjanjikan kebaikan.

“Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Qur’an dan yang mengajarkannya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ganjaran di akhirat

  • Ibu bapa penghafaz al-Quran mendapat kemuliaan.

Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah rumah kamu di dunia ini. (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud)

  • Penghafaz al-Quran akan mendapat syafaat (penolong)

Dari Abi Umamah ra. ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bacalah olehmu al- Quran, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya (penghafalnya).”(Riwayat Muslim)

  • Penghafaz al-Quran mendapat bonus berlipat kali ganda.

Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya (pembaca) dengannya (al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya. Aku tidak kata bahawa “alif laam mim” itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf (Riwayat Tarmizi)

Kuliah Kerohanian Bersama Imam Masjid Al Muktafi Billah

KUALA TERENGGANU, 7 Okt: Program Kuliah Kerohanian ini diadakan di Surau Toku Ku Pulau Manis dengan mengundang seorang penceramah iaitu Ustaz Ahmad Roslin. Beliau merupakan Imam Masjid Al Muktafi Billah, Ladang, Kuala Terengganu.
Program ini bermula pada jam 10.30 pagi dan berakhir pada 12.00 tengahari. Dalam kuliah tersebut, beliau banyak memperkatakan mengenai pengaruh kaum Yahudi dan Nasrani untuk menghasut umat Islam agar terpesong dari landasan yang sebenar.
Beliau juga berharap, semua pelajar berhati-hati dan berwaspada dengan hasutan ini kerana mereka yang tidak mempunyai pegangan Islam yang kuat, nescaya akan termakan ajakan atau mengikut rentak budaya tersebut.
Berikut adalah sebahagian ucapan beliau.
“ Dakyah yang dilakukan oleh orang Kristian adalah untuk menghasut orang-orang Islam supaya terpesong daripada akidah yang sebenar. Mereka cuba mempengaruhi orang Islam melalui pakaian,makanan dan lain-lain lagi agar kita lalai mengikuti etika pemakaian dan pemakanan yang diprintahkan oleh Allah.
Sebagai seorang pelajar yang beriman kepada Allah, perlulah menilai perbuatan baik dan buruk agar pengaruh luar tidak mudah mempengaruhi diri kita semua.
Kita juga jangan mengikut rentak pihak luar kerana Allah berfirman yang bermaksud, jangan kamu cenderung kepada perkara-perkara yang zalim dan tidak baik kerana akan merosakkan akidah kamu.
Kekejaman yang dilakukan oleh orang Yahudi terhadap lelaki, perempuan serta kanak-kanak . Mereka sanggup membunuh kerana bencikan Islam. Oleh itu marilah sama-sama kita sentiasa bertaqwa kepada Allah agar mereka tidak mudah mempengaruhi diri kita semua.

PMR 2011 Bermula


KUALA TERENGGANU, 4 Okt: Seramai 119 pelajar Sek. Kluster Kecemerlangan Imtiaz K.Trg yang terdiri daripada 56 pelajar lelaki dan 63 pelajar perempuan akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah 2011 yang bermula pada hari ini.

Semua calon kelihatan berada berhampiran Dewan Peperiksaan untuk membaca doa selamat sebelum memasuki dewan tersebut.

Pengerusi MPIBG, Tuan Haji Mohd Zulkifli, Puan Pengetua, Ustazah Mardziah binti Che Abdullah , semua Penolong Kanan serta guru kelihatan sama-sama berada di sana untuk memberi  kata-kata semangat kepada calon PMR.

Turut berada di sana  ialah ibu bapa yang sentiasa mendoakan kejayaan anak mereka  dalam Peperiksaan itu nanti.

Didoakan agar calon PMR 2011 dapat menjawab soalan dengan tenang.

LOGO & LAGU

SM IMTIAZ YAYASAN TERENGGANU KUALA TERENGGANU

LOGO IMTIAZ

LAGU IMTIAZ

Ya rabbi anta maksudi
Keredaanmu tuntutan kami
Imtiaz KOSPINT kami sayangi
Mendidik kami erti insani

Allah dan rasul dalam ingatan
Quran dan hadis jadi pegangan
Akhlak Al-Quran diterapkan
Ilmu dan budi jadi asuhan

Akademik cemerlang pemimpin terbilang
Menerajui ummah penuh gemilang
Imtiaz KOSPINT kami sanjungi
Namamu tersemat di sanubari

Lirik Lagu:
Pn. Mardziah Che Abdullah (Mantan Pengetua)

Komposer Lagu:
En. M. Shahril M. Anip

HUBUNGI KAMI

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu

Sekolah Berprestasi Tinggi Kementerian Pendidikan Malaysia

📞
TELEFON 09-619 5111
📠
FAKS 09-619 5112
📍 ALAMAT SEKOLAH

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu
Kg. Banggol Karah, Serada,
20050 Kuala Terengganu,
Terengganu, Malaysia.

📍 LOKASI SEKOLAH

ALUAN PENGETUA

SM IMTIAZ YAYASAN TERENGGANU KUALA TERENGGANU

MD IMRAN BIN MD NOR

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, laman sesawang rasmi SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu dapat menjadi wadah perkongsian maklumat, pencapaian, aktiviti serta perkembangan sekolah kepada seluruh warga sekolah, ibu bapa, alumni dan masyarakat.

Selamat datang dan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang mengunjungi laman sesawang rasmi sekolah ini. Sesungguhnya, dunia pendidikan sentiasa berkembang seiring dengan perubahan zaman dan kemajuan teknologi. Justeru, kita perlu terus bergerak ke hadapan dengan menjadikan teknologi sebagai medium untuk memperkukuh komunikasi, menyebarluaskan maklumat serta membina jaringan yang lebih erat antara sekolah dengan komuniti.

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu sentiasa komited dalam usaha melahirkan generasi huffaz yang berilmu, berakhlak, berketerampilan dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi pendidikan Imtiaz.

Dalam menghadapi cabaran pendidikan masa kini, seluruh warga sekolah perlu bergerak sebagai satu pasukan.

Saya yakin dengan semangat kebersamaan, kesungguhan dan komitmen seluruh warga SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu, kita mampu terus mencipta kecemerlangan dan mengangkat nama sekolah di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa.

Akhir kata, marilah kita bersama-sama menjadikan sekolah ini sebagai sebuah institusi pendidikan yang bukan sahaja melahirkan huffaz yang menghafaz Al-Quran, tetapi juga huffaz yang menghayati, memahami dan menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan.

Semoga segala usaha dan ikhtiar kita mendapat keberkatan serta dipermudahkan oleh Allah SWT.

“Melahirkan Generasi Huffaz yang Berilmu, Berakhlak dan Berdaya Saing.”

Sekian, terima kasih kerana melayari laman sesawang kami.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

MD IMRAN BIN MD NOR
PENGETUA CEMERLANG
SM IMTIAZ YAYASAN TERENGGANU KUALA TERENGGANU
× Sejarah SM Imtiaz Yayasan Terengganu

SEJARAH IMTIAZ

Aspirasi Masyarakat Setempat dan Pembinaan Sekolah

Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu dibina sekitar bulan November 1994 yang bertujuan untuk memberi kemudahan pendidikan berasaskan agama kepada penduduk sekitarnya. Sekolah ini lahir daripada aspirasi masyarakat setempat untuk memajukan kawasan mereka terutamanya dari aspek pendidikan. Idea-idea untuk menubuhkan sebuah sekolah agama telah disuarakan oleh penduduk Kampung Pulau Manis, Kampung Banggol Mempelam, Kampung Banggol Tok Ku, Kampung Banggol Lalang dan Kampung Baru Serada sejak tahun 1986.

Kepimpinan negeri pada masa itu di bawah YB Dato’ Seri Amar Di Raja Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad telah memberikan reaksi positif dan sebuah jawatankuasa bertindak telah dibentuk di peringkat Dewan Undangan Negeri untuk merealisasikan hasrat penduduk setempat. Kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan sekolah ini pada tahun 1994. Kerja-kerja pembinaan sekolah ini bermula pada November 1994 dan siap sepenuhnya pada bulan Mac 1997. Sekolah ini dilengkapi dengan kemudahan prasarana yang lengkap dan pembinaannya menelan belanja berjumlah RM 9.4 juta di kawasan seluas 8.1 hektar di Kampung Banggoh Karah, Serada, Kuala Terengganu.

Bangunan KOSPINT
Bangunan Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT).

Penubuhan KOSPINT

Pintu masuk KOSPINT
Pintu masuk Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT).

Namun sebagai usaha meningkatkan taraf Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk menjadikan sekolah ini sebagai sebuah Sekolah Bestari Kerajaan Negeri Berasrama Penuh. Pada bulan 1 Jun 1997, sekolah ini mula beroperasi dengan nama Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) Bahagian Pendidikan.

Pembukaan sekolah ini telah dirasmikan oleh ke bawah DYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin pada 23 Julai 2000.

Perasmian rasmi KOSPINT
Perasmian rasmi KOSPINT oleh KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin.

Kemudahan, Perkembangan Kurikulum dan Pencapaian

Bas KOSPINT
Bas Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT).

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) mempunyai 4 blok bangunan yang terdiri daripada blok pentadbiran dan kelas, dua blok asrama putera dan puteri yang mampu menampung 560 orang pelajar serta dewan makan, sebuah dewan besar yang boleh memuatkan 850 orang pelajar, sebuah kantin dan surau yang mampu memuatkan 600 jemaah. Bagi kemudahan sukan dan riadah pula, terdapat sebuah padang bola sepak, dua gelanggang sepak takraw dan gelanggang badminton. Kemudahan-kemudahan lain termasuklah bilik kuliah, perpustakaan, makmal komputer, makmal sekolah, bengkel kemahiran hidup dan koperasi sekolah.

Pengambilan pertama adalah dalam kalangan pelajar Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu. Kurikulum KBSM, kurikulum elektif dan votek diperkenalkan untuk tahun pertama dan elektif sains dimulakan pada tahun kedua penubuhan iaitu tahun 1998. Kurikulum ini berterusan sehingga pada 1 Januari 2006, walaupun baru ditubuhkan, namun prestasi pelajar amat membanggakan apabila keputusan peperiksaan sulungnya iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun 1998 mencatatkan kejayaan 100%. Pencapaian SPM juga mencatat 100% walaupun pemilihan pelajar untuk kemasukan pertama adalah dalam kalangan pelajar yang bukan memperolehi 5A dalam peperiksaan UPSR.

Peralihan Kepada Sekolah IMTIAZ

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu telah dijadikan sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz dengan penambahan program hafazan dan kurikulum diniyyah dengan menggunakan nama Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu. Pengambilan pelajar sulung adalah seramai 98 orang. Sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz, sekolah ini diletakkan di bawah pentadbiran sebuah syarikat milik penuh Yayasan Terengganu iaitu Integrity Icon Sdn. Bhd.

Perkembangan dan Pengiktirafan

Penubuhan sekolah Imtiaz ini, satu perubahan yang amat ketara telah dialami di sekolah ini sama ada dari segi pentadbiran, kurikulum, kokurikulum dan rutin harian pelajar. Ternyata kurikulum generasi ulul albab sangat sesuai dan memenuhi keperluan semasa dan Imtiaz mampu berperanan sebagai institusi penting melahirkan modal insan yang mampu memenuhi aspirasi negara. Imtiaz bukan sahaja menjadi agenda kerajaan negeri malahan telah mendapat sambutan di peringkat kebangsaan sehingga dijadikan sekolah angkat Timbalan Menteri Pelajaran iaitu Allahyarham Dato’ Razali Bin Ismail, mantan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia.

Bermula 1 November 2007, sekolah ini telah berdaftar dengan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai sebuah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Sehingga kini sekolah ini diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab Bahagian Pengurusan Imtiaz Yayasan Terengganu setelah pembubaran IISB.

×

Visi & Misi

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu

VISI

Melahirkan Generasi Ulul Albab

MISI

Memperkasakan Sistem Pendidikan Holistik Untuk Melahirkan Insan Seimbang Bercirikan Ulul Albab (Quranik, Ensiklopedik & Ijtihadik)

MOTTO

" Soleh Pintar "

TAGLINE

imtiaz The Best School In The World

×

Piagam Pelanggan

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu

Kami warga SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu dengan tekad dan iltizam berjanji akan berusaha sepenuh hati dan sehabis daya memberikan yang terbaik untuk:

01 — MEREALISASIKAN HASRAT BERSAMA

Merealisasikan hasrat ibu bapa, masyarakat, kerajaan negeri dan negara selaras dengan Falsafah Pendidikan Imtiaz dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

02 — MELAHIRKAN GENERASI HUFFAZ BERKUALITI

Mendidik dan melahirkan generasi hafiz dan hafizah yang profesional, berketerampilan dan berdaya kepimpinan yang berwibawa melalui perintisan ilmu yang bersepadu, bersumberkan Al-Quran dan hadis secara holistik.

03 — MENYEDIAKAN PERSEKITARAN KONDUSIF

Menyediakan prasarana yang lengkap dan mewujudkan persekitaran sekolah dan asrama yang kondusif dan selesa.

04 — MEMBUDAYAKAN BIAH SOLEHAH

Mewujudkan biah solehah bagi membudayakan pelajar dengan akhlak yang mulia lagi diredhai yang menjadi teras kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

05 — MEMPERKASA PENGURUSAN PENDIDIKAN

Melaksanakan sistem pengurusan pendidikan yang cekap dan berkualiti serta mengamalkan penambahbaikan yang berterusan.

06 — MEMBINA JARINGAN STRATEGIK

Membina jaringan yang menguntungkan dengan pelbagai jabatan dan agensi serta komuniti sekitar.

07 — MEMPERKUKUH UKHUWWAH DAN KHIDMAT KOMUNITI

Membina ukhuwwah yang mantap di antara warga sekolah dengan ibu bapa dan komuniti serta menawarkan khidmat komuniti dalam pelbagai bidang termasuk tanggungjawab kifayah.

08 — PERKHIDMATAN CEKAP DAN MESRA

Memberi perkhidmatan cekap dan mesra kepada setiap pelanggan yang berurusan dengan sekolah.