Liqa Nisa: Saya Dah Baligh!

Program yang memberi fokus kepada pendidikan, bimbingan dan penghayatan berkaitan fasa akil baligh dalam kalangan pelajar perempuan.

Program ini akan disampaikan oleh Ustazah Iwana Aisyah binti Ar Halim, Pengasas Tibyan Centre serta penulis buku Telaga Biru. Sesi perkongsian telah berlangsung pada Jumaat, 7 Ogos 2026, dari jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari bertempat di Dewan As-Syafiti.

Program ini melibatkan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4, selain mengalu-alukan kehadiran warga IKT.

Penganjuran Liqa Nisa 2026 merupakan salah satu usaha Unit Sahsiah Unggul Murid dengan kerjasama Badan Dakwah & Rohani Imtiaz Kuala Terengganu dalam memberikan pendedahan yang bermanfaat kepada para pelajar berkaitan perubahan diri, tanggungjawab dan pembentukan sahsiah sebagai seorang muslimah.

Semoga program ini dapat menjadi wadah ilmu dan perkongsian yang bermakna dalam membantu para pelajar memahami fasa kehidupan dengan lebih baik serta membentuk jati diri yang positif, berilmu dan berakhlak.

Galeri gambar boleh layari laman Facebook rasmi sekolah.

Liqa Rijal: Bengkel Imam Mumtaz

Bengkel Imam Mumtaz merupakan salah satu usaha memperkukuh sahsiah, kepimpinan serta penghayatan ilmu agama dalam kalangan para pelajar.

Program ini telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Bahruddin bin Sulong sebagai penceramah jemputan dan telah berlangsung pada Jumaat, 7 Ogos 2026, bermula jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari bertempat di Masjid Banggol Katong.

Seramai 40 orang pelajar telah menyertai program ini. Penganjuran program adalah anjuran Unit Sahsiah Unggul Murid dengan kerjasama Badan Dakwah & Kerohanian Imtiaz Kuala Terengganu.

Diharapkan program ini dapat memberikan pendedahan dan pengalaman bermakna kepada para peserta dalam membentuk jati diri, meningkatkan keyakinan serta melahirkan generasi pelajar yang berilmu, berketerampilan dan mempunyai nilai kepimpinan yang unggul.

Galeri gambar boleh layari laman Facebook rasmi sekolah.

Majlis Perasmian Penutupan Program Khas Asasi Ulul Albab Sekolah-sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Tahun 2026

Pada 6 Ogos 2026 Majlis Perasmian Penutup Program Khas Asasi Ulul Albab Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu telah berlangsung dengan jayanya di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Terengganu (TER). Majlis ini diadakan bagi meraikan kejayaan pelajar Tingkatan Satu yang telah berjaya menamatkan Program Khas Asasi Ulul Albab serta sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan mereka dalam aspek akademik, hafazan al-Quran, sahsiah dan kepimpinan.

Majlis telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Satiful Bahari B. Mamat selaku Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Terengganu, dengan kehadiran barisan pengurusan Yayasan Terengganu, pengetua-pengetua Sekolah Menengah Imtiaz, guru-guru, ibu bapa serta para pelajar.

Program Khas Asasi Ulul Albab merupakan program yang memberi penekanan kepada pembentukan pelajar yang seimbang melalui tiga komponen utama iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik (QEI). Sepanjang pelaksanaan program, para pelajar telah mengikuti pelbagai pengisian yang bertujuan memperkukuhkan penguasaan al-Quran, meningkatkan prestasi akademik serta membentuk akhlak dan jati diri yang unggul.

Dalam majlis tersebut turut diadakan penyampaian anugerah kepada pelajar yang cemerlang dalam beberapa kategori sebagai penghargaan atas usaha, komitmen dan kecemerlangan yang ditunjukkan sepanjang mengikuti program.

Semoga Program Khas Asasi Ulul Albab terus menjadi wadah dalam melahirkan generasi Ulul Albab yang berilmu, berakhlak mulia, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan negara selaras dengan aspirasi Yayasan Terengganu.

Galeri gambar boleh layari laman Facebook rasmi Yayasan Terengganu.

Majlis Peluncuran Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Sekolah Tahun 2026

Pada 4 Ogos 2026, telah berlangsung Majlis Peluncuran Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Sekolah Tahun 2026 dengan penuh semangat patriotik dan meriah. Majlis ini merupakan acara pembukaan rasmi bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dalam kalangan warga sekolah.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu negeri dan lagu sekolah, diikuti bacaan doa serta ucapan perasmian oleh Tuan Pengetua. Gimik peluncuran telah menyempurnakan pembukaan sambutan Bulan Kebangsaan sebagai simbol semangat cintakan negara, perpaduan dan rasa tanggungjawab dalam kalangan warga sekolah.

Sepanjang Bulan Kebangsaan, pelbagai aktiviti telah dirancang seperti pertandingan mewarna, kuiz kenegaraan, pertandingan deklamasi sajak, nyanyian lagu patriotik, kibaran Jalur Gemilang, penghasilan poster, serta pelbagai pertandingan lain yang melibatkan penyertaan pelajar dan guru.

Semoga penganjuran Sambutan Bulan Kebangsaan Tahun 2026 dapat memupuk semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan serta meningkatkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan para pejuang negara dalam mempertahankan kemerdekaan Malaysia.

“Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”

Galeri gambar boleh layari laman Facebook rasmi sekolah.

× Sejarah SM Imtiaz Yayasan Terengganu

SEJARAH IMTIAZ

Aspirasi Masyarakat Setempat dan Pembinaan Sekolah

Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu  Kuala Terengganu dibina sekitar bulan November 1994 yang  bertujuan untuk memberi kemudahan pendidikan berasaskan agama kepada penduduk sekitarnya. Sekolah ini lahir daripada  aspirasi masyarakat setempat untuk memajukan kawasan mereka terutamanya dari aspek pendidikan. Idea-idea untuk menubuhkan sebuah sekolah agama telah disuarakan oleh penduduk Kampung Pulau Manis, Kampung Banggol Mempelam, Kampung Banggol Tok Ku, Kampung Banggol Lalang dan Kampung Baru Serada sejak tahun 1986.

Kepimpinan negeri pada masa itu di bawah YB Dato’ Seri Amar Di Raja Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad telah memberikan reaksi positif dan sebuah jawatankuasa bertindak telah dibentuk di peringkat Dewan Undangan Negeri untuk merealisasikan hasrat penduduk setempat. Kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan sekolah ini pada tahun 1994. Kerja-kerja pembinaan sekolah ini bermula pada November  1994 dan siap sepenuhnya pada bulan Mac 1997.  Sekolah ini dilengkapi dengan kemudahan  prasarana yang lengkap dan pembinaannya menelan belanja berjumlah RM 9.4 juta di kawasan seluas 8.1 hektar di Kampung Banggoh Karah, Serada, Kuala Terengganu.

Penubuhan KOSPINT

Namun sebagai usaha meningkatkan taraf Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk  menjadikan sekolah ini  sebagai sebuah Sekolah Bestari Kerajaan Negeri Berasrama Penuh. Pada bulan 1 jun 1997, sekolah ini mula beroperasi dengan nama Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) Bahagian Pendidikan. Pembukaan sekolah ini telah dirasmikan oleh ke bawah  DYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin pada  23 Julai 2000.

Kemudahan, Perkembangan Kurikulum dan Pencapaian

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) mempunyai 4 blok  bangunan yang terdiri daripada blok pentadbiran dan kelas, dua blok asrama putera dan puteri yang mampu menampung 560 orang pelajar serta dewan makan, sebuah dewan besar yang boleh memuatkan 850 orang pelajar, sebuah kantin dan surau yang mampu memuatkan 600 jemaah. Bagi kemudahan sukan dan riadah pula, terdapat sebuah padang bola sepak, dua gelanggang sepak  takraw dan gelanggang badminton. Kemudahan-kemudahan lain termasuklah bilik kuliah, perpustakaan, makmal komputer, makmal sekolah, bengkel kemahiran hidup dan koperasi sekolah.

Pengambilan pertama adalah dalam kalangan pelajar Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu . Kurikulum KBSM, kurikulum elektif dan votek diperkenalkan untuk tahun pertama dan elektif sains dimulakan pada tahun kedua penubuhan iaitu tahun 1998. Kurikulum ini berterusan sehingga pada 1 Januari 2006, walaupun baru ditubuhkan, namun prestasi pelajar amat membanggakan apabila keputusan peperiksaan sulungnya  iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR)  pada tahun 1998 mencatatkan kejayaan 100%.  Pencapaian SPM juga mencatat 100% walaupun pemilihan pelajar untuk kemasukan pertama adalah dalam kalangan pelajar yang bukan memperolehi 5A dalam peperiksaan UPSR.

Peralihan Kepada Sekolah IMTIAZ

Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu telah dijadikan sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz dengan penambahan program hafazan dan kurikulum diniyyah dengan menggunakan nama Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu. Pengambilan pelajar sulung adalah seramai 98 orang. Sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz, sekolah ini diletakkan di bawah pentadbiran sebuah syarikat milik penuh Yayasan Terengganu iaitu Integrity Icon Sdn. Bhd. 

Perkembangan dan Pengiktirafan

Penubuhan sekolah Imtiaz ini, satu perubahan yang amat ketara telah dialami di sekolah ini sama ada dari segi pentadbiran, kurikulum, kokurikulum dan rutin harian pelajar. Ternyata kurikulum generasi ulul albab sangat sesuai dan memenuhi keperluan semasa dan Imtiaz mampu berperanan sebagai institusi penting melahirkan modal insan yang mampu memenuhi aspirasi negara. Imtiaz bukan sahaja menjadi agenda kerajaan negeri malahan telah mendapat sambutan di peringkat kebangsaan sehingga dijadikan sekolah angkat Timbalan Menteri Pelajaran iaitu  Allahyarham Dato’  Razali Bin Ismail,  mantan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia.

Bermula 1 November 2007, sekolah ini telah berdaftar dengan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai sebuah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Sehingga kini sekolah ini diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab Bahagian Pengurusan Imtiaz Yayasan Terengganu setelah pembubaran IISB.

×

Visi & Misi

SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu

VISI

Melahirkan Generasi Ulul Albab

MISI

Memperkasakan Sistem Pendidikan Holistik Untuk Melahirkan Insan Seimbang Bercirikan Ulul Albab (Quranik, Ensiklopedik & Ijtihadik)

MOTTO

" Soleh Pintar "

TAGLINE

imtiaz The Best School In The World