Hari kedua tanpa PdPC, para pelajar didedahkan dengan aktiviti gotong-royong bersama para guru yang mana ia merupakan salah satu aktiviti yang perlu dilaksanakan setiap tahun di awal pembukaan sekolah. Ia bertujuan untuk membersihkan kawasan sekolah dan mengalakkan warga sekolah mengitar semula bahan-bahan terbuang. Di samping itu juga ia menyediakan persekitaran yang selamat kepada pelajar dan menceriakan persekitaran sekolah agar dapat menarik minat pelajar untuk ke sekolah.
Galeri gambar boleh layari laman Facebook rasmi sekolah.
Kehadiran Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) daripada kalangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) memainkan peranan dalam usaha mencegah pelakuan kes jenayah termasuk buli membabitkan pelajar. Kehadiran PPS memang untuk mencegah bukan sahaja kes buli tetapi lain-lain kes jenayah yg melibatkan pelajar dengan kerjasama pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
Justeru itu, Pegawai Perhubungan Sekolah Daerah Kuala Terengganu, Inspektor Mohd Fadli Ismail telah hadir ke sekolah untuk memberi kesedaran tentang bahaya jenayah, dadah dan gengsterisme serta memberi khidmat nasihat keselamatan dan disiplin kepada semula pelajar sempena pembukaan penggal pertama persekolahan bagi sesi 2026 yang bermula sejak jam 7.20 pagi.
Galeri gambar boleh layari laman Facebook rasmi sekolah.
Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, 21 Ogos 2025: Bengkel ini telah dianjurkan oleh pihak Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, JPN Terengganu dengan penglibatan 16 buah sekolah dari semua daerah di Negeri Terengganu. SM Imtiaz YT Kuala Terengganu tidak ketinggalan telah menghantar dua orang pelajar dari TV PSS untuk mengikuti bengkel tersebut sebagai salah satu platform bagi melahirkan pelajar IKT yang mampu berdiri dengan sendirinya dan mahir dalam penghasilan video kreatif dalam menyampaikan maklumat global kepada semua golongan.
Penubuhan TV PSS adalah satu projek khas bagi Inovasi objektif Pusat Sumber Sekolah dalam menyokong PDPC Abad ke 21. Bengkel ini adalah bertujuan untuk memberi panduan untuk sekolah dalam melaksanakan TV PSS melalui kaedah yang ditetapkan dengan menggunakan Kit TVPSS. Bengkel ini juga memberi kemahiran asas dalam bidang penyiaran, rakaman video, penyuntingan digital dan pengurusan kandungan media.
Tahniah dan Syabas! kepada Nur Aliesya Safia binti Mohd Zulkifli dan Muhammmad Dhiya’ul Muqri bin Muhammad Hadafi kerana telah menjadi JOHAN dalam penyediaan Video Bertemakan Anti-Buli.
Pihak Pengurusan HEM, Unit 3K SM Imtiaz YT Kuala Terengganu telah menganjurkan Program Gotong royong Madani yang bertujuan untuk meningkatkan kebersihan, keceriaan, dan keselamatan sekolah, serta memupuk perpaduan dan nilai-nilai murni di kalangan warga sekolah dan masyarakat setempat. Program ini melibatkan kerjasama antara guru, kakitangan,pelajar, ibu bapa dan komuniti setempat dalam melaksanakan aktiviti gotong-royong di sekolah. PIBG Madani bertujuan mengeratkan hubungan antara guru, ibu bapa dan komuniti kampung sekaligus mewujudkan suasana persekitaran sekolah yang bersih dan ceria.
Galeri gambar boleh layari laman Facebook rasmi sekolah.
SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu
Kg. Banggol Karah, Serada,
20050 Kuala Terengganu,
Terengganu, Malaysia.
📍 LOKASI SEKOLAH
ALUAN PENGETUA
SM IMTIAZ YAYASAN TERENGGANU KUALA TERENGGANU
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, laman sesawang rasmi SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu dapat menjadi wadah perkongsian maklumat, pencapaian, aktiviti serta perkembangan sekolah kepada seluruh warga sekolah, ibu bapa, alumni dan masyarakat.
Selamat datang dan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang mengunjungi laman sesawang rasmi sekolah ini. Sesungguhnya, dunia pendidikan sentiasa berkembang seiring dengan perubahan zaman dan kemajuan teknologi. Justeru, kita perlu terus bergerak ke hadapan dengan menjadikan teknologi sebagai medium untuk memperkukuh komunikasi, menyebarluaskan maklumat serta membina jaringan yang lebih erat antara sekolah dengan komuniti.
SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu sentiasa komited dalam usaha melahirkan generasi huffaz yang berilmu, berakhlak, berketerampilan dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi pendidikan Imtiaz.
Dalam menghadapi cabaran pendidikan masa kini, seluruh warga sekolah perlu bergerak sebagai satu pasukan.
Saya yakin dengan semangat kebersamaan, kesungguhan dan komitmen seluruh warga SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu, kita mampu terus mencipta kecemerlangan dan mengangkat nama sekolah di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa.
Akhir kata, marilah kita bersama-sama menjadikan sekolah ini sebagai sebuah institusi pendidikan yang bukan sahaja melahirkan huffaz yang menghafaz Al-Quran, tetapi juga huffaz yang menghayati, memahami dan menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan.
Semoga segala usaha dan ikhtiar kita mendapat keberkatan serta dipermudahkan oleh Allah SWT.
“Melahirkan Generasi Huffaz yang Berilmu, Berakhlak dan Berdaya Saing.”
Sekian, terima kasih kerana melayari laman sesawang kami.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
MD IMRAN BIN MD NOR
PENGETUA CEMERLANG
SM IMTIAZ YAYASAN TERENGGANU KUALA TERENGGANU
×
SEJARAH IMTIAZ
Aspirasi Masyarakat Setempat dan Pembinaan Sekolah
Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu dibina sekitar bulan November 1994 yang bertujuan untuk memberi kemudahan pendidikan berasaskan agama kepada penduduk sekitarnya. Sekolah ini lahir daripada aspirasi masyarakat setempat untuk memajukan kawasan mereka terutamanya dari aspek pendidikan. Idea-idea untuk menubuhkan sebuah sekolah agama telah disuarakan oleh penduduk Kampung Pulau Manis, Kampung Banggol Mempelam, Kampung Banggol Tok Ku, Kampung Banggol Lalang dan Kampung Baru Serada sejak tahun 1986.
Kepimpinan negeri pada masa itu di bawah YB Dato’ Seri Amar Di Raja Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad telah memberikan reaksi positif dan sebuah jawatankuasa bertindak telah dibentuk di peringkat Dewan Undangan Negeri untuk merealisasikan hasrat penduduk setempat. Kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan sekolah ini pada tahun 1994. Kerja-kerja pembinaan sekolah ini bermula pada November 1994 dan siap sepenuhnya pada bulan Mac 1997. Sekolah ini dilengkapi dengan kemudahan prasarana yang lengkap dan pembinaannya menelan belanja berjumlah RM 9.4 juta di kawasan seluas 8.1 hektar di Kampung Banggoh Karah, Serada, Kuala Terengganu.
Penubuhan KOSPINT
Namun sebagai usaha meningkatkan taraf Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk menjadikan sekolah ini sebagai sebuah Sekolah Bestari Kerajaan Negeri Berasrama Penuh. Pada bulan 1 jun 1997, sekolah ini mula beroperasi dengan nama Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) Bahagian Pendidikan. Pembukaan sekolah ini telah dirasmikan oleh ke bawah DYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin pada 23 Julai 2000.
Kemudahan, Perkembangan Kurikulum dan Pencapaian
Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) mempunyai 4 blok bangunan yang terdiri daripada blok pentadbiran dan kelas, dua blok asrama putera dan puteri yang mampu menampung 560 orang pelajar serta dewan makan, sebuah dewan besar yang boleh memuatkan 850 orang pelajar, sebuah kantin dan surau yang mampu memuatkan 600 jemaah. Bagi kemudahan sukan dan riadah pula, terdapat sebuah padang bola sepak, dua gelanggang sepak takraw dan gelanggang badminton. Kemudahan-kemudahan lain termasuklah bilik kuliah, perpustakaan, makmal komputer, makmal sekolah, bengkel kemahiran hidup dan koperasi sekolah.
Pengambilan pertama adalah dalam kalangan pelajar Sekolah-sekolah Agama Negeri Terengganu . Kurikulum KBSM, kurikulum elektif dan votek diperkenalkan untuk tahun pertama dan elektif sains dimulakan pada tahun kedua penubuhan iaitu tahun 1998. Kurikulum ini berterusan sehingga pada 1 Januari 2006, walaupun baru ditubuhkan, namun prestasi pelajar amat membanggakan apabila keputusan peperiksaan sulungnya iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun 1998 mencatatkan kejayaan 100%. Pencapaian SPM juga mencatat 100% walaupun pemilihan pelajar untuk kemasukan pertama adalah dalam kalangan pelajar yang bukan memperolehi 5A dalam peperiksaan UPSR.
Peralihan Kepada Sekolah IMTIAZ
Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu telah dijadikan sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz dengan penambahan program hafazan dan kurikulum diniyyah dengan menggunakan nama Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu. Pengambilan pelajar sulung adalah seramai 98 orang. Sebagai salah sebuah sekolah Imtiaz, sekolah ini diletakkan di bawah pentadbiran sebuah syarikat milik penuh Yayasan Terengganu iaitu Integrity Icon Sdn. Bhd.
Perkembangan dan Pengiktirafan
Penubuhan sekolah Imtiaz ini, satu perubahan yang amat ketara telah dialami di sekolah ini sama ada dari segi pentadbiran, kurikulum, kokurikulum dan rutin harian pelajar. Ternyata kurikulum generasi ulul albab sangat sesuai dan memenuhi keperluan semasa dan Imtiaz mampu berperanan sebagai institusi penting melahirkan modal insan yang mampu memenuhi aspirasi negara. Imtiaz bukan sahaja menjadi agenda kerajaan negeri malahan telah mendapat sambutan di peringkat kebangsaan sehingga dijadikan sekolah angkat Timbalan Menteri Pelajaran iaitu Allahyarham Dato’ Razali Bin Ismail, mantan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia.
Bermula 1 November 2007, sekolah ini telah berdaftar dengan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai sebuah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Sehingga kini sekolah ini diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab Bahagian Pengurusan Imtiaz Yayasan Terengganu setelah pembubaran IISB.
×
Visi & Misi
SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu
VISI
Melahirkan Generasi Ulul Albab
MISI
Memperkasakan Sistem Pendidikan Holistik Untuk Melahirkan Insan Seimbang Bercirikan Ulul Albab (Quranik, Ensiklopedik & Ijtihadik)
MOTTO
" Soleh Pintar "
TAGLINE
imtiaz The Best School In The World
×
Piagam Pelanggan
SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu
Kami warga SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu
dengan tekad dan iltizam berjanji akan berusaha sepenuh hati
dan sehabis daya memberikan yang terbaik untuk:
01 — MEREALISASIKAN HASRAT BERSAMA
Merealisasikan hasrat ibu bapa, masyarakat, kerajaan negeri
dan negara selaras dengan Falsafah Pendidikan Imtiaz dan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
02 — MELAHIRKAN GENERASI HUFFAZ BERKUALITI
Mendidik dan melahirkan generasi hafiz dan hafizah yang
profesional, berketerampilan dan berdaya kepimpinan yang
berwibawa melalui perintisan ilmu yang bersepadu,
bersumberkan Al-Quran dan hadis secara holistik.
03 — MENYEDIAKAN PERSEKITARAN KONDUSIF
Menyediakan prasarana yang lengkap dan mewujudkan persekitaran
sekolah dan asrama yang kondusif dan selesa.
04 — MEMBUDAYAKAN BIAH SOLEHAH
Mewujudkan biah solehah bagi membudayakan pelajar
dengan akhlak yang mulia lagi diredhai yang menjadi teras
kejayaan hidup di dunia dan akhirat.
05 — MEMPERKASA PENGURUSAN PENDIDIKAN
Melaksanakan sistem pengurusan pendidikan yang cekap dan
berkualiti serta mengamalkan penambahbaikan yang berterusan.
06 — MEMBINA JARINGAN STRATEGIK
Membina jaringan yang menguntungkan dengan pelbagai jabatan
dan agensi serta komuniti sekitar.
07 — MEMPERKUKUH UKHUWWAH DAN KHIDMAT KOMUNITI
Membina ukhuwwah yang mantap di antara warga sekolah dengan
ibu bapa dan komuniti serta menawarkan khidmat komuniti
dalam pelbagai bidang termasuk tanggungjawab kifayah.
08 — PERKHIDMATAN CEKAP DAN MESRA
Memberi perkhidmatan cekap dan mesra kepada setiap pelanggan
yang berurusan dengan sekolah.