Archive for: October 2011

Program ‘ MOCK Interview ‘ 2011

Seramai 75 orang pelajar calon SPM 2011 telah diberikan latihan pemantapan diri sebagai persiapan menghadapi temuduga apabila memasuki universiti atau mendapat tawaran pekerjaan. Program ini dikenali sebagai MOCK Interview.

Program ini telah diadakan pada hari ini dan dirasmikan oleh Puan Pengetua, Ustazah Mardziah binti Che Abdullah.

Menurut Kaunselor Sekolah, Puan Norhidayah binti Ibrahim, tujuan diadakan program ini adalah untuk memberi pendedahan bagaimana temuduga dijalankan. Disamping itu juga memberi tips-tips untuk berjaya dalam temuduga.

Terdahulu dari itu, satu sesi ceramah telah diadakan. Pihak Sekolah telah mengundangkan seorang penceramah iaitu Encik Mat Ropi bin Hassan yang merupakan Kaunselor Kanan Sek. Men. Agama Tok Jiring Kuala Terengganu.

Sila klik DI SINI untuk melihat gambar selanjutnya.

Kembar Seiras Khatam Al Quran 30 Juzuk

KUALA TERENGGANU, 20 Okt: Pada 4 Mei 1994, puteri kepada pasangan Puan Zubidah dan Encik Muhammad telah dilahirkan di Kampung Tok Adis kuala Terengganu.

Pasangan ini bertuah kerana mendapat puteri kembar seiras. Nabihah kanan, dilahirkan 2 minit lebih awal dari najihah kiri.

Dalam peperiksaan UPSR, mereka berdua telah mendapat keputusan 5A yang membolehkan mereka melangkah masuk ke Sekolah Kluster Kecemerlangan SM imtiaz  YT Kuala Terengganu dengan melepasi syarat-syarat kemasukan.

Pada tahun 2009 ketika berada di tingkatan 3, Nabihah dan Najihah merupakan antara pelajar yang telah berjaya khatam Al Quran 30 juzuk. Pihak sekolah melalui Koperasi Sekolah telah menyumbang sebuah Al Quran Digital setiap seorang sebagai penghargaan.

Manakala pada tahun 2010, mereka telah mendapat hadiah berupa wang tunai sebanyak RM 1,000.00 setiap seorang daripada Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Terengganu. Hadiah tersebut telah disampaikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Tengku Putera bin Tengku Awang.

Pada tahun yang sama juga, Najihah telah menyertai Ujian Hafazan Peringkat Negeri dan mendapat saguhati. Manakala pada tahun 2011, Nabihah dan Najihah sekali lagi menyertai Ujian Hafazan Al Quran Peringkat Negeri dalam kategori 1 hingga 20 juzuk ( Nabihah ) dan 1 hingga 10 juzuk ( Najihah )

Kini mereka berdua akan mengambil peperiksaan SPM yang akan bermula tidak berapa lama lagi. Yang uniknya, cita-cita adalah sama, Mereka berhasrat untuk mendapat kelulusan 11A+ dalam peperiksaan SPM serta bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran di Jordan dalam bidang Medik.

Didoakan agar mereka berjaya mencapai cita-cita yang dihajati.

Syabas dan Tahniah untuk mereka.

Kunjungan PPD Rembau Negeri Sembilan

KUALA TERENGGANU, 19 Okt: Seramai 25 orang Pegawai dari Pejabat Pelajaran Daerah  serta Majlis Kaunselor Daerah Rembau Negeri Sembilan telah mengunjungi Sekolah Kluster Kecemerlangan SM Imtiaz YT Kuala Terengganu KOSPINT hari ini.

Ketibaan mereka telah disambut oleh pihak Pengurusan Sekolah yang terdiri daripada Puan Pengetua Ustazah Mardziah binti Che Abdullah, Penolong Kanan HEA Ustazah Faidahnam binti Busu, Penolong Kanan Ulul Albab Tuan Haji Mojd Amin Faisal bin Haji Uzip, Setiausaha Sekolah Cikgu Che Kadijah bin Che Abdullah, Kaunselor Puan Norhidayah binti Ibrahim serta Ketua Jabatan Al Quran Ustaz Ridzuan bin Aziz.

Dalam Ucapan aluan, Puan Pengetua mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ahli  rombongan yang sudi memilih sekolah ini sebagai destinasi mereka. Semoga hubungan antara PPD Rembau dan sekolah ini mengeratkan lagi ukhuwwah yang berpanjangan.

Dalam ucapan balas, Ketua Rombongan tersebut, Datin Naimah binti Ahmad Dahlan pula melahirkan rasa bersyukur kerana sudi menerima rombongan ini. Beliau juga mengucapkan tahniah kerana telah menerima anugerah sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan baru-baru ini.

Tujuan diadakan lawatan ini adalah untuk mendengar taklimat mengenai pengurusan dan kejayaan sekolah yang boleh dicontohi dan akan membawa pulang aktiviti dan program yang ada di sini.

Klik DI SINI untuk melihat gambar selanjutnya

Majlis Kesyukuran Dan Solat Hajat


KUALA TERENGGANU, 13 Okt:  
Sempena penganugerahan New Deal dan Pengiktirafan Sekolah Kluster Kecemerlangan, satu majlis kesyukuran telah diadakan pada hari ini . Para jemputan telah mulai tiba jam 12.30 tengahari dan berakhir pada jam 2.00 petang. Manakala sebelah petang pula, Program Solat Hajat SPM 2011 bermula jam 4.30 petang dan berakhir 11.20 malam.

Terdahulu dari itu, seawal jam 7 pagi, 2 ekor lembu telah ditumbangkan bagi persiapan kedua-dua majlis tersebut. Haji Baharuddin yang merupakan salah seorang bapa kepada pelajar tingkatan 5 di sekolah ini telah menyumbangkan seekor lembu manakala puan pengetua juga tidak ketinggalan untuk menyumbangkan seekor lagi lembu.

Ramai guru, kakitangan serta pelajar turut sama membantu bagi persiapan majlis ini. Kerjasama yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat menyebabkan kerja dilaksanakan dengan begitu cepat sekali.

Sementara itu, Majlis Temu Murni telah diadakan di dewan Assyatibi bermula jam 4.30 petang untuk pelajar 5 yang akan menduduki peperiksaan SPM yang akan bermula pada 14 November ini. Ramai ibubapa yang hadir.

Satu program motivasi juga telah diadakan dan dikendalikan sepenuhnya oleh pakar Motivasi terkenal, Ustaz Mohd Mizan. Kemudian ibubapa bersama pelajar sama-sama menunaikan Solat maghrib berjamaah serta menunaikan solat sunat taubat dan solat hajat.

Program berakhir sebaik sahaja slot motivasi  selesai jam 11.20 malam.

Sila klik DI SINI untuk melihat gambar suasana majlis tersebut.