
31 Oktober 2026 | Kota Bharu, Kelantan
Tahniah dan syabas diucapkan kepada Koperasi SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu Berhad atas kejayaan meraih dua pengiktirafan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS) 2026 yang berlangsung pada 31 Oktober 2026 bertempat di H Elite Design Hotel, Kota Bharu, Kelantan.
Dalam majlis berprestij tersebut, Koperasi SM Imtiaz YT Kuala Terengganu telah dinobatkan sebagai Johan Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS) Terbaik 2026 Peringkat Negeri Terengganu.
Selain itu, koperasi sekolah turut menerima Anugerah Khas Video Kreatif: Laporan Sambutan Hari Koperasi Sekolah (HKS) Terbaik 2026 Peringkat Kebangsaan sebagai pengiktirafan terhadap kreativiti dan inovasi dalam menghasilkan dokumentasi serta penyampaian aktiviti koperasi sekolah.
Kejayaan ini merupakan hasil komitmen, kesungguhan dan kerjasama erat seluruh warga sekolah, khususnya barisan pengurusan koperasi, guru-guru serta Anggota Lembaga Koperasi (ALK) dalam memastikan pengurusan koperasi terus berkembang maju dan mencapai kecemerlangan.

Pengiktirafan yang diterima ini membuktikan bahawa koperasi sekolah bukan sekadar platform keusahawanan, malah berperanan sebagai medium pembelajaran yang mampu membentuk kreativiti, kepimpinan, tanggungjawab dan kemahiran murid.
Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang tenaga, masa dan idea dalam merealisasikan kejayaan ini.
Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin untuk terus memperkasakan koperasi sekolah serta mengharumkan nama SM Imtiaz YT Kuala Terengganu di persada pendidikan negara.